DUN Sarawak bubar 26 Oktober

KUCHING  – Premier Sarawak, Abang Johari Abang Openg mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 26 Oktober ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Ke-13 (PRU DN-13).

Katanya, pembubaran itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Negeri, Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, hari ini.

Abang Johari berkata, DUN Sarawak ke-19 mula bersidang pada 14 Februari 2022 berdasarkan Perkara 21(3) Perlembagaan Negeri Sarawak dan akan terus berfungsi selama lima tahun dari tarikh persidangan pertamanya, kecuali dibubarkan lebih awal.

Beliau berkata, sejak menerima mandat rakyat pada 18 Disember 2021, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berusaha memajukan pembangunan negeri, memperkukuh ekonomi, meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan awam serta mempertahankan hak dan kepentingan Sarawak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kerajaan GPS sudah mencapai pelbagai kejayaan yang saya nyatakan dalam ucapan penggulungan pada persidangan DUN yang baru selesai.

Pelbagai pencapaian itu adalah manifestasi usaha kerajaan GPS meningkatkan kesejahteraan rakyat demi masa depan Sarawak yang lebih baik,” katanya.

Abang Johari berkata, menjelang berakhirnya tempoh penggal DUN, adalah wajar mandat baharu daripada rakyat diperoleh bagi membolehkan mereka menentukan kerajaan pilihan melalui proses demokrasi.

“Selaras amalan demokrasi berparlimen dan bagi memastikan hak rakyat Sarawak untuk memilih kerajaan secara demokratik terus terpelihara, rakyat perlu diberi peluang memilih kerajaan baharu dengan mandat segar bagi meneruskan agenda pembangunan negeri.

“Sehubungan itu, Yang di-Pertua Negeri sudah memberi perkenan terhadap permohonan saya untuk membubarkan DUN dan berdasarkan Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak, DUN dibubarkan berkuat kuasa 26 Oktober 2026,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sarawak, pilihan raya negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran, manakala DUN baharu hendaklah dipanggil bersidang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh berkenaan.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dimaklumkan secara rasmi mengenai pembubaran DUN bagi membolehkan persiapan berkaitan pilihan raya dibuat, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian akan ditentukan serta diumumkan SPR.

Dalam tempoh berkenaan, kerajaan negeri akan menjalankan tanggungjawab sebagai kerajaan sementara dengan mematuhi keperluan dan amalan perlembagaan, selain memastikan pentadbiran awam serta perkhidmatan penting terus beroperasi demi kebajikan rakyat.

Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Sarawak atas kepercayaan dan sokongan diberikan sepanjang penggal ini, selain menghargai jasa Ahli DUN serta perkhidmatan awam dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak, khususnya parti politik, calon dan penyokong supaya menghormati undang-undang serta menjaga tingkah laku dengan penuh tanggungjawab sepanjang tempoh pilihan raya.

DUN Sarawak ketika ini mempunyai 82 kerusi dan bakal berkembang kepada 99 kerusi selepas SPR meluluskan persempadanan 17 kawasan baharu yang sudah diputuskan DUN Sarawak.

Pada PRN Sarawak pada 18 Disember 2021, GPS menang besar dengan menguasai 76 daripada 82 kerusi, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) memenangi empat kerusi dan DAP dua kerusi.

Empat kerusi dimenangi PSB ketika itu ialah Bawang Assan, Engkilili, Ba’Kelalan dan Batu Lintang.

Related posts

Leave a Comment