SELEPAS tewas Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Pakatan Harapan (PH) ditunjukkan formula atau strategi untuk mempertahankan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih. Walaupun semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Bakhtiar Mohd Nor, menang selesa dengan majoriti 8,964 undi, keadaan politik hari ini sudah berubah. PRK Cameron Highlands memberi isyarat yang jelas untuk PH lebih bersedia menghadapi PRK Semenyih pada bulan Mac ini.
Strategi perang PRK Semenyih yang cuba diketengahkan oleh salah seorang pimpinan Bersatu, Tan Sri Rais Yatim adalah menunaikan janji seperti termaktub di dalam manifesto PH menjelang PRU lalu. Kenyataan Rais sebagai veteran politik sedikit sebanyak turut memberi jawapan sebenar kenapa PH tewas di Cameron Highlands. Selepas hampir sembilan bulan berlangsungnya PRU, kerajaan PH belum melahirkan sesuatu yang boleh dibanggakan rakyat. Apakah selepas sembilan bulan, PH akan berubah memenuhi janjinya?
Selama ini selepas PRU, timbul perbalahan dan kenyataan yang tidak senada serta mengelirukan rakyat berhubung manifesto. Banyak juga pusingan-U dilakukan sehingga menjadi jenaka syarat lulus memandu akan datang mesti lulus ujian pusingan U. Beberapa janji manifesto yang menjadi pertikaian termasuk berkaitan PTPTN dan harga minyak.
Menyalahkan kerajaan terdahulu tidak menyelesaikan masalah atau memberi alasan tidak mampu menunaikan janji manifesto. Ketika rakyat tidak yakin sesetengah manifesto sukar dilaksanakan tetapi disebabkan keyakinan pemimpin yang berkempen, maka rakyat memberi peluang. Rakyat sudah tentu memikirkan pemimpin mereka lebih cerdik untuk melaksanakan janji-janji yang sebenarnya sukar dilaksanakan.
PH sepatutnya memenuhi harapan rakyat khususnya pengundi untuk mengisi kemenangan yang diberikan. Namun penantian janji ‘kami menang hari ini esok akan ‘berubah’. Perubahan sekadar berubah pentadbiran. Janji yang lain tidak mampu dilaksanakan dengan pelbagai alasan. Lebih parah apabila beberapa insentif yang diperoleh oleh golongan tertentu ditarik balik atau dikurangkan.
Berdasarkan kenyataan Rais baru-baru ini, keupayaan BN mempertahankan kerusi Cameron Highlands bukanlah disebabkan isu perkauman dan agama. Hakikatnya, sejak awal lagi sudah timbul kenyataan berunsurkan sentimen kaum oleh calon PH sendiri, M. Manogaran. Sentimen berkaitan kaum oleh DAP timbul apabila BN mahu meletakkan calon Orang Asli. Calon dari DAP itu dilaporkan berkata: Orang Melayu tak beli kuih dari gerai Orang Asli. Saya tak fikir mereka (orang Melayu) akan undi Orang Asli. Orang Melayu akan tanya, kenapa tak ada calon orang Melayu? Kenapa letak Orang Asli?’ Orang Cina, India juga tidak akan undi Orang Asli,”
Kenyataan itu dianggap rasis. Hakikatnya, setiap kaum dan agama pasti mempertahankan hak mereka dan jika mereka bercakap mengenai isu ini tidak perlu dikaitkan dengan sentimen agama dan kaum. Harus diingat, apabila kedudukan agama, bangsa dan bahasa ‘tergugat’ mereka perlu bersuara. Itulah realitinya.
Justeru, kenyataan Rais itu jelaslah telah memberi jawapan sebenar kenapa PH tewas di Cameron Highlands. Janji manifesto yang tidak tertunai menjadi faktor penyumbang kekalahan. Tidak dinafikan juga kerjasama UMNO-Pas membawa hasil yang baik berbanding ‘kerjasama’ PH. Kerjasama ini harus dicemburui PH terutama pimpinan Amanah, serpihan Pas.
Bersatu yang akan turun mempertahankan kerusi DUN Semenyih sudah tentu tidak mahu kehilangan kerusi itu. Sebagai parti yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Bersatu perlu berusaha mempertahankannya. Memang benar, kalah menang tidak memberi sebarang kesan kepada kerajaan PH di Selangor. PH tidak rugi apa-apa jika tewas di Semenyih tetapi imej dan maruah perlu dipertahankan.
Apakah strategi PRK yang mampu menarik perhatian pengundi-pengundi Semenyih? Pada PRU lalu, para pengundi telah memberi peluang kepada PH. Mungkin salah satu faktor penyumbang kemenangan adalah janji-janji yang dibuat melalui manifesto khususnya Harapan 10 Janji 100 Hari. Rakyat Selangor ketika itu mungkin sudah selesa dengan kerajaan negeri dan bertambah yakin dengan janji-janji yang memberi harapan baharu.
PRK Cameron Highlands telah memberi isyarat jelas supaya manifesto yang dianggap bukan kitab itu perlu diselak semula. Jadikan manifesto itu sebagai realiti bukannya umpan atau gula-gula pilihan raya. Benar kata Rais, laksanakan manifesto itu sebelum PRK. Bimbang juga jika dijanjikan semasa berkempen, rakyat tidak lagi yakin. Pembangkang pula akan menganggap sebagai rasuah pilihan raya.
Seperti kata Rais, tutup satu tol, turunkan harga minyak. Di DUN Semenyih, pengundi-pengundi yang bekerja di Kuala Lumpur atau arah Selatan, mempunyai laluan bertol. Kerajaan PH boleh pilih mana-mana laluan tol sama ada untuk ke Kuala Lumour atau ke selatan. Pilih salah satu jika tidak kesemuanya. Biar kali ini janji itu ditepati seperti slogan yang pernah digunakan oleh BN.
Janji kepada peneroka Felda pula boleh dijadikan ‘umpan’ di kawasan lain yang mempunyai ramai peneroka. Langkah terbaik menghadapi PRK seterusnya adalah memenuhi janji. Tidak perlu malu-malu untuk melakukan lebih banyak pusingan-U, asal rakyat selesa dengan kehidupan yang dijanjikan. Selak semula manifesto, belek betul-betul, kemudian laksanakan. Jika benar-benar dilaksanakan ibarat pintu tertutup rapat setelah diselak, pembangkang mungkin tidak dapat lagi menjadikan modal kempen PRK.
Ingat kata Rais, “Mungkir janji orang tak suka, orang tak pilih kita. Pimpinan atasan PH tentu lebih daripada faham kenapa kalah di Cameron Highlands.”
Sumber: http://bebasnews.my/2019/01/29/selak-tunai-janji-hadapi-prk-semenyih-rais/