Perkhidmatan feri tidak seharusnya kekal ‘sekadar ada’

SATU perkhabaran yang meng­ gembirakan bagi warga Pulau Pinang apabila Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan mengambil alih perkhidmatan feri Pulau Pinang secara rasmi hujung bulan ini atau November. Tidak timbul soal untung rugi apabila Prasarana mahu mengambil alih perkhidmatan itu yang dikendalikan oleh Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB). Cerita rugi perkhidmatan feri ini bukanlah sesuatu yang baharu. Ia sudah lama berlaku. Setiap tahun ada sahaja kenyataan mengenai kerugian ini yang sudah tidak sanggup ditanggung PPSB.

Contohnya pada 2007, PPSB menanggung kerugian sebanyak lebih RM14 juta berbanding 2006 sebanyak RM13 juta. Kerugian itu disebabkan kos pengendalian yang meningkat dari semasa ke semasa. Kerugian berterusan,­ khabarnya purata RM20 juta setahun menyebabkan timbul cadangan supaya perkhidmatan feri ditamatkan.

Bagaimanapun cadangan itu mendapat bantahan dan kerajaan Pusat juga tidak berhasrat berbuat demikian.

Kerajaan negeri Pulau Pinang juga sebelum ini menyatakan ke­sanggupan mengambil alih perkhidmatan feri tetapi secara bersyarat.

Syarat pertama, kerajaan negeri tidak akan bertanggungjawab terhadap segala liabiliti atau tanggungan­ hutang PPSB; kedua, diberi hak mengambil alih kedua-dua jeti iaitu Pangkalan Raja Tun Uda (bahagian pulau) dan Pangkalan Sultan Abdul Halim (Butterworth) termasuk aset perkhidmatan feri serta kemudahan baik pulih tanpa sebarang liabiliti dan tanggungan; ketiga, kerajaan negeri hanya akan mengambil semua kakitangan terlibat secara langsung dengan operasi perkhidmatan feri manakala pengambilan kakitangan pengurusan tertakluk kepada budi bicara kerajaan ne­geri; syarat keempat, Kementerian Pengangkutan mesti meluluskan 30 ‘lesen teksi air’ kepada kerajaan negeri serta tapak kawasan berlabuh yang berkaitan.

Selak pernah mengulas isu feri ini sebelum ini mengenai sejauh mana perkhidmatan feri ini dapat diselamatkan. Tulisan itu timbul setelah penulis mendapati perkhidmatan feri semakin teruk sehingga jumlah feri berkurangan. Ketika itu difahamkan ada lapan buah feri yang beroperasi. Feri juga diubahsuai apabila penumpang pejalan kaki terpaksa berkongsi dengan pengguna kenderaan di bahagian atas. Dalam erti kata lain tidak ada lagi feri penumpang. Kini jumlah feri semakin kurang, khabarnya hanya tiga atau empat buah feri. Waktu operasinya juga sudah berubah.

Pernah sebelum ini perkhidmatan 24 jam tetapi kini bermula 5.30 pagi hingga 12.30 malam (pulau) dan 6 pagi hingga 1 pagi (tanah besar). Kekerapan pula bergantung pada waktu tertentu. Masa menunggu boleh mencecah sehingga satu jam menyebabkan timbul masalah kepada penumpang yang mahu meneruskan perjalanan menggunakan kereta api atau bas ekspres di Butterworth. Semua ini bagi mengurangkan kerugian.

Keadaan bertambah parah apabila ketika ini, penumpang terpaksa mengatur ‘1,000’ langkah untuk mendapatkan feri iaitu berjalan jauh, naik tangga turun tangga yang melibatkan kawasan Pangkalan Sultan Abdul Halim. Situasi ini adalah disebabkan kerja-kerja pembinaan Penang Sentral. Kini Penang Sentral sudah hampir menjadi kenyataan. Bangunan ala terminal bersepadu di Bandar Tasek Selatan hampir siap. Kesengsaraan pengguna feri (pejalan kaki) akan berakhir.

Amat bertepatan sekali langkah Prasarana mengambil alih perkhidmatan feri ini ketika Penang Sentral akan memulakan operasinya. Penang Sentral akan menjadi hab pengangkutan awam yang memudahkan pengguna feri, bas henti-henti, bas ekspres, komuter, perkhidmatan tren elektrik ((ETS) dan teksi. Mungkin dengan kemudahan yang bakal wujud ini dapat meningkatkan penggunaan perkhidmatan feri. Ini satu cabaran kepada pengendali supaya dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih cepat dan selesa.

Timbul persoalan kenapa Prasarana sanggup mengambil alih perkhidmatan yang merugikan ini? Apa pun kerugian bergantung kepada pelbagai faktor. Terserah kepada kebijaksanaan Prasarana untuk memberi perhatian terhadap mutu perkhidmatan feri seperti yang dinikmati sebelum ini.

Mungkin fokus utama Prasarana adalah untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat walaupun terpaksa menanggung kerugian. Prasarana nampak yakin untuk memulihkan perkhidmatan feri ini.

Khabarnya satu majlis pra pelancaran juga akan diadakan sebagai tanda titik permulaan pengambilalihan perkhidmatan ini oleh Rapid Ferry Sdn. Bhd. Prasarana bukan sekadar mengambil alih tetapi juga bersedia melakukan penambahbaikan termasuk terhadap feri, mengurangkan pergerakan laluan pejalan kaki selain mewujudkan persekitaran mesra pengguna untuk menarik lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan feri.

Harus diingat perkhidmatan feri boleh dikategorikan sebagai salah satu kemudahan pengangkutan awam yang penting khususnya kepada warga Pulau Pinang di samping warisan untuk menarik pelancong. Selain dua Jambatan Pulau Pinang, feri adalah ikon pengangkutan awam di negara ini yang menghubungkan penduduk di bahagian tanah besar dengan pulau. Berbanding jambatan, jarak perjalanan lebih dekat khususnya bagi penduduk di sekitar Seberang Perai Utara dan Bandaraya Georgetown.

Masih ramai pengguna termasuk pejalan kaki yang menggunakan perkhidmatan feri ini untuk berulang alik antara kedua-dua destinasi ini. Oleh itu mematikan perkhidmatan feri atau memberi perkhidmatan sekadar ada bagi mengurangkan kerugian tidak seharusnya berlaku.

Sebaliknya penambahbaikan perlu dilakukan dari semasa ke semasa. Dalam apa keadaan sekali pun kualiti perkhidmatan perlu di­tingkatkan. Carilah kaedah terbaik untuk mengembalikan kegemilangan perkhidmatan feri ini.

Cuma timbul persoalan bagaimana pula dengan tambangnya? Adakah akan berlaku peningkatan sesuai dengan usaha memulihkan perkhidmatan feri ini. Menyentuh isu ini, sudah tentu banyak pihak akan membantah. Tidak ada mana-mana pihak yang mahu melihat kenaikan. Jika tidak silap, ketika ini tambang yang dikenakan hanya sehala iaitu untuk pejalan kaki RM1.20 (dewasa) dan kanak-kanak RM0.60. Maknanya sehala hanya 60 sen.

Apakah ada perkhidmatan yang memberi kadar tambang semurah itu? Bagi kenderaan pula mengikut jenis sama ada basikal, motosikal, kereta/van dan lori. Kadar bagi sebuah kereta ialah RM7.70. Tidak lama dulu timbul cadangan kadar tambang pejalan kaki dinaikkan kepada RM2 dan kereta kepada RM9. Banyak pihak membantah kenaikan yang dianggap mendadak itu.

Prasarana mungkin menghadapi dilema dalam isu ini tetapi sebagai syarikat berkaitan kerajaan, isu ini bukanlah sesuatu yang amat besar untuk diselesaikan. Memang diakui kebanyakan rakyat kita masih tidak mampu menerima penambahbaikan untuk keselesaan perlu ‘dibayar’. Jika itu tidak dapat dilakukan apakah pilihan lain untuk menampung kos operasi feri?

Diharapkan Prasarana dapat memberi perhatian untuk mengembalikan kegemilangan feri ini terutama berkaitan kekerapan feri dan masa menunggu.

UMA161017010C#

Related posts

Leave a Comment