Bersatu kalah semua 24 kerusi ditandingi

SEREMBAN 1 Ogos – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gagal memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan ke-16 apabila semua 24 calonnya tewas termasuk Ketua Penerangan, Tun Faisal Ismail Aziz.

Tun Faisal yang hilang wang pertaruhan hanya memperoleh 481 undi, manakala calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Razali Abu Samah meraih 13,122 undi dan calon Pakatan Harapan (PH), Nor Azman Mohamad mendapat 9,713 undi.

Jumlah undi yang diterima Tun Faisal gagal melepasi ambang 12.5 peratus daripada keseluruhan undi, sekali gus menyebabkan beliau kehilangan deposit.

Parti yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin itu bertanding dua pertiga kerusi DUN selepas berpisah daripada PN yang menjalin persefahaman pilihan raya dengan Barisan Nasional (BN).

Bersatu juga gagal mempertahankan dua kerusi sedia ada, iaitu Labu dan Gemas, masing-masing dimenangi BN dan PN.

Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengakui kekalahan selepas gagal memenangi 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dan mengucapkan tahniah kepada BN dan PN yang diberi mandat membentuk kerajaan negeri.

Menurut beliau, keputusan tersebut menjadi isyarat jelas kepada parti untuk melakukan pembaharuan termasuk memperkukuhkan disiplin dalaman serta menggandakan usaha membawa agenda perubahan yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Keputusan di Negeri Sembilan menuntut Bersatu untuk mengambil tindakan yang berani bagi meningkatkan disiplin dalaman, bekerja dengan kuat dan membawa agenda perubahan yang dapat memberi manfaat terbaik untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera parti yang disifatkan telah bekerja keras membantu calon-calon Bersatu sepanjang kempen PRN dalam semangat setiakawan dan kesetiaan kepada perjuangan parti.

Katanya, Bersatu akan melakukan bedah siasat secara menyeluruh terhadap keputusan pilihan raya itu bagi mengenal pasti langkah strategik untuk memperkukuhkan perjuangan parti pada masa hadapan.

Bersatu akan meneliti keputusan ini secara terperinci dan membuat bedah siasat untuk mengenal pasti beberapa langkah strategik yang dapat memperkukuhkan perjuangan Bersatu untuk terus membawa agenda rakyat Malaysia,” katanya.

Azmin juga memaklumkan Bersatu akan membincangkan pembentukan gabungan parti-parti politik yang sederhana dan progresif sebagai usaha menyegarkan demokrasi negara demi masa depan yang lebih cemerlang.

Related posts

Leave a Comment