Pejabat UNHCR jadi ‘magnet’ pelarian

SEREMBAN 28 Julai  – Keberadaan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini perlu dipertimbangkan semula sekiranya badan berkenaan enggan bekerjasama dalam urusan pelarian.

Menteri Luar, Mohamad Hasan, berkata kerjasama itu penting bagi memastikan proses saringan dilakukan dengan ketat sebelum kad UNHCR diberikan kepada seseorang pelarian dan negara tidak terus terbeban.

Beliau berkata, dengan adanya pejabat UNHCR di sini, ia menjadi satu ‘magnet’ kepada pelarian untuk datang ke Malaysia kerana UNHCR boleh memberikan kad dengan sewenang-wenangnya.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian selepas melakukan tinjauan proses pengundian awal di Pangkalan Udara Sendayan, dekat sini hari ini.

Mohamad berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengambil langkah bagi memastikan setiap individu menjalani saringan menyeluruh dan mendapat persetujuan kementerian itu sebelum kad UNCHR dikeluarkan

Beliau menegaskan, Malaysia perlu mempunyai perjanjian yang jelas dengan UNHCR bagi menetapkan bidang kuasa, tanggungjawab serta perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan badan itu di negara ini.

“Kita mesti ada perjanjian antarabangsa supaya mereka boleh buat apa ataupun mereka tidak boleh buat itu dan ini. Tetapi nampaknya sekarang tidak ada apa-apa, tidak ada prosedur operasi standard (SOP).

“Mereka buat permohonan dalam talian ketika berada di Myanmar, kemudian datang ke sini dan terus mengambil kad. Ini bermakna saringan kita tidak ada. Ini yang perlu kita uruskan dengan baik,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Malaysia perlu mengimbangi pertimbangan kemanusiaan dengan kepentingan keselamatan dan ketenteraman negara.

“Kita perlu menjaga keselamatan dan ketenteraman dalam negara. Kita tidak mahu kerana baik hati kita, ia akhirnya menjadi masalah kepada ketenteraman dan keselamatan negara,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment