SEPANG 23 Okt. – Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengarahkan pasukan peguamnya memulakan proses saman terhadap Menteri Sumber Manusia, R Ramanan, susulan dakwaan dan tohmahan dilemparkan terhadapnya semalam.
Pemimpin Bersama itu berkata, beliau sudah berbincang dengan pasukan peguamnya yang berpandangan terdapat asas kukuh untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Ramanan berhubung kenyataan yang didakwa melanggar undang-undang fitnah di negara ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti pelbagai tohmahan yang dilemparkan Ramanan terhadapnya dalam sidang media semalam, termasuk tuduhan terbabit dalam rasuah.
“Saya sudah mengarahkan peguam-peguam saya untuk memulakan proses saman terhadap Ramanan,” katanya melalui muat naik di di Facebook.
Semalam, Ramanan yang juga Naib Presiden PKR ketika sidang media sempena Majlis Apresiasi Perkhidmatan Warga Kementerian Sumber Manusia menyifatkan Rafizi sebagai pembohong bersiri kerana sering mengeluarkan kenyataan tidak benar dan memutar belitkan keadaan.
Ramanan dilaporkan berkata sudah banyak kali bekas Timbalan Presiden PKR itu mengeluarkan kenyataan yang tidak benar dan kemudian memohon maaf.
Malah, Ramanan berkata apa yang paling menjengkelkannya adalah apabila Rafizi kalah saman di mahkamah, beliau akan membuat kutipan awam meminta wang daripada rakyat.
Ramanan turut mendesak Rafizi Ramli menjawab skandal membabitkan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, khususnya berhubung isu penyalahgunaan kuasa membabitkan Yayasan Hijau Malaysia.
Kenyataan Ramanan itu mengulas apa yang disebut Rafizi sebelum ini yang mendakwa masih belum menerima writ saman daripada Ramanan, berhubung tuduhan menerima RM9.5 juta daripada ahli perniagaan, Victor Chin bagi menyelesaikan isu mafia korporat.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, tindakan saman wajar dibuat memandangkan Ramanan didakwa terus mengelak daripada menjawab beberapa tuduhan berhubung dirinya dan rasuah.
Dalam kenyataan sama, beliau turut mendakwa sidang media Ramanan itu mengesahkan bahawa beliau tidak pernah mengambil tindakan mahkamah berhubung kenyataannya sebelum ini yang menamakan Ramanan sebagai Ahli Parlimen PKR yang didakwa menerima suapan RM9.5 juta bagi menyelesaikan kes mafia korporat.
Katanya, Ramanan juga mengulangi pendirian untuk tidak mengambil tindakan undang-undang berhubung kenyataan berkenaan, berbeza dengan cabaran terdahulu untuk menyaman pihak yang mengaitkannya dengan dakwaan itu.
Rafizi turut mendakwa kenyataan Ramanan menunjukkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Parlimen minggu ini bahawa Ramanan sudah mengambil tindakan mahkamah adalah tidak benar.
“Saya serahkan kepada ahli-ahli Parlimen untuk mengambil tindakan seterusnya, iaitu merujuk Perdana Menteri kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen untuk diambil tindakan kerana membuat kenyataan yang tidak benar di Parlimen,” kata bekas Ahli Parlimen Pandan itu.
Nnnnn
