Tersurat, tersirat DAP ‘tinggalkan roket’

DEBARAN mengenai pem­bubaran Parlimen sudah berakhir. Kini rakyat menunggu pengumuman bilakah tarikh penamaan calon dan hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Inilah dua tarikh pen­ting yang dinantikan oleh orang politik dan pengundi-pengundi. Berapa lama pula tempoh berkempen? Banyak pihak sudah menjangka tarikh penamaan calon dan hari pengundian tetapi keputusan muktamad terletak kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Sehingga semalam, SPR masih menunggu tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN). Masih ada negeri kecuali Sarawak­ yang belum membubarkan DUN. Mungkin mengambil kira Sabtu dan Ahad sebagai cuti rehat. Diharapkan tidak timbul masalah bagi pilihan raya Parlimen dan DUN diadakan serentak di seluruh negara kecuali Sarawak yang telah mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2016.

Menjelang dua tarikh itu, tumpuan parti politik ketika ini adalah menyusun strategi untuk meletak calon bertanding serta mempromosikan manifesto ma­sing-masing. Apa yang menarik perhatian juga ialah sejauh mana ketetapan DAP ‘menarik diri’ menggunakan logo roket untuk PRU kali ini. Adakah pendirian itu muktamad atau DAP akan berubah fikiran? Bagaimana parti itu mampu untuk menyekat calonnya­ menggunakan roket yang banyak berjasa kepada parti itu? Mungkin ada yang tersurat dan tersirat di sebalik keputusan yang mungkin bagi sesetengah orang sebagai luar biasa dan menunjukkan parti itu tidak ada prinsip. Dalam politik apa sahaja boleh berlaku asalkan matlamat boleh dicapai.

Bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila calon parti lain menggunakan logo parti lain. Ada juga yang tidak menyertai mana-mana parti politik tetapi meminjam logo parti politik tertentu. Syaratnya logo itu berdaftar dengan SPR dan parti politik berkenaan membenarkan calon menggunakan logo tersebut. Apa yang dianggap luar biasa apabila logo itu digunakan secara meluas. Maksudnya bukan hanya di satu dua kawasan pilihan sedangkan parti berkenaan mempunyai imej yang tersendiri,­ mampu menggunakan­ logo tradi­ sinya.UMNO, MCA, MIC, Ge­rakan dan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain juga boleh menggunakan logo masing-masing tetapi­ apabila mereka membentuk satu perikatan atau gabu­ngan yang dinamakan­ BN, maka dacing digunakan oleh semua parti komponen. Sebelum dacing, logo yang digunakan oleh pakatan Perikatan adalah kapal layar.

Berbanding gabungan DAP, PKR, PAN dan PPBM, logo gabungan yang dinamakan Pakatan Harapan (PH) itu tidak dapat didaftarkan berikutan masalah yang melanda komponennya PPBM. Sebagai jalan keluar bagi menunjukkan kesepakatan, maka satu logo atau simbol sahaja digunakan iaitu PKR. Meminjam slogan Satu Hati Gerakan, semua calon DAP, PAN, PPBM akan menumpang logo PKR. Inilah strategi politik bagi mempamerkan satu hati dalam perjuangan, matlamat, suara, logo dan harapan pakatan. DAP me­ngakui begitu sedih melihat roket direhatkan di ‘tapak pelancarannya’ kali ini. DAP mungkin mahu dilihat tidak dilabelkan sebagai menguasai atau mengetuai parti lain dalam pakatan. DAP akan melakukan apa sahaja asalkan matlamat untuk menumbangkan kerajaan BN tercapai. Sebab itulah Dr. Mahathir Mohamad yang sebelum ini dijadikan bahan belasahan, cercaan, kutukan oleh pemimpin-pemimpin utama DAP, PAN, PKR dijadikan rakan akrab.

Selaklah kembali, apa gelaran yang tidak dilontarkan semasa kerajaan BN dipimpin oleh Dr. Mahathir. Jika terlupa, bertanya­­lah kepada pemimpin seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Anwar Ibrahim, Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Mat Sabu. Kecuali jika mereka juga mudah lupa, tidak ingat apa yang pernah mereka labelkan terhadap Dr. Mahathir. Begitu jugalah sebaliknya, apakah yang tidak dikatakan oleh Dr. Mahathir terhadap pemimpin-pemimpin pakatan­ ini. Hari ini, kerana matlamat mereka satu iaitu menumbangkan BN, permusuhan dilupakan. Persoalannya sejauh mana anggota­ DAP khususnya bersedia menurut rentak pemimpin yang membuat keputusan itu? Mungkin ini satu sejarah, tidak ada gambar roket di kertas undi dan bendera di kawasan yang ditandingi. Memang selama ini tidak ada logo UMNO, MCA, Gerakan atau MIC di atas kertas undi tetapi umum mengetahui dacing­ mewakili parti-parti ber­kenaan atas nama BN. Apa pun masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan kerana politik sentiasa berubah. Hari ini cakap lain, esok boleh berubah. Begitulah politik, ada tawar menawar.

DAP mungkin yakin percaturan kali ini amat penting. Hidup atau mati, istilah yang sering digunakan. Biarlah musuh politik memperkatakan mengenai isu ini termasuk ‘menggadai roket’ tetapi yang penting kuasa. Mungkin ini strategi yang boleh digunakan untuk menarik perhatian pengundi-pengundi yang berbelah bahagi terhadap DAP, PAN atau PPBM. Dengan satu lambang, secara luaran mempamerkan bentuk kesatuan yang sudah ada di atas kertas. BN tidak boleh memandang ringan atau sinis strategi ini. Penggunaan satu logo mungkin memberi kesan di kawasan tertentu terutama bagi mengaut sebanyak mungkin undi orang Melayu. Adakah ia bertujuan menggerakkan tsunami Melayu?

Sesuatu yang menarik perhatian juga, jika tidak ada sebarang perubahan, bendera parti yang bertanding pada kali ini hanyalah BN, Pas dan PKR. Bendera lain boleh disimpan. Banyak kos dapat dijimatkan kerana fokus men­ cetak satu logo sahaja sama ada bendera atau poster. Cabaran SPR pula adalah untuk memastikan peraturan pilihan raya dipatuhi. Sudah menjadi lumrah, bukanlah kerja mudah untuk bertindak ke­ rana semua bentuk tindakan akan dilihat sebagai bermotifkan politik, sama seperti tindakan yang diambil terhadap pembubaran sementara PPBM. Apa pula ke­sannya dengan manifesto PH yang menggunakan logo PH sedangkan ia tidak diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan? Malahan lambang PH juga belum didaftarkan dengan­ SPR. Mampukah SPR bertindak mengarahkan semua bahan kempen termasuk poster, bendera, kain rentang, sepanduk yang mengandungi­ logo PH serta PAN, PPBM dan DAP diturunkan di kawasan pilihan raya kerana mereka ‘tidak bertanding’ menggunakan simbol masing-masing? Walaupun calonnya adalah anggota yang mewakili parti berkenaan tetapi mereka memilih menggunakan logo PKR. Maka hanya logo berkaitan sahaja dibenarkan mengambil bahagian dalam semua bentuk kempen.

Tindakan ini mungkin me­ngundang provokasi yang boleh menjejaskan suasana kempen. SPR terpaksa menahan sabar menerima kecaman tradisi ini. Menyelak peristiwa sebelum ini, kemarahan akibat tindakan tegas SPR ini menyebabkan petugas agensi itu menjadi mangsa kemarahan sehingga boleh menjejaskan keselamatan. Ada petugas SPR yang dikepung oleh penyokong-penyokong parti sehingga SPR terpaksa meminta bantuan polis. Diharapkan keputusan DAP ini tidak menimbulkan masalah. Kepakaran pemimpin dalam pakatan itu yang pernah menerajui SPR dapat membantu memahami peraturan dan undang-undang yang pernah dilaksanakan di bawah kepemimpinannya.

Selak percaya, tidak timbul masalah walaupun ramai yang tidak faham atau pura-pura tidak tahu. Mengikut peraturan, hanya bahan kempen parti yang bertanding­ di satu-satu kawasan sahaja boleh dipasang. Jadi bila ada parti yang tidak bertanding di kawasan itu turut menaik-kan bahan kempen mereka, SPR perlu menguatkuasakan undang-undang. Parti bertanding cuma satu tetapi kenapa bahan kempen datang daripada pelbagai parti? Selama ini, jarang dilihat bendera UMNO, MCA, Gerakan atau MIC di kawasan PRU kecuali­ di premis parti. Apa yang ada hanya dacing. Apa pun, tunggu dan lihat perkembangannya

UMA090418010C#

Related posts

Leave a Comment