Masalah disiplin atau lindungi hak anak-anak

SESI persekolahan 2018 memasuki minggu kedua. Menyelak kembali minggu pertama, pelbagai ‘ragam’ dapat dilihat sama ada murid-murid yang kali pertama memasuki alam persekolahan atau pun ibu bapa yang ‘melepaskan’ anak mereka ke sekolah. Seperti biasa, orang kita yang sememangnya begitu kreatif ‘melakarkan’ pelbagai ‘peristiwa dan aksi’ ibu bapa, guru dan murid-murid pada musim persekolahan ini. Gambar beserta dialog nakal, sinis dan pelbagai lagi dicipta bagi menggambarkan suasana sesi persekolahan ini. Tidak kurang juga ibu bapa yang membuat tinjauan di sekolah termasuk ketika di kantin sehinggalah anak-anak menamatkan pelajaran pada hari berkenaan. Tahniah kepada ibu bapa yang begitu prihatin dan mengambil berat persekolahan anakanak mereka.

Ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja agar anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik. Di Lipis misalnya, heboh mengenai kegigihan seorang bapa yang mahu menghantar anaknya ke sekolah. Murid pra sekolah berusia lima tahun itu dibawa melintasi jambatan gantung yang uzur walaupun terdedah kepada bahaya. Tahniah kepada ibu bapa berkenaan yang berjaya menarik perhatian masyarakat melalui video yang tular di media sosial walaupun mengambil masa yang lama untuk dipaparkan sejak jambatan itu rosak. Begitulah kuasa media sosial yang begitu pantas mendapat reaksi. Sekurang-kurangnya ia membuka mata semua pihak mengenai kewajaran mendahulukan atau mempercepatkan keperluan mendesak masyarakat setempat.

Bagi mengelak salah tanggapan dan persepsi negatif, sebarang kelemahan yang ada perlu diperbaiki. Jadikan isu ini sebagai iktibar. Jangan biarkan sesuatu yang rosak dan uzur terbiar begitu lama sehingga terdedah kepada pelbagai risiko. Sebelum ini banyak tragedi berlaku di kawasan yang sepatutnya dijadikan kawasan larangan, contohnya lombong, tasik dan takungan buatan manusia. Sejak awal lagi, kawasan itu sepatutnya ditutup untuk kegunaan awam. Jangan jadikannya sebagai bahan arkib atau lokasi bersejarah untuk dilawati. Mungkin kawasan itu boleh dipertimbangkan untuk
dibuka semula  sekiranya ada penerbit drama atau filem mahu menjadikannya lokasi aksi stunt.  Masyarakat boleh membuat pelbagai andaian terhadap isu ini, ada pro dan kontra, positif dan negatif. Ada yang menganggap tindakan itu mahu memaparkan kesusahan, tanda protes, bermotif politik, jimat petrol dan macam-macam lagi. Itu hak masing-masing untuk memberi pendapat.

Tidak mungkin semua orang mempunyai selera yang sama. Setiap orang mempunyai cara untuk meluah atau menyatakan sesuatu mengenai perasaan mereka asalkan mendapat perhatian dan kepuasan. Berkaitan sesi persekolahan, turut menarik perhatian, kisah seorang lelaki yang selama tiga tahun mendukung cucunya orang kurang upaya (OKU) untuk ke sekolah kerana dilahirkan tanpa kaki. Tahun ini, cucunya yang memasuki Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Lepan Jaya, Gua Musang mendapat kaki palsu sumbangan seorang ahli korporat dari Kuala Lumpur.

Begitulah sedikit cerita berkaitan kegigihan untuk menyekolahkan anak-anak walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai kesukaran. Kanak-kanak berhak mendapat kemudahan untuk belajar dan mereka juga berhak dilindungi daripada pelbagai ‘ancaman’. Kepada ibu bapa ‘lepaskanlah’ anak-anak untuk ke sekolah menimba ilmu. Berilah kepercayaan dan sedikit kuasa kepada guru-guru yang diamanahkan untuk mendidik anak-anak ini termasuk dalam soal disiplin.Guru-guru tidak akan bertindak sewenang-wenangnya ketika menghukum murid atau pelajar. Sebarang tindakan yang diambil adalah bertujuan mendisiplinkan muridmurid dan membentuk mereka menjadi insan berintegriti. Amat malang apabila ada guru disiplin yang menghukum murid atau pelajar mereka terpaksa diheret ke mahkamah.

Di mana silapnya? Sebarang pertelingkahan berkaitan isu ini perlu diselesaikan di meja rundingan. Elakkan sebarang tekanan terhadap golongan pendidik. Tekanan pelbagai pihak terhadap guru akan menyebabkan pendidik takut untuk menjalankan tanggungjawab mengajar dan mendidik. Kita akui sikap ibu bapa dahulu dan sekarang jauh berbeza. Begitu juga dengan sikap anak-anak. Pada masa lalu, ibu bapa menyerahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah untuk mendisiplinkan anak mereka sepanjang persekolahan. Di sekolah, gurulah yang akan mengajar dan mendidik.

Dulu anak-anak tidak berani bersuara di hadapan ibu bapa sekiranya mereka dihukum di sekolah
kerana bimbang akan mendapat hukuman bonus, tetapi hari ini keadaan sudah berbeza, lebih-lebih
lagi dengan adanya media sosial. Hukuman rotan memang dinyatakan Kementerian Pendidikan
melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003. Kuasa merotan berasaskan peruntukan yang disediakan dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 di bawah Ordinan Pelajaran 1957. Terdapat beberapa peraturan tertentu yang perlu dipatuhi ketika menjatuhkan hukuman rotan.

Hukuman di khalayak sama ada di perhimpunan atau di bilik-bilik yang sedang berlangsung proses
pengajaran dan pembelajaran adalah dilarang kerana ia boleh menjatuhkan maruah serta menimbulkan kesan negatif yang lebih besar terhadap perkembangan keperibadian seorang murid. Terdapat tiga jenis kesalahan iaitu Kesalahan Berat – boleh dirotan di punggung dengan dilapik pakaian dengan menggunakan rotan ringan; Kesalahan Sederhana – rotan di tapak tangan menggunakan rotan ringan (maksima tiga kali sebatan) dan Kesalahan Ringan – di­beri­ amaran dan kaunseling.

Terdapat juga cadangan supaya diwujudkan Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga bagi mempertahankan sebarang­ tindakan yang diambil oleh guru di samping menjadi panduan tatacara kepada ibu bapa/penjaga ketika berurusan dengan pihak sekolah. Kesatuan Perkhidmatan Perguruan­ Kebangsaan (NUTP) sedang menyediakan cadangan­ kod etika ini dengan harapan, masyarakat dapat memberi lebih perlindungan kepada guru dalam menguruskan hal disiplin de­ngan lebih berkesan. Bukan mahu melindungi guru yang bersalah tetapi bagi menyediakan saluran yang lebih baik kepada ibu bapa menyuarakan ketidakpuasan ha­ti, selain membantu kedua-dua pihak­ mencari jalan penyelesaian­.

Berdasarkan kes-kes yang ber­laku sehingga diheret ke mah­kamah, diharapkan kod etika ini dapat memberi pencerahan kepada semua pihak. Kadang-kadang ada yang dengan sengaja mencari sebab untuk menyalahkan orang lain. Misalnya kanak-kanak juga tertakluk kepada Akta Kanak-Kanak, dibimbangi tindakan me­nghukum itu akan turut menjadi kesalahan kepada guru-guru ketika mendisiplinkan anak-anak ini. Jika ini terjadi bertambah sukarlah tugas guru disiplin.

Apa pun, rujuklah Dasar Perlindungan Kanak-Kanak selaras Konvensyen­ Mengenai Hak Ka­nak-Kanak (CRC). Masyarakat juga­ perlu sedar tanggungjawab mereka­ untuk melindungi kanak-kanak. Siapa pun mereka, jangan sesekali mendedahkan anak-anak kepada sebarang bentuk ancaman yang boleh membahayakan keselamatan, nyawa dan kebajikan mereka. Kecuaian dan pengabaian yang mungkin dilihat kecil tetapi boleh bertukar menjadi satu kesalahan besar. Justeru, berhati-hatilah ketika bertindak terhadap anak-anak kerana mereka juga berhak dilindungi.

UMA080118010C#

Related posts

Leave a Comment