Tiada haiwan korban masuk Singapura

SINGAPURA 15 Mei – Tahun ketiga berturut-turut berikutan pandemik Covid-19, kambing untuk ibadah korban tidak akan dibawa masuk ke Singapura sebaliknya urusan penyembelihan akan dilakukan di Australia.

Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), sebanyak 54 masjid akan menyediakan khidmat ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha pada tahun ini. 

Jawatankuasa di bawah Gerakan SalamSG (SSGM), iaitu SalamSG Korban akan bekerja rapat dengan masjid-masjid setempat untuk menguruskan penyembelihan kambing korban di Australia. 

Dalam kenyataan medianya, MUIS berkata, daging korban akan diterbangkan ke Singapura untuk dibekukan dan diagihkan kepada para jemaah yang mendaftar. 

Bagi memudahkan proses membuat tempahan dan bayaran untuk ibadah korban tahun ini, pasukan SalamSG Korban akan memperkenalkan portal pendaftaran www.ourmasjid.sg/korban supaya anggota masyarakat Islam yang ingin menunaikan ibadah berkenaan pada tahun ini boleh membuat tempahan dan bayaran di masjid-masjid yang menawarkan ibadah tersebut. 

Tempahan dan pembelian kambing korban akan dibuka mulai hari ini, Ahad 15 Mei sehingga Jumaat 1 Julai tertakluk kepada bekalan.

Para jemaah yang membuat pendaftaran akan dimaklumkan tentang agihan daging korban oleh pihak masjid di mana mereka membuat tempahan. 

Sebagai sebahagian daripada tema SSGM “Suburkan Salam. Sebarkan Rahmah.”, ibadah korban tahun ini juga bermatlamat untuk memupuk sifat bersyukur dalam kalangan umat Islam tempatan sepanjang tempoh Ramadan sehingga Zulhijjah. 

Daging korban tahun ini bukan sahaja akan diagihkan kepada para penerima bantuan Zakat MUIS, seperti golongan fakir dan memerlukan, tetapi juga kepada keluarga para banduan dan pekerja asing. 

Related posts

Leave a Comment