BN, PN bentuk kerajaan Negeri Sembilan

SEREMBAN 1 Ogos – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan membentuk Kerajaan Negeri Sembilan selepas gabungan itu memperoleh majoriti dua pertiga berdasarkan keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.

Pengerusi BN,  Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata secara tidak rasmi, BN memenangi 18 kerusi manakala PN memperoleh tujuh kerusi sekali gus memberikan kedua-dua gabungan itu majoriti untuk menerajui pentadbiran negeri.

“Kami akan meneruskan perbincangan susulan antara kedua-dua gabungan ini berkaitan pembentukan kerajaan negeri yang baharu berdasarkan keputusan yang dimaklumkan,” katanya pada sidang media di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan negeri yang bakal dibentuk adalah berteraskan persefahaman antara BN dan PN serta berpaksikan mandat yang diberikan rakyat.

Beliau berkata, mandat itu hadir bersama dengan tanggungjawab besar untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan berwibawa selain berusaha meningkatkan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri.

“Kami menerima keputusan ini dengan penuh rendah diri, tawaduk dan rasa tanggungjawab. Kepercayaan rakyat bukanlah alasan untuk kami leka atau sombong.

Tugas kami bermula malam ini. Setiap aku janji dalam manifesto, insya-Allah akan kami lunaskan demi kepentingan rakyat dan negeri keseluruhannya,” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hassan; Presiden Wawasan, Hamzah Zainuddin; Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud; Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC,  M Saravanan.

Ditanya mengenai urusan menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Ahmad Zahid berkata, ia akan dilakukan secepat mungkin.

Sebanyak 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan pada PRN kali ini, membabitkan 103 calon.

Related posts

Leave a Comment