Jangan selesa kejayaan Januari 2019, 2020

 

DARIPADA 10 pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, lima dimenangi parti kerajaan dan lima lagi oleh pembangkang. Maknanya kedudukan sekarang 5-5. Enam PRK berlangsung disebabkan kematian, tiga petisyen pilihan raya yang membatalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dan satu dikosongkan oleh wakil rakyat PKR bagi memberi laluan kepada pemimpin lain.

Apa yang menariknya, BN melalui UMNO mengekalkan kemenangan di semua tiga kerusi yang terpaksa dikosongkan akibat petisyen pilihan raya oleh parti kerajaan iaitu DAP di Parlimen Cameron Highlands,  PKR di DUN Rantau dan Warisan di Parlimen Kimanis. Lebih manis apabila BN berjaya menawan kerusi DUN Semenyih dan Parlimen Tanjong Piai yang dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

BN tidak bertanding di DUN Seri Setia, memboikot PRK Parlimen Port Dickson dan memberi laluan kepada PBS di Sandakan. BN tewas di DUN Sungai Kandis dan DUN Balakong yang ditandingi oleh MCA tanpa menggunakan simbol dacing (BN).

Jika diselak rekod PRK ini, Bersatu kehilangan dua kerusi, sementara PKR mengekalkan tiga kerusi dan DAP dua. Setakat ini hanya Amanah yang menjadi komponen Pakatan Harapan (PH) yang belum diuji melalui PRK. Amat menarik untuk melihat pertembungan Amanah dan Pas di kawasan yang dimenangi parti serpihan yang dipimpin oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu. 

Melihat 10 keputusan PRK ini, walaupun kedudukannya seri tetapi yang memberi tamparan hebat sudah tentu kepada parti kerajaan yang tewas dengan majoriti besar atau kemenangan yang kebanyakannya menyaksikan kemerosotan undi yang turut dipengaruhi peratusan keluar mengundi yang rendah.

BN serta pemuafakatan UMNO-Pas tidak boleh selesa dengan siri kemenangan PRK ini kerana ‘musuh’ biasanya tidak akan berdiam diri. Sukar untuk membaca strategi parti politik bagi menghadapi musuh mereka. Pemuafakatan UMNO- Pas akan dilihat menjejaskan peluang PH. Dalam hal ini, musuh tidak senang duduk dan sudah tentu berusaha melemahkan muafakat ini. Kaedahnya pasti pelbagai.

Sebarang usaha untuk melemahkan atau menghentikan kelangsungan muafakat ini perlu ditangani oleh UMNO-Pas. Jika tidak, muafakat akan rosak. Dan amat malang juga jika muafakat yang juga penyatuan umat Melayu-Islam ini cuba dirosakkan atau digagalkan oleh parti politik yang berteraskan Melayu-Islam ini. Hanya kerana politik, sampai bila Melayu-Islam akan ‘bertikaman’ atau ‘berbunuhan’ sesama sendiri?

Justeru berpolitiklah secara berhemah supaya Melayu tidak sekadar menang sorak, kampung tergadai.

Menyelak kembali 10 PRK dalam tempoh 20 bulan selepas PRU lalu, parti kerajaan menguasai semua PRK terawal.

Bermula di DUN Sungai Kandis berikutan kematian wakil rakyat PKR, PRK diadakan pada 4 Ogos 2018 menyaksikan pertembungan calon PH (PKR), BN (UMNO) dan Bebas. Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni memperoleh 15,427 undi , calon BN, Lokman Noor Adam (9,585) dan calon Bebas K.Murthy PJK (97). Jumlah undi diperoleh berkurangan berbanding PRU lalu apabila calon PKR memperoleh 23,998 undi, BN (11,518), Pas (7573) dan PRM (76).

PRK berikutnya pada 8 September 2018 di DUN Balakong dan DUN Seri Setia di Selangor berikutan kematian wakil rakyat. PRK itu berlangsung serentak pada 8 September. Bagaimanapun di Balakong, MCA ‘berdikari’ menggunakan lambang sendiri. Keputusannya, calon PH (DAP), Wong Siew Ki memperoleh 22,508 undi dan MCA, Tan Chee Teong 3,975.

Perolehan undi juga merosot berbanding PRU apabila calon DAP memperoleh 41,768 undi, Pas 6,230 dan BN 5,874. 

Pada hari yang sama di DUN Seri Setia, pertembungan satu lawan satu memihak kepada calon PH (PKR) Halimey Abu Bakar yang memperoleh 13,725 undi manakala calon Pas, Dr. Halimah Ali memperoleh 9,698. Di sini juga berlaku kemerosotan undi. Semasa PRU lalu, calon PKR, memperoleh 29,250 undi sementara calon BN (9,878), Pas (4,563) dan Bebas (217).

Seterusnya di Port Dickson pada 13 Oktober 2018, menyaksikan pertembungan lapan penjuru tanpa penyertaan BN. Tidak ada jentera BN diturunkan disebabkan bantahan terhadap pengosongan kerusi oleh Danyal Balagopal Abdullah hanya untuk memberi laluan kepada bakal Perdana Menteri Kelapan, Anwar Ibrahim. 

Walaupun tanpa BN, jentera PH bekerja keras menghadapi calon Pas dan Bebas bagi memenangkan bakal PM. Akhirnya, Anwar menang dengan majoriti 23,560 undi.Beliau memperoleh 31,016 undi berbanding Lt. Kol (B) Nazari Mokhtar (Pas) 7,456 undi sementara lima calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohd Isa Abdul Samad  hilang wang pertaruhan. 

Untuk rekod, semasa PRU 9 Mei 2018, PKR memperoleh 36,225 undi sementara BN 18,515 undi dan Pas 6,594 undi.

Jelaslah parti kerajaan menguasai empat PRK pertama selepas PRU 2018. Mungkin ketika itu rakyat atau pengundi masih dalam mood kemenangan PH pada PRU yang berlangsung pada 9 Mei. Namun memasuki tahun baharu 2019, selepas menanti Janji 100 hari kerajaan PH, corak pengundian melalui PRK mula berubah. Tambahan pula, ‘pembaharuan’ UMNO serta kerjasama UMNO-Pas yang lebih tersusun.

Permuafakatan UMNO-Pas lebih jelas semasa PRK Cameron Highlands pada 26 Januari 2019. Muafakat juga terserlah apabila MIC memberi laluan kepada calon UMNO. Semangat muafakat ini mendorong kemenangan besar BN di Cameron Highlands. BN menang dengan majoriti 3,238 berbanding semasa PRU 597 undi. Jumlah undi diperoleh BN turut meningkat berbanding kemerosotan undi DAP.

Calon BN, Ramli Mohd Noor memperoleh 12,038 undi berbanding M.Manogaran (DAP) 8,800 undi sementara dua calon Bebas hilang wang pertaruhan. Ketika PRU, dalam pertandingan lima penjuru melibatkan BN, DAP, Pas, Berjasa dan PSM, calon BN, C. Sivarraajh memperoleh 10,307 undi manakala Manogaran 9,710 undi.

Langkah bergaya Cameron Highlands diteruskan di DUN Semenyih pada 2 Mac 2019. PRK ke enam ini melibatkan kerusi Bersatu pimpinan Dr. Mahathir Mohamad. Walaupun berhadapan kempen hebat oleh parti kerajaan, PH akhirnya terpaksa akur dengan pilihan pengundi apabila calon BN, Zakaria Hanafi menang dengan majoriti 1,914 undi. 

Zakaria memperoleh 19,780 undi manakala Muhammad Aiman Zainali (Bersatu) memperoleh 17,866 manakala calon Bebas (725) dan PSM (847). Rekod PRU DUN Semenyih menunjukkan, calon BN sebelum itu memperoleh 14,464 undi manakala Bersatu (23,428), Pas (6,966), PSM (1,293).

PRK seterusnya beralih ke DUN Rantau pada 13 April 2019. PRK kedua di Negeri Sembilan dan ketujuh di negara ini. Punca PRK apabila kemenangan calon BN, Mohamad Hasan tanpa bertanding pada PRU terbatal. Bekas Menteri Besar itu diturunkan sekali lagi menghadapi calon PKR yang gagal bertanding semasa PRU.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menang dengan majoriti 4,510 undi mengalahkan calon PKR, Streram Sinnasamy yang memperoleh 5,887 undi sementara dua calon Bebas hilang wang pertaruhan.

PRK kelapan mengambil tempat di Parlimen Sandakan pada 11 Mei 2019. BN tidak bertanding. PBS yang meninggalkan BN selepas PRU menurunkan calonnya. Bagaimanapun PBS gagal memberi saingan. DAP mudah mempertahankan kerusi itu. Vivian Wong Shir Yee memperoleh 16,012 undi sementara Linda Tsen Thau Lin (PBS) 4,491 undi. Tiga calon Bebas hilang wang pertaruhan. Jika dirujuk PRU, nampaknya pengaruh BN lebih besar apabila memperoleh 8,996 undi.

Bersatu sekali lagi diuji apabila PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan pada 16 November 2019.  Walaupun timbul spekulasi bahawa UMNO lebih bersedia menurunkan calonnya tetapi atas semangat BN, kerusi itu tetap diperuntukkan kepada MCA. Dengan sokongan kuat jentera BN serta dibantu Pas, BN berjaya menawan kerusi itu sekaligus mengurangkan kerusi Bersatu.

Calon BN, Wee Jeck Seng menang dengan majoriti 15,086 undi. Majoriti itu lebih besar dan mengejutkan berbanding Bersatu menang majoriti 524 undi pada PRU lalu. Jeck Seng memperoleh 25,486 undi sementara calon Bersatu, Karmaine Sardini 10,380 undi.  Calon Gerakan, Berjasa dan dua Bebas hilang wang pertaruhan. Ketika PRU, Jeck Seng memperoleh 20,731 undi dan Bersatu 21,255 undi.

Memasuki tahun baharu 2020, satu lagi PRK kembali ke Sabah pada 18 Januari. Kali ini di Kimanis, disebabkan kemenangan calon BN dari UMNO terbatal. Untuk rekod, Anifah Aman meninggalkan UMNO selepas PRU lalu. UMNO menurunkan calonnya sementara Warisan yang menerajui Sabah menurunkan Karim Bujang, calon yang sama mencabar Anifah sebekum ini.

Keputusannya calon BN, Mohamad Alamin berjaya mempertahankan kerusi itu dengan memperoleh 12,706 undi menang dengan majoriti lebih besar iaitu 2,029 undi. Berbanding sebelum ini. Karim memperoleh 10,677 lebih rendah berbanding perolehannya pada PRU lalu sebanyak 11,786.

Ternyata Januari 2020 mengulangi langkah bergaya di Cameron Highlands. Bagaimana langkah seterusnya?

@ Rencana ini disiarkan di bebasnews.my

Nnn

Related posts

Leave a Comment