Krisis paling teruk di Itali

ROM: Itali telah pun mencatatkan kematian melebihi 5,000 orang mengatasi jumlah yang dicatatkan negara China, tempat bermulanya wabak Covid-19.

Kelmarin jumlah kematian akibat penularan wabak itu melonjak sebanyak 793 kes sehari menjadikan kematian 4,825 orang tetapi hari ini jumlah keseluruhan korban yang dicatatkan adalah sebanyak  5,476 berbanding China 3,261 orang.

Jika kes jangkitan semalam menunjukkan 53,578 berbanding 47,021 kelmarin, angka terkini hari ini menunjukkan jumlah itu telah meningkat kepada 59,138 kes.

Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte menyifatkan rakyatnya sedang menghadapi krisis paling teruk sejak Perang Dunia Kedua dan mengarahkan semua perniagaan ditutup sehingga 3 April ini bagi membendung wabak itu.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada operasi yang penting untuk mengekalkan rantaian bekalan barangan keperluan di negara.

Pasar raya, farmasi, pos dan perbankan akan kekal dibuka, selain perkhidmatan awam penting termasuk pengangkutan diteruskan.

Berikutan kematian yang terus meningkat, Ketua Institut Kebangsaan (ISS), Silvio Brusaferro menggesa warga tua untuk terus duduk di dalam rumah sepanjang masa. Ini disebabkan purata usia korban Covid-19 di Itali adalah 78.5 tahun.

“Jika anda tidak mengikut semua langkah pemerintah, anda akan membuatkan keadaan lebih sukar. Jika semua perintah dipatuhi, kami boleh memperlahankan penyebaran wabak,” katanya.

Related posts

Leave a Comment