Selama mana teksi bermeter mampu bertahan

APA khabar pemandu-pemandu teksi di Lembah Klang? Apa khabar Pak Long dan Pak Lang yang masih mencari rezeki sebagai pemandu teksi? Sudah lama Selak tidak bertanya khabar dan berbicara mengenai pemandu teksi. Kali terakhir Selak memperkatakan mengenai rakan-rakan teksi ialah pada 24 Oktober 2016 di bawah tajuk Bajet 2017 khabar gembira atau duka? Bajet 2017 memberi sedikit khabar gembira ketika pemandu-pemandu teksi sedang dilambung duka dengan kehadiran perkhidmatan e-hailing Uber dan Grab. Kerajaan mengumumkan geran RM5,000 untuk membeli kenderaan baharu dan menawarkan permit teksi individu dengan peruntukan RM60 juta. Langkah itu memanfaatkan 12,000 pemandu teksi yang layak dan tamat kontrak pajak dengan syarikat teksi mereka.

Skim Perkeso pula diperkenalkan dengan geran pelancaran juga RM60 juta. Bagi membantu kumpulan B40 khususnya penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menjana pendapatan tambahan, kerajaan menggalakkan penyertaan mereka sebagai pemandu ride-sharing seperti pemandu Uber, terutama bagi pemilik kenderaan sendiri.Bagi yang tidak memiliki kenderaan, bayaran pendahuluan boleh dibuat menggunakan BR1M dan rebat sebanyak RM4,000 bagi pembelian kereta Proton Iriz. Inilah komitmen kerajaan kepada Program Transformasi Industri Teksi (PTIT) bagi membangunkan taraf industri ini. Bagaimanapun tidak semua pemandu teksi dapat menikmati khabar gembira itu.

Tidak sama seperti mereka mendapat tayar percuma melalui program bantuan Tayar Teksi Rakyat 1Malaysia (TRIMa). Masih ramai pemandu mengeluh. Sejak kehadiran Uber dan Grab, pemandu teksi khabarnya semakin beralih arah.Seorang pemandu, Mydin dari Seremban yang sering ditemui di stesen komuter Salak Selatan khabarnya pulang ke kampungnya di Muar, Johor. Rutin hariannya, keluar sebelum Subuh, singgah solat di Sungai Besi sebelum ke KL Sentral mencari penumpang sudah berakhir. Dia terpaksa menjual teksinya kerana tidak sanggup lagi bersaing. Khabarnya mencuba nasib berniaga kecil-kecilan. Tidak kurang juga yang meneruskan kerja yang sama sebagai pemandu sama ada Grab, Uber, kereta sapu, van, bas sekolah serta pemandu lori atau bas. Ah Meng, yang juga selalu kelihatan di Salak Selatan turut beralih angin, sebagai pemandu Grab. Ramai lagi yang menarik diri. Ada juga yang masih bertahan tetapi hanya separuh hari dan menyambung dengan kerja-kerja lain. Khabarnya sudah banyak teksi dikembalikan kepada syarikat sama ada secara sukarela atau selepas gagal menjelaskan bayaran harian.

Pemandu yang tidak mampu bersaing perlu mencari pekerjaan lain. Pak Long dan Pak Lang yang sudah memiliki permit sendiri masih bersemangat waja memandu Proton Waja yang semakin dimamah usia. Ibarat warga emas yang berpenyakit, perlu keluar masuk ‘hospital’, begitu juga dengan teksi. Banyak yang sudah dilaburkan untuk baik pulih teksi. Justeru apabila baru-baru ini 300 lagi pemandu menerima permit atau lesen teksi individu, maka jumlah teksi akan meningkat. Walaupun mendapat geran RM5,000, banyak kos lain yang perlu disediakan termasuk insurans dan modal tambahan bagi melayakkan pinjaman. Bagi warga emas, mereka sukar untuk mendapatkan pinjaman bank. Apa pun tahniah kepada 1,208 pemandu yang dipilih tahun iniuntuk membebaskan diri mereka daripada belenggu sistem pa­ jak yang begitu membebankan. Reaksi yang diterima daripada pemandu yang berjaya memper­ oleh permit itu amat menggalak­kan. Pemberian lesen tersebut akan membantu menambah pen­dapatan kerana tidak perlu lagi membayar sewa harian. Keadaan lebih selesa, tidak tertekan un­tuk mencari penumpang. Dulu, sekurang-­kurangnya pemandu perlu menjelaskan sewa harian RM50. Sama ada mereka me­mandu atau tidak, bayaran tetap dikenakan kecuali dua tiga hari tertentu sebagai cuti tahunan.

Tidak ada pengecualian jika mereka tidak memandu kerana sakit atau ada urusan sehingga tidak dapat memandu. Jika se­hari RM50, berapa kadar sebulan atau 30 hari? RM1,500. Keadaan ini jauh berbeza dengan bayaran bulanan untuk menjelaskan pin­jaman bank selepas memperoleh permit individu. Contohnya un­tuk lima tahun, bayaran sekitar RM800 sebulan. Mungkin kos sampingan yang perlu dihadapi adalah untuk penyenggaraan, baik pulih, insurans dan cukai ja­lan. Isunya sejauh mana mereka mampu menghadapi cabaran yang sedang dilalui industri tek­si? Sejak beberapa tahun lalu, pemandu teksi secara perlahan­-lahan meninggalkan industri ini disebabkan kos yang meningkat.

Begitu juga dengan kemero­sotan jumlah penumpang beri­kutan kehadiran Grab/Uber yang menawarkan tambang yang lebih rendah, sistem pengangkutan rel ­ LRT, Monorel, MRT, Komuter, bas percuma dan bas perantara yang semakin baik. Semua ini menyumbang kemerosotan pen­dapatan pemandu teksi. Lebih teruk lagi apabila segelintir pe­mandu yang menjejaskan imej teksi dengan mengenakan tam­bang di luar kebiasaan, tanpa meter. Sebelum ini ada laporan menyebut kira-­kira 20 peratus mereka yang mendaftar bersama perkhidmatan Uber pernah men­jadi pemandu teksi.

Pemandu teksi juga tertekan dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Begitu juga dengan harga petrol yang tidak menentu dan paling membimbang­kan ialah berkaitan bekalan bahan api gas asli (NGV). NGV yang mam­pu menjimatkan kos pergerakan kenderaan itu semakin sukar diper­oleh. Jumlah stesen yang mena­warkan NGV semakin berkurangan. Banyak yang telah menutup ope­rasi terutama di beberapa kawasan strategik yang menjadi tumpuan pemandu di sekitar Lembah Klang.

Tahun lalu, sebanyak 67 stesen yang menyediakan NGV di seki­ tar Lembah Klang, Negeri Sem­bilan dan Johor ditutup semen­tara atas bagi tujuan pemeriksaan keselamatan dan membolehkan kerja­kerja menaik taraf prosedur keselamatan. Malangnya banyak penutupan kekal. Beberapa loka­si tumpuan seperti di Bukit Jalil, Kampung Baru, KLCC dan Salak Selatan ditutup. Memang masih ada yang dibuka tetapi jarak stesen menyebabkan pemandu menanggung kerugian untuk ke lokasi dan ada ketikanya beratur panjang yang sudah tentu men­curi masa yang amat berharga. Mungkin lebih banyak stesen akan ditutup atas alasan penjua­lan NGV tidak menguntungkan.

Jika menggunakan petrol, sudah tentu kos yang ditang­gung lebih tinggi. Sesuatu perlu dilakukan untuk membantu industri ini walaupun sistem perkhidmatan rel semakin baik. Grab dan Uber juga belum diuji dengan cabaran sebenar. Sistem ini juga dikatakan mempunyai kelemahan. Potongan komisyen dikatakan tinggi bagi setiap per­jalanan. Dalam erti kata lain ada kos yang perlu ditanggung tetapi mereka juga ‘lega’ kerana ada in­sentif. Diharapkan, industri teksi dan kini ditambah Grab/Uber akan terus bertahan. Amat ma­lang jika teksi bermeter terpaksa menamatkan perkhidmatan dan pada masa yang sama Grab/Uber dalam keadaan tertekan. Harus diingat MRT dan bas tidak mam­pu membawa penumpang teru­tama selepas berbelanja sakan di pusat membeli­-belah untuk sam­pai sehingga di hadapan rumah berbanding teksi atau Grab/Uber. Iklan Grab/Uber boleh mencerita­kan situasi ini.

UMA251217008C#

Related posts

Leave a Comment