Tahun baharu harapan baharu?

SELAMAT datang 2018, hari ini hari pertama tahun baharu Masihi. Bagi takwim Islam, tahun 1439 sudah menghampiri pertengahan bulan keempat iaitu Rabiulakhir. Biasanya setiap kali tahun baharu, pelbagai ucapan berserta azam ‘bermain-main’ melalui pelbagai mesej di telefon. Malam tadi, banyak acara yang diadakan sama ada bercorak agama atau hiburan. Percikan bunga api seolah-olah menjadi satu kemestian sambutan. Tahun baharu harapan pun baharu. Masing-masing mempunyai cita-cita atau matlamat untuk dicapai pada tahun ini. Bagi pihak kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN), Bajet 2018 yang menjanjikan beberapa perkara atau insentif untuk rakyat dan negara akan dilaksanakan mulai hari ini. Semoga pelaksanaannya berjalan dengan baik lebih-lebih lagi 2018 merupakan tahun Pilihan RayaUmum Ke-14 (PRU-14).

Soal bila penamaan calon dan hari pengundiannya tidak lagi penting kerana fokus parti-parti politik sekarang ialah untuk memastikan kemenangan mereka. Dalam tempoh beberapa bulan ini, rakyat akan membuat penilaian terakhir terhadap parti pilihan mereka di peti undi. Merekalah yang memainkan peranan untuk ‘melindungi’ negara dan rakyat. Paling awal PRU dijangka berlangsung pada bulan April walaupun ada yang menjang-kakan Dewan Rakyat akan dibubarkan pada bulan Mac selepas satu persidangan berlangsung. Mungkin juga paling lewat pada bulan Ogos jika diambil kira Parlimen terbubar dengan sendirinya sebelum akhir Jun berdasarkan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-13 pada 24 Jun 2013.

PRU kali ini memang menjadi tumpuan dengan kehadiran beberapa tokoh yang pernah berada di gelanggang Barisan Nasional (BN) tetapi kini berpakat dengan parti pembangkang – DAP, PKR, Amanah dan PPBM yang dinamakan Pakatan Harapan (PH). Bagi BN, sudah tentulah matlamat untuk mengekalkan kemenangan atau kekuasaan. PH pula mahu peralihan kuasa atau bagi PPBM keutamaannya menjatuhkan Najib. Jika tidak ada perubahan, Pas akan bersendirian menghadapi BN dan PH. Sikap Pas yang tidak mahu menjalinkan kerjasama dengan PH juga mendorong seorang lagi ahli Parlimen Pas, Mahfuz Omar (Pokok Sena) meninggalkan parti itu. Tengah malam tadi, berakhirlah perjuangan bekas Naib Presiden Pas itu selama 34 tahun bersama parti itu. Setakat ini beliau belum menetapkan parti pilihannya.

Sebelum ini enam ahli Parlimen Pas menyertai Amanah yang diasaskan oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu @ Mat Sabu. Mahfuz sebelum ini sudah kerap berada di pentas PH untuk berceramah. Keputusannya sudah tentu dialu-alukan Pas dan bukan satu kejutan.

Berbalik kepada PRU, Perdana Menteri, Najib Tun Razak sendiri dengan tegas mengingatkan anggota UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang lalu bahawa PRU-14 adalah ‘Bapa Segala Pilihan Raya’. Sama ada ibu atau bapa, PRU ini amat penting bagi menentukan masa depan Malaysia. Menyelak kembali penegasan Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN itu, Najib berkata: “Perang kali ini yang bergelar Bapa Segala Pilihan Raya, kita akan bertempur, berlawan… lawan habis-habisan!.. ”. Dalam ucapan dasarnya di perhimpunan yang dianggap penghulu segala perhimpunan itu, Najib mengingatkan, obor perang yang jamungnya sudah berjulang tidak sesekali boleh dibiarkan padam. Demamnya pula tidak akan kebah-kebah melainkan selepas menang besar dalam PRU-14. Begitulah pentingnya 2018. Se-malam, dalam perutusan tahun baharu juga, beliau menyentuh mengenai PRU. Baginya, lembaran baharu 2018 bakal menyajikan pilihan kepada rakyat dalam menentukan mandat kepada kerajaan berwawasan atau pihak yang mencetuskan perpecahan.

Menurut Najib, memilih kerajaan adalah perkara serius. Ada dua pilihan. Pertama memilih kerajaan yang terus bekerja demi kebaikan rakyat dengan hala tuju dan polisi jelas yang menentukan kemajuan Malaysia dalam jangka pendek serta panjang. Pilihan lain adalah pihak yang berkempen secara negatif, menyuntik amarah dan ketidakpuasan hati masyarakat untuk mendapatkan undi, dengan tidak menjanjikan apa-apa melainkan angan-angan populis yang hanya akan merosakkan negara. Rakyat mampu membezakan pihak yang menyajikan harapan palsu atau memilih berdasarkan rekod pencapaian demi menjana kepentingan masyarakat.

Sempena tahun baharu dan menjelang PRU, pemimpin parti politik akan bercakap mengenai harapan baharu, perubahan atau transformasi politik. Ada juga ahli politik yang mengitar semula ucapan dan ada yang mudah lupa apa yang disebut sebelum ini. Penganalisis politik, Anbumani Balan berpendapat, rakyat pada hari ini semakin bijak kerana mereka boleh membuat penilaian serta kajian tersendiri. Mereka bosan dengan kata-kata retorik yang hanya bermain di bibir demi kelangsungan agenda politik. Baginya, definisi harapan baharu perlu diterjemahkan melalui tindakan yang tersusun dan terancang, ada matlamat dan sasaran.

Memandangkan tempoh beberapa bulan ini amat penting bagi parti-parti politik, sudah tentu sebarang isu yang menimbulkan kontroversi boleh menjejaskan imej parti. Ahli politik terutama di peringkat pemimpin perlu lebih berhati-hati supaya tindak tanduk mereka tidak merugikan parti. Apakah mereka benar-benar bersedia menghadapi PRU? Bagi BN, adakah sudah terubat luka akibat tsunami PRU-12 (2008) dan PRU-13 yang gagal mendapat majoriti dua pertiga? Sejak dari tahun 2008, parti komponen BN lantang bercakap mengenai pembaharuan politik malah pelbagai isu berkaitan dibahas dan diulang berkali-kali. Adakah sudah berlaku perubahan untuk menyelamatkan parti?

“Apakah parti komponen sudah melakukan ataupun bersedia berdepan dengan perubahan politik seiring dengan perubahan semasa? Apakah mereka sudah dapat menerima realiti yang sebenar seperti mana kehendak dan keinginan rakyat serta generasi muda?,” tanya Anbumani. Bagi beliau, perubahan politik berpaksikan kepada tindakan drastik adalah untuk memastikan sesebuah parti itu relevan dalam apa juga keadaan. Transformasi ataupun pembaharuan bukan sekadar di atas kertas ataupun untuk mengukuhkan pemimpin tertentu. Apa makna jawatan sekiranya parti tersungkur dalam PRU.

“Kuasa dan suara politik sesebuah parti itu amat penting di Dewan Rakyat. Janganlah menipu diri sendiri semata-mata mahu menjaga hati penyokong ataupun pemimpin kesayangan. Pemimpin datang dan pergi, tetapi parti perlu dipertahankan demi menjamin harapan rakyat,” katanya.

Parti politik mempunyai peranan untuk meyakinkan rakyat supaya membuat pilihan tepat. Rakyat pula perlu matang membuat pilihan. Jangan mempermainkan kuasa undi. Dalam hal ini Selak tertarik dengan lagu puisi Perahu Retak dendangan Franky Sahilatua dari Indonesia. Salah satu bait puisi itu ialah Perahu negeriku, perahu bangsaku; jangan retak dindingmu; semangat rakyatku, derap kaki tekadmu; jangan terantuk batu.

Selamat Tahun Baharu 2018!

UMA010118010C#

Related posts

Leave a Comment