ALOR GAJAH 13 Sept. – Parti Progresif Penduduk (MyPPP) menyampaikan hasrat kepada pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk mendapatkan kerusi pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka ke-16, kata Presidennya, Dr Loga Bala Mohan.
Beliau bagaimanapun berkata parti itu tidak menetapkan mana-mana kerusi secara khusus untuk ditandingi sebaliknya menyerahkan kepada pertimbangan BN berdasarkan kesesuaian kawasan dan perubahan geopolitik semasa.
“PPP pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana pada 2013, namun selepas masalah dalaman parti pada 2018 kita tidak mendapat kerusi. Sekarang kita sedang memohon supaya diberikan kerusi kembali,” katanya.
Beliau sebelum itu mengadakan perjumpaan bersama 120 ahli PPP terdiri daripada ketua bahagian, ketua cawangan, ketua belia dan ketua wanita Melaka di sini.
Dalam perkembangan sama, Dr Loga Bala mengumumkan pelantikan Ketua Belia PPP yang juga Ketua PPP Wilayah Persekutuan Sathiah Sudakaran sebagai Pengarah Pilihan Raya PPP Melaka bagi membantu Ketua PPP Melaka, Logeswaran Ganesan menyelaras persiapan menghadapi PRU DN.
Katanya, persiapan jentera pilihan raya PPP Melaka kini berada pada tahap lebih 90 peratus dan jentera akan membantu BN di seluruh Melaka seperti yang dilakukan parti itu pada PRU DN Johor dan Negeri Sembilan.
Nnn
