Sektor Pertanian ‘Antara Dua Ramadan’

APABILA Salahuddin Ayub melangkah masuk ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada 23 Mei lalu, penulis terkenangkan peristiwa yang sama pada 12 Mei 1986, kebetulan juga pada bulan Ramadan. Ketika itu Sanusi Junid (Allahyarham) memulakan tugasnya sebagai Menteri Pertanian.

Selak mengalu-ngalukan kehadiran Salahuddin di kementerian berkenaan. Semoga sumbangannya kepada kementerian itu dapat dimanfaatkan. Hadirlah dengan idea-idea yang dapat meningkatkan lagi sektor ini. Tidak dinafikan, beberapa menteri yang menerajui kementerian ini sejak beberapa tahun lalu telah menunjukkan kesungguhan dan mencapai kejayaan yang baik.

Mereka termasuklah Muhyiddin Yassin, Mustapa Mohamed, Noh Omar, Ismail Sabri Yaacob dan Ahmad Shabery Cheek.

Masing-masing mempunyai pendekatan tersendiri untuk memajukan sektor ini yang dilihat sebagai pekerjaan masyarakat luar bandar tetapi berjaya ditingkatkan untuk lebih berdaya maju.

Begitu jugalah era Allahyarham Sanusi yang muncul dengan pelbagai cadangan yang ada ketikanya dianggap melucukan dan ada yang memandang sinis. Hakikatnya, idea yang dilontarkan yang pada mulanya dianggap umpama angan-angan Mat Jenin atau merepek membawa hasil yang baik. Bagi menyelak kembali kejayaan Allahyarham Sanusi ini, penulis tertarik untuk berkongsi semula idea Allahyarham.

Hasrat awal penulis ingin mencatatkan perihal kejayaan ini ketika Sanusi meninggal dunia pada 9 Mac lalu. Kebetulan baru-baru ini terjumpa buku kecil bertajuk Antara Dua Ramadan oleh Sanusi Junid. Buku itu adalah teks ucapan sempena genap setahun Allahyarham menerajui Kementerian Pertanian. Dinamakan dengan tajuk itu kerana 12 Mei 1986 dan 12 Mei 1987 jatuh dalam bulan Ramadan. Allahyarham menyampaikan ucapan atau amanat berkenaan kepada kakitangan Kementerian itu di Dewan Tun Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 13 Mei 1987. Ketika itu, sebagai wartawan, penulis memberi fokus kepada isu pertanian. Banyak tugasan berkaitan Kementerian Pertanian termasuk yang melibatkan menteri berkenaan atau agensi berkaitan terutama MARDI, Universiti Pertanian Malaysia (UPM) akan menjadi tanggungjawab penulis untuk membuat liputan. Hubungan dengan kementerian lebih akrab apabila wujud Pejabat Ketua Unit Perhubungan Awam (KUPA) di Wisma Tani, Kuala Lumpur.

Di situ penulis sering mendapatkan bahan berita mengenai kementerian. Sempena Ramadan yang berkat ini, penulis ingin menyelak semula intipati ucapan Allahyarham Sanusi yang boleh dijadikan
panduan walaupun telah 30 tahun berlalu.

Apa yang penting, setiap orang perlu melontarkan idea untuk manfaat bersama. Allahyarham memasuki kementerian itu dengan melancarkan ‘Era Baru Pertanian’. Allahyarham mengingatkan tentang: “Kita perlu berani meneroka bidang baharu, sanggup berkorban demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air daripada kepentingan diri sendiri. Kita perlu disiplin, amanah, rajin,”. Allahyarham juga mengemukakan formula membasmi kemiskinan yang pernah diungkapkan dalam ucapannya Laksana Tenunan Tak Kunjung Selesai. Formula itu ialah Bekerja kuat-kuat; kuat-kuat bekerja; kuat bekerja kuat; bekerja rajinrajin; rajin-rajin bekerja dan rajin bekerja rajin.

Mengenai pangkat, Allahyarham mengingatkan 28,000 kakitangan kementerian ketika itu bahawa: Pangkat yang ada adalah amanah daripada Allah yang dipinjamkan untuk gunakan dengan sebaik-baiknya. Pangkat bukan hak saudara, bukan pusaka nenek moyang dan bukan harta yang boleh difaraidkan. Pangkat juga bukan pakaian untuk saudara menjadi sombong dan bongkak”.

Kembali kepada idea yang dilontarkan, beberapa kempen yang boleh diselak semula ialah Kempen minum air kelapa muda. Kempen itu menampakkan hasilnya apabila harga kelapa muda lebih tinggi berbanding harga kelapa tua. Kempen lain termasuklah minum susu segar, eksport pisang emas, kurang makan nasi, tanaman berkelompok, kempen makan ikan air tawar dan meneroka perikanan laut dalam.

Satu lagi projek yang tidak boleh dilupakan begitu sahaja ialah Taman Pertanian di Bukit Cherakah, Shah Alam, Selangor. Taman Pertanian adalah satu persembahan di mana segala ilmu pengetahuan dalam segala bidang pertanian, perikanan dan ternakan disatukan dengan indah, ekonomik, ilmiah dan berguna.

Di situ ada pelbagai usaha pertanian, penternakan dan perikanan. Rumah iklim tiga musim turut diwujudkan. Hasrat Allahyarham agar taman ini menjadi the wonder of Malaysia, Melalui taman ini, allahyarham mahu mengubah tanggapan orang ramai terhadap bidang pertanian. Katanya: “Maruah bidang pertanian, perikanan dan penternakan bergantung pada kejayaan Taman Pertanian ini. Selama ini bila orang sebut mengenai bidang pertanian, orang ramai pandang lekeh, orang pandang miskin orang pandang susah, orang pandang kotor, orang pandang kecoh, orang pandang ikan busuk, orang pandang binatang sakit, orang pandang pokok mati,” Pernah orang sinis dengan idea pertanian bertingkat.

Nampak lucu tetapi hakikatnya, ia mampu meningkatkan hasil petani dan mengatasi kekurangan kawasan pertanian. Apa tidaknya jika tingkat atas diusahakan pertanian, tingkat tengah ternakan dan di bawah sekali kolam ikan.

Diharapkan siapa pun yang menerajui kementerian ini, ambillah langkah yang dapat menambah pendapatan golongan berkenaan. Kita berjaya menerapkan pertanian itu perniagaan tetapi masih banyak yang boleh diperbaiki. Pertanian bukan sekadar memberi pekerjaan kepada masyarakat luar bandar?

Adakah pertanian hanya menyediakan bekalan makanan untuk negara atau sebagai pengeksport?

Jangan ketika menggalakkan pembangunan pertanian, pendapatan pengusaha tidak berubah kerana terpaksa menjaga kepentingan pengguna yang mahukan bekalan pada harga murah.

Bagi Salahuddin, sebaik memasuki kementerian, hasratnya mahu menubuhkan Majlis Perunding
Pertanian Negara bagi menjana idea ke arah memperkasa dan meningkatkan produktiviti industri asas tani seiring keperluan semasa.

Majlis itu akan dipengerusikan oleh seorang tokoh ternama sektor pertanian. Satu perkara lagi yang
diharapkan diberi perhatian adalah berhubung kenyataannya untuk melantik pengerusi agensi di bawah kementerian dalam kalangan orang yang benar-benar profesional dalam bidang pertanian.

Lantikan bukan sekadar mahu memberi ‘habuan’ kepada pendokong politik.

Kepada Salahuddin, selamat bertugas! Kepada mantan menteri, terima kasih atas sumbangan selama ini. Dan al-Fatihah buat Allahyarham Sanusi, semoga segala sumbangan Allahyarham dalam sektor pertanian ini akan mendapat ganjaran di sisi-Nya.

UMA280518008C#

Related posts

Leave a Comment