Bicara tanpa sopan dan susila

SULTAN Muhammad V naik takhta ketika era pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan turun takhta selepas tujuh bulan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH). Kembali bersemayam di atas takhta Kelantan di bawah kerajaan yang sama, Pas. Namun semua itu tidak ada kena mengena dengan politik. Keputusan Tuanku perlu dihormati. Jangan sengaja menimbulkan spekulasi. Tidak seharusnya diberi persepsi negatif serta andaian yang melampau. Memang ini satu sejarah kepada institusi diraja kerana tempoh perkhidmatan belum berakhir. Apa pun faktor yang mendorong keputusan itu tidak seharusnya mendorong sesiapa juga cuba mencalarkan imej institusi dan raja.

Amat malang apabila timbul pelbagai komen menjijikkan terhadap ketua negara. Satu demi satu pandangan yang tidak sewajarnya dilontarkan. Apa sudah jadi dengan masyarakat Malaysia? Media sosial terutama Facebook dijadikan saluran untuk menanam kebencian, mengaibkan, menghina, memfitnah dan sebagainya yang melibatkan individu tanpa mengira kedudukan, institusi, agama khususnya Islam, kaum, bahasa, budaya dan pelbagai lagi. Di mana nilai-nilai prinsip Rukun Negara yang turut menggariskan perkara berkaitan Kesetiaan Kepada Raja dan Negara serta Kesopanan dan Kesusilaan?

Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Seri Paduka, Raja-Raja dan Yang Dipertua Negeri adalah lambang perpaduan rakyat. Kesetiaan Kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri mereka tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.

Prinsip ke lima Rukun Negara pula menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang. Tujuannya adalah untuk membentuk warga negara yang bersopan santun dan bersusila. Dua sifat ini paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan masyarakat pelbagai kaum. Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kehidupan persendirian dan bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.

Belajarlah menghormati orang lain. Elakkan andaian atau persepsi yang tidak sewajarnya apatah lagi yang berbentuk fitnah, mengaibkan dan memfitnah. Justeru hormatilah keputusan baginda. Tidak dinafikan, ramai yang di luar sana masih bercakap mengenai keputusan Sultan Muhammad V ini tetapi tidak secara terbuka melalui media sosial. Inilah bahana media sosial apabila setiap orang boleh meluahkan apa sahaja tanpa memikirkan kesan terhadap institusi serta perasaan orang lain. Mengkritik atau memberi komen biar ada batasnya kerana keceluparan boleh membawa padah. Adakah kebebasan di media sosial memberi ruang seluas-luasnya kepada umum untuk berkata dan bercakap apa sahaja? Adakah ini satu kebebasan ‘bersuara’ idaman kita?

Istana Negara dalam kenyataan berhubung keputusan Sultan Muhammad V itu menyebut : Kepada rakyat Malaysia, Tuanku bertitah supaya rakyat Malaysia terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara yang berdaulat ini, supaya Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan harmoni” . Dan sementara menanti siapa bakal naik takhta, banyak pula ramalan dibuat. Tidak salah meramal tetapi jangan sampai ke tahap memburuk-burukkan mana-mana pihak. Biarlah Majlis Raja-raja membuat keputusan. Semoga Sultan Muhammad V selamat kembali bersemayam di atas takhta Negeri Kelantan.

Sudah menjadi lumrah dalam kalangan masyarakat yang begitu mudah mengeji, menghina atau mengaibkan sama ada melibatkan individu, organisasi, negara malahan undang-undang tetapi kemudiannya tampil memohon maaf. Lebih malang lagi apabila melibatkan orang yang sudah meninggal dunia. Masih ingatkah kita komen penghinaan terhadap beberapa individu yang meninggal dunia? Situasi ini menyinggung perasaan banyak pihak. Keadaan ini seolah-olah menjadi amalan termasuk dalam kalangan penggiat parti politik. Mungkin disebabkan tindakan undang-undang yang lemah dalam mengawal keadaan ini menyebabkan gejala itu menjadi ikutan orang lain. Mungkinkah hukumannya lebih ringan berbanding kesalahan lain?

Hina dahulu kemudian mohon maaf. Ada yang ‘terlepas’ dan ‘bebas’. Mungkin ada yang dikenakan tindakan disiplin tetapi masih boleh ‘hidup’. Ada masa, boleh diulang. Apa yang penting mereka sudah melepas kata-kata untuk dikongsi bersama khalayak. Memohon maaf perkara kedua, itu pun jika ada yang marah atau buat bising. Apa susahnya memohon maaf. Umpama ‘tumbuk’ dan belasah orang’ tanpa usul periksa dan kemudiannya dengan selamba memohon maaf, sama ada ikhlas atau tidak. Hakikatnya matlamat tercapai. Apatah lagi sasarannya terhadap orang Melayu yang umum mengetahui kaya dengan sifat pemaaf. Buatlah berkotak laporan polis, mereka tidak peduli. Malahan dalam kalangan orang Melayu, ada yang seperti lembu dicucuk hidung.

Hari ini ramai yang tidak dapat mengawal keceluparan dengan membangkitkan pelbagai isu atau kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum. Melontarkan pandangan ikut selera di ruang bebas media sosial. Kadang-kadang berbentuk provokasi. Soal hati orang tidak dipedulikan. Luka di tangan kerana pisau, luka di hati kerana kata. Memang mudah menarik balik kenyataan dan memohon maaf tetapi luka hilang, parut tetap ada. Cakap jangan sebarang cakap. Tetapi resam manusia, ketika ghairah bercakap, mereka cepat lupa diri, tidak ingat apa yang diucap. Seperti lontar batu sembunyi tangan atau lidah bercabang.

Memang yang mengeluarkan kenyataan menyakitkan hati itu sedikit bilangannya tetapi dalam era IT hari ini, pandangan seperti itu akan tersebar luas dalam sekelip mata. Bukan sedikit yang membaca dan kemudian tumpang ‘cut & paste’ untuk disebarkan melalui WhatsApp, Twitter, Face­book dan pelbagai lagi. Setelah tersebar dan dipersoalkan, maka jawapan popular yang sering diterima “ kenyataan itu tidak bertujuan menghina sesiapa atau akaun digodam”. Ada juga yang menuding jari kepada orang lain. Lebih mudah tampil memohon maaf!

Adakah pada suatu masa nanti, media sosial akan mencetuskan pertikaian yang amat besar sehingga boleh menghancurkan perpaduan dan keharmonian kaum? Sementara peluang masih ada, tanpa mengira siapa pun kita, sama ada orang biasa atau pe­mimpin politik, berusahalah untuk tidak menyakiti orang lain. Belajarlah mengawal ‘nafsu’ ketika berkata-kata di media sosial.

Sumber: http://bebasnews.my/2019/01/09/selak-bicara-tanpa-sopan-dan-susila/

Related posts

Leave a Comment