Hanya kerana undi, fitnah bakal mengotori PRU-14

MENJELANG Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pelbagai strategi akan diguna oleh parti-parti politik. Tidak ketinggalan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sama ada yang berpihak kepada kerajaan atau menyokong pembangkang. Begitu juga individu. Strategi ini adalah bagi menarik  perhatian pengundi-pengundi serta masyarakat seluruhnya. Ada yang baik dan ada yang tidak baik. Positif dan negatif. Strategi untuk memenangkan parti dengan kaedah yang betul masih boleh terima tetapi jika ia strategi semata-mata bertujuan memburukkan lawan dengan fakta yang salah hanya akan mencetuskan pertelagahan. Fitnah akan bermaharajalela terutama melalui media sosial termasuk WhatsApp.

Sedar atau tidak, ketika ada suara yang mempertikaikan mengenai ketelusan atau sejauh mana bersihnya PRU di negara ini, ada pula pihak yang awal-awal lagi sudah mengotori PRU dengan penyebaran fitnah dan berita palsu, semata-mata mahu memancing undi. Sewajarnya, pilihan raya bersih bukan sekadar pada hari mengundi tetapi harus bermula di peringkat awal laluan ke detik penentuan itu. Lebih membimbangkan jika ada pihak yang cuba menimbulkan kekecohan menjelang hari pengundian. Seperti didedahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini, polis telah mengenal pasti individu dan organisasi yang berpotensi melakukan ‘serangan mengejut di saat akhir’ yang bertujuan menimbulkan kekecohan semasa PRU-14.

Apakah serangan yang dimaksudkan itu? Contoh yang disebut adalah berkaitan dakwaan kononnya 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk sebagai pengundi hantu ketika PRU- 13. Perkara yang sama mungkin berlaku. Ketakutan yang amat sangat atau fobia terhadap ‘pengundi hantu’ sudah menghantui sesetengah pemimpin politik pembangkang. Menyelak kembali beberapa PRU dan pilihan raya kecil (PRK), ada parti politik yang membuat kecoh dengan mengaitkan isu pengundi hantu. Asal ada bas yang membawa ramai orang, kenderaan itu akan ditahan. Apakah kesudahannya dengan dakwaan wujudnya pengundi hantu? Berapa ramai yang diheret oleh mereka yang mendakwa pengundi hantu ini ke mahkamah atau melaporkan kepada SPR? Apa lagi yang mereka mahu SPR lakukan bagi memuaskan hati? Setiap parti politik mempunyai wakil di bilik mengundi yang berpeluang melihat wajah pengundi dan menandakan kehadirannya apabila disebut oleh pegawai lantikan SPR. Petugas politik boleh menyemak senarai nama melalui nombor kad pengenalan yang dibaca oleh kakitangan sementara pilihan raya dan menanda kehadirannya. Pada masa yang sama jari pengundi pula akan dicelup di dalam dakwat.

Siapakah pengundi hantu? Tafsiran pihak sebelah sana sudah tentu orang luar yang tidak layak mengundi atau orang mengundi berulang kali. Jika ini berlaku tanpa pengetahuan SPR atau pegawai yang bertugas termasuk pekerja parti, mereka ini memang ‘hantu’. Mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hantu membawa maksud ciptaan, khayalan manusia yang menakutkan atau menggerunkan. Maknanya pengundi khayalan manusia. SPR pula menjelaskan, istilah pengundi hantu dipolitikkan. Hakikatnya, terdapat segelintir pemilih berdaftar yang telah berpindah dan tidak lagi bermastautin di kawasan di mana mereka mendaftar sebagai pemilih. Mereka hanya pulang ke kawasan berkenaan dalam tempoh empat atau lima tahun dan berkemungkinan penduduk di kawasan berkenaan tidak lagi mengenali pemilih tersebut dan seterusnya membuat tanggapan bahawa pemilih tersebut adalah pengundi hantu. Pengundi hantu sebenar adalah pengundi yang datang untuk membuang undi di tempat mengundi dengan menggunakan kad pengenalan palsu atas nama pengundi lain yang berdaftar dalam Daftar Pemilih SPR. Bukanlah sesuatu yang mustahil, isu pengundi hantu akan dimainkan semula dan tular kembali. Matlamat kumpulan ini adalah untuk menjejaskan imej SPR serta senjata untuk menentang kerajaan. Hakikatnya pihak berkenaan akan menggunakan pelbagai isu sebagai `bom saat terakhir’ walaupun bom lama yang mungkin tidak akan meletup atau bakal memusnahkan diri sendiri.

Berkaitan fitnah ini, terdapat beberapa isu lama yang tular semula. Inilah hasil akibat hidup terlalu bergantung kepada maklumat melalui media sosial atau WhatsApp. Minat membaca laporan yang betul sudah tidak ada. Mereka tidak mahu membaca dan tidak peduli lagi dengan laporan media. Sikap cut & paste dan forward menyebabkan ramai yang menjadi penyebar berita palsu atau berita dikitar semula. Adakah laporan seperti ini boleh dikenakan tindakan di bawah penyebaran berita palsu?

Contoh isu persaraan. Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menegaskan bahawa isu melanjutkan persaraan penjawat awam kepada 62 tahun adalah isu lama. Difahamkan, isu itu ditimbulkan semula bagi mewujudkan rasa benci terhadap kerajaan. Hakikatnya, isu 2015 ini telah diselesaikan pada 2016. Sepatutnya orang muda lebih marah dengan hasrat pihak di sebelah sana yang berulang kali bercadang mengurangkan jumlah penjawat awam. Mereka mendakwa penjawat awam di negara ini terlalu ramai termasuk membandingkan Malaysia de­ngan negara-negara lain. Begitu juga dengan isu air yang ditular­kan. Ada pihak sebelah sana mengambil kesempatan isu air di Selangor dengan menyebarkan kononnya gangguan bekalan air juga berlaku di Kuantan melibat­kan 80,000 pengguna. Sebenar­nya itu isu Januari lalu. Puncanya juga bukan seperti apa yang di­alami di Selangor. Benar, gang­guan air berlaku di mana-mana tetapi harus dilihat punca dan kekerapannya. Jelaslah, bahawa masih ramai rakyat Malaysia yang malas membaca atau mengingat kembali apa yang sudah berlaku.

Mungkin mereka cepat lupa. Dalam erti kata lain, mereka me­nolak untuk membaca, menon­ton dan mendengar laporan daripada media yang memberi maklumat berasaskan fakta. Pe­mikiran mereka sudah ditanam membenci laporan daripada sumber­ yang sah. Begitulah he­batnya pengaruh media sosial yang mampu melemahkan minat membaca. Malangnya, hari ini bagi yang membaca pula, akibat kepentingan politik, rakyat juga dikelirukan. Mereka yang sudah ‘membaca, mendengar dan meli­hat’ apa yang ditulis atau diucap­ kan pemimpin tertentu bertam­bah keliru apabila hari ini secara tidak langsung tampil menafikan apa yang sudah menjadi sejarah.

Adakah sejarah yang sudah ditulis dan dibukukan itu perlu ditulis semula? Gara-gara undi, ada yang lidah bercabang, berbelit 180 darjah, sanggup tunduk menjilat semula ludah sendiri, dan cuba menulis semula sejarah atau menegakkan benang basah. Amat malang, ramai yang sudah tertipu dengan apa yang telah diucapkan atau ditulis. Dulu cakap lain seka­rang cakap lain. Perlukah buku berkaitan dinyahkan, ditarik balik atau diolah semula? Bolehkah se­jarah berbohong? Begitulah menjelang PRU. Hanya kerana mem­buru undi, fitnah menjadi perkara biasa, aib orang tidak dipedulikan, berita palsu bebas berlegar dan banyak lagi cubaan mengeliru­ kan pemikiran rakyat. Politik kini menghalalkan cara?

UMA260318010C#

Related posts

Leave a Comment