Boikot? Sembang atau realiti?

SEJAK kebelakangan ini timbul pelbagai cerita mengenai makanan halal, bersih dan suci. Isunya termasuk restoran ‘mamak’ milik bukan Islam, berselindung di sebalik ayat-ayat al-Quran, premis kotor, proses makanan meragukan iaitu tidak mengikut piawaian kebersihan dan berbagai-bagai lagi. Status halal juga meragukan. Halal bukan sekadar tidak ada babi atau arak tetapi juga berkaitan sembelihan. Makanan halal mestilah daripada produk yang halal termasuk ramuan di dalamnya tidak boleh dicampur dengan bahan-bahan haram atau syubhah. Halal tetapi ‘tidak bersih’ juga tidak membawa makna. Pendedahan mengenai cara penyediaan makanan, bahan-bahan dan persekitaran kedai atau restoran yang kotor turut ditularkan. Bukan setakat restoran, kedai bukan Islam juga turut dijadi sasaran supaya diboikot.

Pendedahan isu ini adalah baik supaya memberi kesedaran kepada semua pihak untuk lebih berhati-hati ketika memilih makanan. Apa pun jangan sampai menimbulkan fitnah dan mengelirukan dengan maklumat yang tidak tepat, ditokok tambah atau sengaja diada-adakan. Ada juga isu lama yang ditularkan kembali. Tidak kurang juga penularan bahan dari luar. Gambaran jijik, kotor dan meloyakan itu patut dijadikan panduan. Kebersihan perlu diutamakan. Berkaitan halal, banyak persoalan mengenainya. Yang halal pun masih diragui disebabkan ‘cakap-cakap di belakang’. Adakah bukan Islam yang mendapat Sijil Pengesahan Halal (SPH) benar-benar menyediakan produk halal dan mematuhi tahap kebersihannya? Adakah yang mengusahakannya orang Islam tetapi tanpa SPH, mereka juga mematuhi tahap kebersihan? Memang sukar untuk buat pilihan tetapi akhirnya terletak kepada keyakinan diri sendiri bahawa mereka yang berniaga itu benar-benar jujur dan ikhlas. Tidak menipu pengguna!

Akhir-akhir ini juga timbul gesaan supaya masyarakat Islam menyokong produk keluaran Muslim. Senarai panjang pengeluar atau peniaga Muslim dikeluarkan bagi menggalakkan orang Islam berbelanja di sana. Dalam erti kata lain cubaan memboikot peniaga bukan Islam yang turut dikaitkan dengan suasana politik hari ini. Kehadiran pelbagai maklumat berserta gambar, audio dan visual melalui media sosial menimbulkan keresahan pengguna terutama dalam kalangan masyarakat Islam. Maka timbullah pelbagai cadangan untuk menyokong produk Muslim yang halal. Langkah ini baik bagi membantu peniaga atau pengeluar dalam kalangan masyarakat Muslim. Tetapi selama mana dan sejauh mana? Adakah berterusan atau berhenti separuh jalan?

Menyelak kembali isu seperti ini, tindakan seumpama itu bukanlah sesuatu yang baharu. Perkara yang sama pernah timbul sebelum ini. Bukan sekadar soal halal haram tetapi peniaga atau produk yang dikaitkan dengan Zionis juga diajak untuk dipulaukan. Malangnya kempen itu tidak lama, datang secara bermusim. Tidak pergi jauh, umpama hangat-hangat tahi ayam. Lihat sahaja pelanggan pesanan melalui ‘Pandu Lalu’ di restoran makanan segera lebih panjang berbanding pelanggan yang beratur di dalam premis. Begitulah ‘semangat’ yang ada. Jika betul-betul pemulauan dilakukan, tidak mungkin restoran seumpama itu mampu ‘hidup’ di tengah-tengah kawasan yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Sebarang tindakan memboikot dan sebagainya tidak akan ke mana tanpa kesungguhan, sokongan dan kesedaran masyarakat Islam. Masyarakat Islam tahu kedai bekenaan milik bukan Islam tetapi tetap berkunjung ke sana. Kenapa? Mungkin kerana populariti premis atau makanan yang disajikan. Sijil halal juga meyakinkan pengguna walaupun pengusahanya atau mereka yang menyediakan makanan itu bukan Islam. Bagi kebanyakan orang, makanan yang kelihatan bersih sudah memadai tanpa mempedulikan siapa di sebalik penyedianya. Lebih-lebih lagi setelah mendapat sijil halal daripada pihak berkuasa. Rasanya tidak semua restoran milik orang Islam, pekerjanya adalah dalam kalangan orang Islam. Sudah tertentu terselit juga mereka yang bukan Islam.

Hakikatnya, mereka yang berkunjung ke kedai atau restoran bukan Islam termasuk yang mendapat status halal tidak ada pilihan. Mungkin makanan yang disediakan tidak sesedap restoran orang Islam. Ada yang sanggup memandu beratus-ratus kilometer untuk mencari makanan kegemarannya yang diusahakan bukan Islam. Jika sedap, orang akan cari. Lihat sahaja ramai yang sanggup beratur panjang untuk mendapatkan bubur lambuk Masjid Kampung Baru sedangkan bubur itu didapati dijual berhampiran masjid. Semuanya kerana keistimewaan bukan soal percuma semata-mata. Mungkin jika ada orang Melayu yang pakar dalam makanan berkenaan, ia boleh mencuba tetapi bagaimana mahu menarik perhatian orang ramai. Dalam erti kata lain strategi pemasaran juga penting supaya makanan atau produk keluaran Muslim mampu menarik pasaran yang lebih luas.

Bukan Islam juga lebih pintar menggunakan strategi pemasaran bagi ‘memancing’ pembeli dalam kalangan orang Islam. Sama ada sedar atau tidak, produk bukan Islam menggunakan jenama berunsurkan nama Melayu dan Islam malahan menggunakan nama orang Melayu. Jelaslah nama produk itu sendiri boleh mengelirukan pengguna tanpa mengetahui status sebenar halal atau sebaliknya. Apatah lagi jika ada yang memasarkan produk tiruan kononnya buatan orang Islam. Ramai yang menyangka produk yang mengguna imej atau nama Islam milik orang Islam tetapi hakikatnya tidak. Begitulah strategi pemasaran. Hanya apabila pendedahan dibuat, barulah timbul kesedaran. Tanpa pendedahan itu, tiada siapa peduli soal nama dan status halal serta tahap kebersihannya.

Timbul juga cadangan boikot pasar raya tertentu. Persoalannya berapa banyak pasar raya milik orang Islam? Apakah kekuatan pengusaha Islam untuk menghadapi sangan ini? Banyak faktor kenapa pasar raya jadi pilihan. Harga, barang keperluan menyeluruh, kemudahan membeli-belah dan sebagainya. Tidak dinafikan, ada pasar raya tidak menyediakan produk keluaran bumiputera atau Muslim tetapi masih ada jenama menggunakan imej Melayu dan Islam. Pasar raya yang mahu diboikot mungkin mempunyai strategi lain seperti menyediakan keperluan contohnya ikan segar, buah-buahan yang pelbagai dengan harga yang murah. Strategi pemasaran yang baik tidak mampu menggugat kedudukan pasar raya yang ingin diboikot jika pengguna tidak ada pilihan lain. Maksudnya pesaing yang lebih baik atau setanding.

Setiap orang berhak memilih premis yang bersih, halal dan sebagainya mengikut selera dan keperluan mereka. Melalui logo halal yang dikeluarkan, mereka boleh membuat pilihan. Pengguna tidak dengan sewenang-wenangnya membeli makanan di premis makanan tanpa rasa syak sama ada makanan yang dijual benar-benar halal termasuk tempat penyediaan makanan yang bersih dan lebih baik disediakan oleh tukang masak beragama Islam. Namun status halal juga bukan jaminan yang berterusan. Wujud kebimbangan, halal sekadar status. Justeru pemantauan dan pemeriksaan berterusan perlu dilakukan. Begitu juga kerjasama masyarakat sebagai mata dan telinga pihak berkuasa memberi maklumat sekiranya timbul keraguan dalam pelbagai aspek. Seperkara lagi pengusaha produk Islam juga perlu mendapatkan SPH supaya mereka lebih berdaya saing.

Hakikatnya, boikot bukan satu perkara mudah tanpa kesungguhan, kesepakatan dan perancangan. Jika tidak, boikot akan jadi kempen bermusim. Sekadar sembang petang, esok paginya kembali kepada asal. Banyak ruang dan kelemahan yang perlu diperbaiki. Benar, tidak kebuluran jika sesuatu produk yang diragui status halal atau tahap kebersihannya dipulaukan. Tetapi selama mana? Semuanya bergantung kepada pengguna. Mereka mempunyai pilihan untuk membuat penilaian sendiri.

Sumber: http://bebasnews.my/2019/01/14/selak-boikot-sembang-atau-realiti/

Related posts

Leave a Comment