KJ akui saingan sengit di Negeri Sembilan

TANJONG 28 Julai – Barisan Nasional (BN) berdepan saingan sengit dalam Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan berbanding PRU Dewan Negeri Johor, namun masih mempunyai peluang untuk mencatat kemenangan seterusnya membentuk kerajaan negeri.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata semua calon BN perlu memanfaatkan sepenuhnya baki tiga hari tempoh berkempen untuk bertemu seramai mungkin pengundi dan menjelaskan tawaran yang ingin dibawa sekiranya mendapat mandat sebagai wakil rakyat.

Katanya, selepas berkempen beberapa hari di Negeri Sembilan, beliau secara jujur mendapati saingan di Negeri Sembilan lebih sengit berbanding dengan Johor.

“Saya harap calon-calon BN akan terus berjumpa dengan pengundi dan menawarkan apa yang mereka nak buat sebagai wakil rakyat nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Forum Lepak Pemimpin Ekonomi Kuasa Penjenamaan, Pengaruh dan Penceritaan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sokongan pengundi muda terhadap BN seperti yang disaksikan di Johor mampu diterjemahkan dalam PRN Negeri Sembilan.

Khairy turut berpandangan, walaupun persaingan dijangka berlangsung cukup sengit, BN masih mempunyai peluang memperoleh mandat sekiranya seluruh jentera parti terus bekerja keras hingga hari terakhir kempen menjelang hari pengundian, Sabtu ini.

Kita ada peluang, insya-Allah, kita ada peluang untuk menang dan untuk membentuk kerajaan,” katanya sambil mengakui keputusan pilihan raya kali ini dijangka ditentukan dengan keputusan majoriti tipis.

Sementara itu, beliau menegaskan siri podcast popular `Keluar Sekejap (KS)’ tidak akan bertukar menjadi ‘mesin propaganda’ bagi mana-mana parti politik meskipun beliau sebagai pengasasnya, membuat keputusan kembali aktif dalam arena politik.

“Bukan mudah untuk menyembunyikan ‘bias’ (berat sebelah) apabila sudah memilih parti politik. Namun, sebab itulah KS istimewa sejak awal (penubuhannya) kerana ia bebas dan berani mengkritik.

“Jadi, kami cuba memastikan kandungannya dipelbagaikan supaya ia tidak hanya dilihat sebagai sesuatu yang berat sebelah dan menjadi mesin propaganda untuk satu parti politik.

Kami juga telah membawa masuk personaliti baharu bagi memastikan pengisian kekal pelbagai dan seimbang,” katanya pada forum itu.

Khairy Jamaluddin berkata peralihannya sebagai seorang ‘podcaster’ menuntut beliau bersikap autentik, telus dan santai bagi memenangi kepercayaan penonton walaupun sedar segala rakaman tanpa tapisan di internet berpotensi digunakan untuk menentangnya pada masa hadapan.

.Ketika ditemui selepas itu, beliau berkata, rakan pengasasnya, Shahril Hamdan diberi tanggungjawab untuk bersikap lebih kritikal terhadap beliau sekiranya pandangan yang diutarakan mula condong kepada pendirian parti politik diwakilinya kelak.

“Saya suruh Shahril ‘lanyak’ UMNO sedikit. Apabila kami buat episod, saya cakap kepadanya, kalau saya terlalu banyak jadi jurucakap UMNO, dia kena bantai balik. Jadi, dia akan memainkan peranannya. Ada keseimbangan dan dia tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Khairy Jamaluddin berkata, beliau masih memainkan peranan dalam podcast KS buat masa ini.

“Setakat ini, ya saya masih lagi (terbabit). Tetapi kita dah buat perancangan peralihan untuk perniagaan KS ini diteruskan. Tapi kalau saya diberi tempat, contoh bertanding, menang, jadi wakil rakyat, maka saya akan berhentilah.

“Kalau saya dah masuk balik politik secara sepenuh masa maka saya akan tinggalkanlah (KS),” katanya.

(Foto sumber Fb KJ)

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment