Tok Naz sedia berkhidmat untuk Ampangan

MUHAMMAD  Nazri Kassim, calon PH bagi N.14 Ampangan, bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat sekiranya dipilih pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan pada Sabtu ini.

Dikenali sebagai Tok Naz, beliau yang kali pertama dicalonkan mengakui pemilihan sebagai calon adalah satu amanah dan jika menang perlu bersedia menjadi ‘khadam’ kepada rakyat.

Katanya, tanggungjawab sebagai wakil rakyat amat berat kerana ia bukan sahaja satu amanah yang diberikan untuk mewakili rakyat tetapi akan diadili di akhirat nanti sejauh mana tanggungjawab dan amanah itu dipenuhi.

Justeru, kesediaan untuk dicalonkan bermakna bersedia memikul tanggungjawab itu untuk memenuhi keperluan rakyat dan pada masa sama jujur terhadap jawatan yang diamanahkan.

“Saya mahu menjadi penghubung yang berkesan antara rakyat dengan pihak berkuasa tempatan supaya setiap isu dapat diselesaikan dengan lebih cepat,” kata anak Ampangan yang mewakili PKR itu.

Bersandarkan pengalaman sebagai peguam dan Pengarah Yayasan Negeri Sembilan, calon No.1 itu bertekad untuk terus berkhidmat demi warga Ampangan.

Ampangan pada kali ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Nazri, Dr Mohamad Rafie Abd Malek (PN-Pas) dan Azzah Harun (Bersatu).

Rafie, bekas ADUN PH-PKR tahun 2018, tidak dipilih semula pada 2023 tetapi bertanding atas tiket Bebas dengan memperoleh 3,079 undi, tewas kepada Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (PH-PKR) yang memperoleh 6,054 undi manakala calon PN Muhammad Ghazali Zainal Abidin 5,725 undi.

Mengulas pertembungan ini, Nazri berkata, setiap calon mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing dan menyifatkan pertandingan menentang bekas ADUN Ampangan itu sebagai persaingan sihat dan biasa dalam politik.

“Kami anggap ia sebagai pertandingan biasa dalam politik. Sudah tentu masing-masing mempunyai kelebihan dan juga kekurangan,” katanya yang yakin dapat mempertahankan kerusi PH itu bagi penggal ketiga.

Beliau memohon pengundi melihat rekod perkhidmatan yang telah diberikan selama dua penggal PH mewakili kawasan itu serta prestasi yang ditunjukkan kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Setakat ini katanya secara umum penerimaan pengundi amat baik berdasarkan beberapa faktor termasuk anak Ampangan serta ibu bapanya yang juga dikenali masyarakat setempat.

Bagi meyakinkan pengundi, kempen beliau dan PH adalah ‘membentangkan’ rekod perkhidmatan selama ini khususnya di Ampangan.

“Kita harap dapat meyakinkan pengundi Ampangan mengenai kesungguhan serta komitmen kita untuk terus memimpin DUN Ampangan bagi penggal ketiga selepas rekod dua penggal yang ditunjukkan selama ini,” katanya.

Pada kempen kali ini, beliau dan pasukannya berusaha menemui seramai mungkin pengundi bermula Subuh hingga ke malam termasuk dari rumah ke rumah serta tempat awam.

Beliau juga mengulangi keutamaannya untuk memastikan penyelenggaraan infrastruktur asas dan pemerkasaan ekonomi setempat menjadi antara fokus utama jika diberi mandat oleh rakyat.

Katanya, Ampangan yang menjadi laluan penghubung antara Seremban, Kuala Lumpur, Pahang dan Johor menuntut penyelenggaraan jalan, longkang, parit serta sungai dilakukan secara berterusan demi keselesaan dan keselamatan penduduk.

“Keutamaan saya ialah memastikan kemudahan asas diselenggara dengan baik supaya kehidupan penduduk lebih teratur dan risiko bencana seperti banjir dapat dikurangkan,” katanya.

Muhammad Nazri berkata, antara aduan yang kerap diterima daripada penduduk ialah longkang tersumbat, jalan berlubang, sistem perparitan yang tidak mampu menampung aliran air hujan dan sungai yang kurang disenggara.

Dalam bidang ekonomi, beliau berharap dapat membantu usahawan tempatan memperoleh lebih banyak peluang perniagaan serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih tersusun di Ampangan.

Menurutnya, Pasar Besar Ampangan dan Benteng Ampangan yang menjadi mercu tanda kawasan itu turut memerlukan perhatian bagi menyelesaikan isu dihadapi peniaga serta meningkatkan daya tarikan lokasi berkenaan sebagai pusat membeli-belah dan menjamu selera.

Katanya, kedudukan Ampangan yang berhampiran kawasan perindustrian memberi kelebihan kepada anak muda mendapatkan pekerjaan dan beliau berhasrat membantu mereka mengenal pasti keperluan industri serta laluan pendidikan yang bersesuaian.

“Dengan penuh rasa rendah diri, saya memohon dan merayu sokongan serta kepercayaan seluruh pengundi Ampangan.

Insya-Allah, setiap undi yang diberikan akan saya balas dengan amanah, kerja keras dan khidmat yang terbaik untuk Ampangan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment