Jentera BN diminta sokong calon Pas

JASIN 23 Okt. – Semua jentera Barisan Nasional (BN) diminta memberikan sokongan penuh kepada calon Pas dan rakan sekutunya yang bertanding di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) kali ini.

Pengerusi BN,  Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama yang terjalin itu perlu diterjemah menerusi sokongan jentera dan undi bagi memastikan calon kedua-dua pihak memperoleh kemenangan.

Berucap melancarkan Jentera BN Parlimen Jasin di Dewan Alamanda, di sini,

beliau berkata, sebagai balasan, jentera dan pengundi Pas perlu memberikan sokongan kepada calon BN yang bertanding di 21 DUN.

“Persefahaman itu perlu disusuli komitmen kedua-dua pihak untuk memastikan jentera dan pengundi masing-masing memberikan sokongan kepada calon yang dipersetujui.

“Pada kali ini, janji mereka kepada kita, jentera dan undi mereka akan diberikan kepada calon BN yang bertanding di 21 DUN di Melaka.

“Janji kita kepada mereka pula, mereka akan bertanding di tujuh DUN, saya minta semua jentera dan juga pengundi UMNO serta BN supaya memberikan sokongan kepada mereka bagi memastikan kerjasama yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberi bayangan Melaka akan terus diterajui Ab Rauf Yusoh, sekiranya BN dan rakan strategiknya memenangi pilihan raya ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, keyakinan itu bersandarkan potensi besar Ab Rauf yang dikenalinya sejak Ketua Menteri Melaka itu berkhidmat sebagai Setiausaha Kerja UMNO.

“Benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau. Itulah dia Datuk (Seri) Rauf. Insya-Allah, Datuk Rauf, walaupun kita beli barang dalam talian, barang itulah juga yang Melaka akan dapat,” katanya

Related posts

Leave a Comment