KUALA LUMPUR 31 Julai – “Kalau Anwar betul-betul berani, bubar sahaja Parlimen dan adakan PRU (Pilihan Raya Umum) sekarang,” demikian cabaran Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Mantan Perdana Menteri itu berkata, berbanding usul tidak percaya, melalui PRU, Anwar akan tahu sama ada rakyat menyokongnya atau tidak.
Anwar sebelum ini berkata beliau tidak menghalang sebarang perhimpunan atau kritikan terhadap kepemimpinannya termasuk tuntutan supaya meletak jawatan tetapi proses itu perlu dilaksanakan secara demokratik sama ada melalui pilihan raya atau usul undi tidak percaya di Parlimen.
Beliau mencabar pembangkang supaya membawa usul undi tidak percaya (no confidence motion) di Dewan Rakyat sekiranya mereka mempunyai sokongan mencukupi untuk menukar kerajaan pimpinannya.
Dr Mahathir melalui kenyataannya berkata, Anwar tidak perlu bimbang kerana penyokong kerajaan mendakwa hanya 15,000 hadir pada Himpunan Turun Anwar’ yang berlangsung pada Sabtu lalu.
“Dia tentu menang. Dengan PRU, Anwar akan tahu rakyat sokong dia atau tidak. Anwar bukan pilihan rakyat untuk jadi Perdana Menteri. Dia jadi PM kerana menghentikan perbicaraan seorang pemimpin supaya ia boleh bawa partinya sokong Anwar.
“Tetapi PRU boleh tentukan sokongan oleh rakyat benar dan demokratik. Oleh itu bubarlah Parlimen dan adakan PRU sekarang,” kata Dr. Mahathir.
Dr. Mahathir mendakwa, Anwar berani membuat cabaran supaya usul tidak percaya dilakukan di Parlimen tetapi dakwa bekas Perdana Menteri itu, semua ahli Dewan Rakyat yang menyokong Anwar amat takut akan tindakan yang akan diambil kepada mereka jika tidak memberikan sokongam.
“Ada antara penyokong Anwar yang akan kena penjara jika tidak diselamat oleh Anwar. Ada juga yang akan hilang peruntukan jika tidak sokong Anwar.
” Wakil rakyat yang sokong Anwar sokong kerana takut. Mereka tidak bebas. Sebab itu Anwar boleh menang kalau usul tidak percaya kepadanya dibahas dalam parlimen. Ada antara penyokong Anwar yang akan kena penjara jika tidak diselamat oleh Anwar. Ada juga yang akan hilang peruntukan jika tidak sokong Anwar.
“Ahli UMNO yang menyertai perhimpunan raksasa pun sudah diugut, diberi amaran,” katanya
