Mencari nakhoda baharu penyelamat bahtera UMNO

DAKWAT yang ‘mengotori’ kuku­ di jari telunjuk pada 9 Mei lalu semakin pudar. Mungkin ada dalam kalangan pembaca yang sudah hilang ke­san itu sepenuhnya selepas menggunakan kaedah tertentu. Jika dibiarkan begitu sahaja, selepas sebulan mungkin kesannya akan terpadam dengan sendiri. Itu kesan dakwat di jari, masih boleh dibiarkan hilang beransur-ansur sekalipun tidak dicuci dengan bahan pencuci. Bagaimana pula jika kesan setitik nila di dalam susu? Apakah kaedah mencucinya?

Sudah tentu susu itu rosak dan pilihan yang ada terpaksa dibuang awal-awal lagi dan mencari yang baharu.

Tidak perlu meratap dengan ‘kerosakan dan kesakitan’ yang berlaku kerana ‘nasi sudah menjadi bubur’. Kelambu sudah dibakar tetapi nyamuk terus menggigit. Cukuplah dengan apa yang berlaku hampir sebulan yang lalu. Umpama dakwat yang semakin pudar dan menampakkan semula keputihan kuku, maka kikislah perasaan kecewa, kesal dan gundah gulana itu untuk kembali bekerja. Aturlah gerak kerja yang boleh menstabilkan semula kapal yang hampir tenggelam.

Seluruh ‘pelayar’ di atas kapal tidak boleh membiarkan kapal itu terus tenggelam ke dasar laut walaupun nakhoda sudah tidak ada atau ramai kelasi yang turut terjun menyelamatkan diri. Kapal masih mampu berfungsi dan meneruskan pelayaran selagi ada jurumudi atau anak kapal yang setia dan sanggup bersatu dan berkhidmat menyelamatkan kapal berkenaan­.

Begitu jugalah UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang hampir musnah dilanda tsunami Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Walaupun nakhoda yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk meneruskan pelayaran terpaksa berundur, pelayaran mesti diteruskan. Sebelum belayar, nakhoda sudah pasti te­lah memenuhi tanggungjawab­ nya untuk memperlengkapkan kapal dengan sempurna serta memastikan langkah-langkah keselamatan para pelayar di atas kapal serta keselamatan pelayaran itu. Namun, jika takdir berhadapan dengan tsunami yang menerjah kapal sehingga hampir tenggelam, maka sesuatu perlu dilakukan untuk menstabilkan kapal berkenaan. Kapal atau bahtera UMNO masih mampu belayar. Bahtera belum karam.

Seperti kata veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah: “Kekalahan itu bukan bermaksud parti sudah lemah. Masih kuat dan menerima sokongan serta sanjungan sebahagian besar rakyat negara ini. Kami masih kuat dan berbisa dalam erti kata memperjuangkan nasib semua bangsa,”. UMNO adalah sebuah organisasi unggul yang masih mampu berjaya. Berbekalkan 54 kerusi, rakyat khususnya orang Melayu masih menaruh harapan kepada parti itu dan BN. Keyakinan yang masih ada perlu ditingkatkan, jangan kekalahan itu membuat parti dalam keadaan murung.

Dalam hal ini Selak tertarik dengan tulisan Allahyarham A. Samad Idris di Utusan Malaysia pada Mei 1987 bertajuk UMNO: Jangan tercungap baru sedar perahu nak karam’. Tulisan itu selepas berlaku pemilihan UMNO yang sengit pada 1987. Salah satu petikan yang berupa nasihat ialah: Kata orang tua-tua hujan dah teduh, kabus dah terang, panggilan dah pulang. Ertinya semuanya sudah selesai. Yang tinggal ialah tuan rumah yang mestinya mengatur dan mengemaskan semula rumah tangganya yang kusut masai, pinggan mangkuk yang pecah berselerak di sana sini. Apa yang berlaku dalam UMNO adalah soal rumah tangga yang mesti diselesaikan oleh orangorang UMNO sendiri. Sama sekali tidak wajar jika ada orang luar yang ingin campur tangan malah ada di antaranya yang mengopak dinding untuk mengintai-intai jika ada peluang terbuka. PRU-14 sudah berlalu dan sekarang masa untuk muhasabah. Tidak dinafikan ketika bahtera UMNO diterjah tsunami, ada anak-anak kapal yang ‘terjun ke laut’ untuk menyelamatkan diri, mungkin berenang ke pantai, daratan atau menjadi habuan jerung dan lemas di lautan. Biarkan mereka. Apa yang penting, mereka yang masih bersama bahtera UMNO perlu mencari nakhoda baharu yang mampu meneruskan pelayaran. Jurumudi atau kelasi boleh menawarkan diri untuk menjadi nakhoda.

Kadang-kadang kelasi boleh memainkan peranan lebih baik. Begitu jugalah anggota UMNO. Jika mereka memikirkan layak bertanding, maka tawarlah diri. Bertandinglah dengan niat yang ikhlas untuk memulihkan UMNO supaya diyakini rakyat. Cuma ingatlah, jawatan yang akan dipikul nanti bukanlah seperti bertanding dan menang dalam pemilihan yang lampau. Kali ini, tugas yang berat menanti pihak yang menang lebih-lebih lagi menghadapi pembaharuan yang sedang dan bakal dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH).

Tempoh lima tahun bukanlah satu masa yang panjang. PH boleh melakukan pelbagai tindakan untuk
memantapkan kedudukan. UMNO tidak boleh menjangka berapa ramai pula anggotanya akan berhijrah menyertai parti lain. Jika rakyat senang dan dapat menerima kerajaan PH, semakin sukar peranan dan tanggungjawab UMNO. Maka gunakanlah peluang demokrasi yang terbuka luas dalam pemilihan ini untuk memilih mereka yang benar-benar layak. Bagaimanapun ‘ukurlah baju di badan sendiri’. Jangan ghairah menawarkan diri tetapi tidak mampu merancang pelayaran seterusnya. Mungkin peluang terbuka ini menyebabkan ada yang ‘suka-suka’ menawarkan diri. Dalam situasi yang ada, anggota parti perlu mengelakkan pemilihan sebagai pentas ‘berhibur’, menguji populariti atau ditaja oleh pihak tertentu. Ingat bahaya musuh yang kemungkinan sudah ada di dalam selimut.

Sesuai dengan kaedah pemilihan yang tidak lagi menetapkan kuota, pertandingan kali ini tidak seharusnya­ menjadi pentas me­nguji nasib. Ahli-ahli akar umbi pula boleh membuat pilihan de­ngan baik. Elakkan­ kem atau puak kerana masa untuk bersikap demikian sudah berakhir.

UMNO tidak mampu berpecah lagi. Jadikan pemilihan kali ini lebih terbuka, telus dan benar-benar mahu berubah. Sehingga semalam ramai yang menawarkan diri untuk bertanding termasuk untuk jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden, ahli majlis tertinggi dan ketua pemuda. Diharapkan semua jawatan termasuk dalam sayap akan turut menampilkan wajah-wajah baharu, muda dan segar.

Begitu juga di peringkat bahagian. Tidak dinafikan ada ketua bahagian yang sudah bekerja keras untuk parti begitu kecewa dengan kekalahan. Mereka tidak boleh ‘terduduk’ dengan kekalahan. Mereka boleh berundur sekiranya mahu memberi peluang kepada muka baharu tetapi harus diingat, muka baharu tidak akan ‘menikmati’ pelbagai ‘kemudahan’ yang dilalui sebelum ini. Era kejatuhan tidak sama dengan era kebangkitan. Perjuangan menuntut kemerdekaan juga tidak sama dengan­ mengisi kemerdekaan.

Bagi yang ingin ‘bersara’ atau ‘berundur’ biarlah keputusan mereka itu juga ikhlas, bukan meninggalkan perjuangan ketika parti dalam keadaan sukar. Bersama membantu memulihkan parti. Ja­ngan jadikan perjuangan sekadar mahu ‘merebut harta rampasan perang’. Pemimpin berjiwa besar perlu sanggup susah dan se­nang dalam apa keadaan sekali pun. Jangan habis madu sepah dibuang. Hayatilah slogan Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat.

UMA040618008C#

Related posts

Leave a Comment