PAGI semalam, semasa kuliah Subuh di Surau Sayyidina Umar Al-Khattab, Bandar Seri Putra, penceramah, Ustaz Mohd. Nasir Mohd. Tap sempat mengingatkan jemaah supaya berhati-hati dengan kata-kata atau perkataan. Beberapa perkataan yang disebut termasuk ‘kalau, rahmat dan hikmah’. Walaupun ia bergantung kepada niat tetapi perlu disesuaikan juga dengan perbuatan atau tindakan seseorang. Contohnya ayat “di sebalik tindakannya melakukan sesuatu itu (yang tidak baik) ada hikmah atau rahmatnya,’’. Tanpa merujuk kepada mana-mana individu, beliau yang menyampaikan kuliah Perisai Bagi Sekalian Mukallaf juga bimbang dengan kecelaruan yang sedang berlaku di dalam masyarakat Islam terutama berkaitan agama.
Penulis tidak mahu mengulas lanjut mengenai kuliah itu tetapi menjadikan peringatan itu sebagai modal bahan untuk ruangan Selak pada minggu ini. Selak juga perlu berhati-hati ketika menulis. Takut terbabas! Tulisan ini tidak ada kena mengena dengan kuliah berkenaan sebaliknya berkait rapat dengan kebimba ngan penceramah terhadap pemikiran yang melanda umat Islam masa kini. Bercelaru, serabut dan bergaduh di alam maya. Benarlah perkataan dan perbuatan sama ada diucapkan secara serius atau gurauan boleh membawa kesan tidak baik. Kadang-kadang ucapan itu boleh merobek dan melukakan hati serta perasaan orang yang mendengarnya.
Baru-baru ini pemimpin Gerakan Pulau Pinang marah apabila Lim Kit Siang membayangkan mendiang Dr. Lim Chong Eu akan menyertai Pakatan Harapan sekiranya masih hidup. Kenyataan itu tidak wajar kerana mengaitkan orang yang sudah meninggal dunia dengan politik. Itu bagi yang bukan Islam. Bagaimana bagi orang Islam yang mungkin terdedah dengan pelbagai andaian melibatkan akidah? Lebih menakutkan jika perkataan atau perbuatan itu memungkinkan seseorang murtad tanpa disedari. Maka berhati-hatilah dengan perkataan atau perbuatan sama ada secara terbuka atau melalui media sosial. Hati-hati juga dengan sebarang andaian seperti perkataan `kalau…’. Sebelum ini beberapa kali penulis mengingatkan tentang bahaya media sosial terutama WhatsApp dan Facebook sekiranya disalahgunakan untuk menyebarkan sesuatu yang tidak tepat dan bercanggah dengan Islam. Media sosial mampu menjadi perangkap dosa halimunan (Rujuk Selak: Hati-hati perangkap dosa halimunan di dalam poket – Utusan Malaysia 2 Mei 2016).
Melalui media sosial ini, ada pelbagai kiriman berbentuk teks, foto dan video. Ada yang baik dan perlu diikuti kerana ia berupa nasihat, pedoman dan ajaran yang boleh diterima pakai. Tidak kurang juga yang menyeleweng, tidak tepat, meragukan atau tidak benar lebih-lebih lagi apabila yang berucap merujuk kepada pelbagai fatwa atau hadis. Ada hadis sahih dan ada hadis palsu. Penerima harus berhati-hati sebelum menyebarkannya tetapi bagi penulis selagi ia tidak menyeleweng dan mampu mendorong seseorang melakukan yang terbaik bagi mencari keredaan Allah, ikut sahaja (Ini pandangan penulis). Ingatlah kesannya jika kita menyebarkan sesuatu yang tidak benar atau palsu. Dalam hal agama, ia bukan berkait rapat dengan hukum dunia iaitu Akta Antiberita Tidak Benar sebaliknya berkaitan akidah. Berita tidak benar atau palsu boleh dinafikan tetapi apabila menyebarkan sesuatu yang tidak benar berkaitan hukum agama, buruk padahnya. Apa jadi sekiranya hukum yang tidak benar itu menjadi pegangan orang lain sepanjang hayatnya?
Ketelanjuran berkata-kata termasuk melalui mesej atau WhatsApp akan memberi kesan amat mendalam. Fikiran masyarakat terutama yang cetek agama akan bercelaru. Menjelang pilihan raya umum (PRU) ini, melalui WhatsApp, pemilik telefon akan menerima pelbagai video dan teks berkaitan politik termasuk ceramah yang kadang-kadang dikaitkan dengan agama. Begitu juga fitnah seperti yang diselak pada minggu lalu di bawah tajuk “Hanya kerana undi, fitnah bakal mengotori PRU14”. Ketika ini sudah ada ceramah politik dikaitkan dengan halal haram mengundi parti tertentu. Maka bertebaran-lah hujah umpama ‘fatwa’ disogokkan kepada masyarakat terutama di luar bandar supaya memilih parti berkenaan.
Contohnya, dulu orang yang sama mempertahankan supaya undi Pas dan menolak UMNO tetapi disebabkan individu berkenaan telah berpisah dengan Pas, ada yang kini mendakwa undi Pas pula haram.Alasan yang diberi pula dangkal, tidak kukuh, hanya melihat sebelah pihak tetapi tidak melihat diri sendiri. Ibarat meludah ke langit terkena batang hidung sendiri. Peliknya tidak dijelaskan apa ‘dalil’ yang mewajarkan partinya dipilih. Mangsanya masyarakat di bawah yang terus bertelagah siapa benar dan siapa salah. Begitulah politik dalam mencari undi yang menggunakan ihsan agama. Banyak lagi kecelaruan yang akan berlaku menjelang PRU ini. Kepada parti-parti politik terutama pemimpin yang bijak berhujah, elakkan menjadikan agama sebagai alat untuk memancing undi.
Benar politik dan agama tidak dapat dipisahkan tetapi jangan kerana undi, ada pihak yang terpaksa menggunakan agama. Tidak ada kesudahannya kerana anda semua orang politik yang masing-masing mengaku di pihak yang benar dan cuba menegakkan benang yang basah. Dulu cakap lain sekarang cakap lain hanya kerana perubahan kem. Paling penting bagi ahli politik beragama Islam supaya berhati-hati ketika berceramah atau berkempen supaya kesannya tidak berpanjangan kepada masyarakat terutama di luar bandar disebab-kan mereka disogokkan dengan fakta yang tidak betul. Lebih parah sekiranya perkataan dan perbuatan mereka bukan sahaja menyebabkan perpecahan tetapi terjerumus kepada kekufuran.
Jangan terlalu angkuh, sombong dan berlagak pandai ketika berbicara atau berbahas. Jaga batasannya supaya tidak ‘tergelincir’. Sebagai orang Islam, awasilah setiap perkataan atau perbuatan. Jangan hanya kerana mahukan undi, agama tergadai. Ingatlah peringatan Allah melalui firman Nya yang terkandung di dalam surah At-Tawbah. Apa pun tujuan berpolitik, jangan sesekali terkeluar perkataan yang boleh dilihat mempersendakan Allah dan menghina Nabi Muhammad SAW, menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal. Begitu juga dengan perbuatan seperti menyembah berhala, matahari, bulan, manusia atau mana-mana makhluk serta perbuatan menghina, merendah dan mempersendakan Islam.
Dalam keghairahan berkempen, kadang-kadang apa yang diucap dan dilakukan menyalahi hukum Islam. Amat malang jika ketika itu hilang istilah dosa atau haram. Umat Islam marah apabila Tuhan, nabi dan agama dipersenda tetapi mereka sendiri membuka ruang ke arah itu.
UMA020418010C#