WASHINGTON – Gerbang kemenangan (triumphal arch) yang dirancang untuk dibina berhampiran Washington akan turut berfungsi sebagai sebuah “kompleks ketenteraan” yang menempatkan dron dan penembak tepat.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan rancangan itu,
menjadikannya projek pembinaan kedua berskala besar yang cuba dipertahankan Trump atas alasan keselamatan negara.
Trump berkata, keputusan itu dibuat atas permintaan pihak tentera dan selari dengan alasan keselamatan yang sebelum ini digunakan bagi mempertahankan projek kompleks dewan tari bernilai kira-kira AS$400 juta yang sedang dibina di tapak bekas East Wing White House.
Dalam hantaran di media sosial, Trump berkata, beliau bersetuju menjadikan gerbang setinggi 76 meter itu sebagai “Kompleks Ketenteraan/Gerbang Kemenangan bertaraf tinggi” yang mampu menempatkan dan menggerakkan sejumlah besar dron dengan pantas.
Beliau turut memaklumkan, kemudahan itu akan dilengkapi kedudukan penembak tepat di bumbung dan kawasan plaza serta ruang penyimpanan peluru penembak tepat dalam kuantiti besar.
Gerbang tersebut bersama projek dewan tari itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas Trump untuk mengubah wajah ibu negara AS, termasuk menaik taraf Kolam Pantulan Memorial Lincoln, membangunkan semula padang golf di East Potomac Park serta usaha menambah namanya pada Pusat Seni Persembahan John F. Kennedy.
Bagaimanapun langkah itu menerima kritikan daripada kumpulan pemuliharaan warisan dan pihak lain yang berpendapat ia boleh mengubah landskap bersejarah serta mercu tanda penting di Washington.
Nnnn
