Penyakit mental No. 1 di media sosial

KUALA LUMPUR 10 Feb. – Rakyat bebas bersuara, mengeluarkan pendapat dan pandangan, tetapi perlu ada batasannya serta tidak melanggar undang-undang yang digubal di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Malangnya hari ini melalui media sosial, cercaan, hasutan dan carutan oleh netizen sudah menjadi penyakit mental nombor satu di negara ini.

Justeru, Pengerusi Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara Razali Idris berkata, ia memerlukan satu tindakan undang-undang yang lebih tegas dan agresif.

“Satu rang undang-undang baharu berkenaan cercaan, hasutan dan carutan perlu diperkenalkan atau dengan meminda undang-undang sedia ada dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

“Parlimen juga boleh menggubal undang-undang menurut Perkara 10(2)(a) untuk menyekat kebebasan bersuara sekiranya ia berkenaan beberapa perkara antaranya, berkaitan keselamatan dalam negeri, prinsip moral, ketenteraman awam dan hubungan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Razali berkata kaukus itu juga yakin bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan tindakan lebih tegas di bawah AKM 1998, Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Kanun Keseksaan (Akta 574) serta Akta Jenayah Komputer 1998 bagi mereka yang menyalahgunakan platform media sosial serta hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Peguam untuk pendakwaan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia menegaskan, kaukus mengutuk sekeras-kerasnya tindakan segelintir netizen yang menunjukkan sikap ekstrem, melampau dan tidak patriotik dalam platform media sosial terhadap institusi beraja, institusi Perdana Menteri dan negara yang cenderung menjejaskan kesejahteraan rakyat.

“Terbaharu cercaan, hasutan dan carutan netizen terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu lawatannya ke Indonesia adalah sesuatu yang tidak boleh diterima serta tidak melambangkan sifat sopan santun dan tatasusila yang baik,” tegasnya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia hendaklah menunjukkan tingkah laku terpuji iaitu kesopanan dan kesusilaan serta tolenrasi untuk dijadikan pegangan kukuh bagi menghormati institusi beraja, perdana menteri dan negara Malaysia.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan rakyat menunjukkan tingkah-laku disiplin dan patriotisme yang tinggi, tidak kira di mana sahaja mereka berada.

“Secara asasnya, kita telah diajar nilai-nilai murni sejak dari bangku sekolah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ini termasuklah soal menghormati pucuk kepimpinan tertinggi negara seperti Perdana Menteri sendiri,” katanya.

Tambah beliau, institusi Perdana Menteri adalah ketua eksekutif pentadbiran negara bagi memacu pembangunan negara ke arah masyarakat yang bersatu padu, muhibbah tanpa mengira kaum serta bersikap saling menghormati antara satu sama lain.

Related posts

Leave a Comment