IPU tiga wilayah Singapura merosot

SINGAPURA – Keadaan jerebu berterusan semalam (Isnin) menyebabkan kualiti udara di Singapura terus merosot di mana wilayah Tengah, Barat dan Timur mencatatkan tahap tidak sihat.

Menurut data Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA),  Indeks Pencemar Udara (IPU) 24 jam di seluruh republik itu berkisar antara 90 hingga 126 setakat 9 malam semalam, dengan wilayah Tengah mencatatkan 126, Timur (111) dan Barat (109).

Sementara kualiti udara di kawasan lain kekal pada tahap sederhana, dengan wilayah Utara mencatatkan bacaan 90 manakala Selatan 97.

IPU 24 jam menunjukkan kualiti udara harian Singapura dan menjadi asas kepada nasihat kesihatan harian NEA. Ia dikira berdasarkan enam pencemar udara: PM2.5, PM10, ozon, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan karbon monoksida.

NEA memaklumkan, kepulan asap sederhana hingga tebal daripada kebakaran di Kalimantan bergerak ke arah Singapura berikutan peralihan angin lazim dari arah timur-tenggara.

Agensi itu turut mendapati sedikit jerebu asap kelihatan ditiup dari bahagian selatan Sumatera.

Menurut agensi itu, keadaan kering diramalkan melanda Singapura dan rantau sekitarnya dalam tempoh beberapa hari akan datang dengan angin lazim diramalkan berterusan bertiup dari tenggara ke timur-tenggara.

Agensi itu menjangkakan Singapura berkemungkinan terus terjejas akibat jerebu asap.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment