Semua ‘tergelincir’ apabila kereta api keluar landasan

MENUNGGU tren komuter dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dalam tempoh hampir seminggu ini amat meresahkan. Lewat, malahan di peringkat awal, tidak ada perkhidmatan­ atau penyusunan semula jadual perjalanan. Semuanya gara-gara kereta api gerabak yang tergelincir dekat Segambut pada 21 Ogos lalu. Kejadian berlaku pada hari Isnin menyebabkan semua perjalanan tergendala. Nahas di Segambut tetapi kesannya dapat dirasai oleh pengguna di semua laluan, dari Utara hingga ke Selatan. Begitulah risikonya kerosakan landasan berbanding jika nahas berlaku di atas jalan raya. Di jalan raya, mungkin boleh diadakan lencongan untuk membolehkan pergerakan kenderaan diterus-kan. Mungkin boleh dibuka laluan baharu sementara atau membuka lorong bertentangan untuk membolehkan pergerakan ken­deraan secara menongkah arus.

Sebaliknya jika di landasan kereta api, tidak ada pilihan lain kecuali menggunakan landasan bersebelahan. Walaupun boleh berpindah ke landasan sebelah, ia mengambil masa yang agak lama, lebih-lebih lagi di kawasan yang tidak ada laluan untuk membolehkan tren bertukar ke landasan berkenaan. Akhirnya seluruh perjalanan melibatkan tren di landasan berkenaan terjejas. Baru-baru ini ketika berada di stesen KTM Bandar Tasek Selatan untuk ke Bangi, timbul perasaan cemburu apabila melihat Transit Aliran Ringan (LRT) begitu `sibuk’ melayan para penumpang. Entah berapa kali LRT berulang alik antara stesen Putra Height ke Sentul Timur melintasi atau singgah di stesen berkenaan tetapi bayangan komuter masih belum kunjung tiba. Ikut jadual 5 petang, tetapi berubah kepada 5.20 petang.

Disebabkan tidak yakin, maka pilihan lain ialah mendapatkan LRT ke Taman Maluri dan menyambung perjalanan ke Kajang menggunakan MRT. Sekurang-kurangnya ia sudah menghampiri Bangi dan boleh dicari pilihan lain untuk sampai ke destinasi. Keputusan itu adalah lebih baik daripada umpama menunggu durian tidak gugur. Jika muncul pun, sudah tentu komuter dalam keadaan sesak bagaikan sardin kerana kekerapannya yang sudah berubah, lebih lama masa menunggu, maka lebih ramai penumpang yang akan berasak di dalam perut komuter. Keadaan lebih sesak ketika waktu orang ramai pulang dari pejabat.

Di stesen KTM Kajang pula, sekali lagi perasaan cemburu melihat kekerapan tren MRT, sekejap muncul di stesen terakhir itu dan sekejap pula menghala ke Sungai Buloh. Begitu kerap. Komuter pula entah ke mana. Timbul persoalan kenapa jajaran MRT tidak meliputi kawasan Bangi, satu kawasan yang juga padat dengan penduduk yang sering berulang alik ke Kuala Lumpur. Jajaran berikutnya hanya mema­suki Serdang. Alangkah baiknya jika singgah di Bangi bagi membantu perkhidmatan komuter. Berikutan nahas di landasan, jika sebelum ini tempoh menunggu sehingga 45 minit, keadaan itu mungkin berubah.

Sebenarnya, rintihan penggu­na terhadap perkhidmatan komuter bukanlah sesuatu yang baharu. Disebabkan tidak ada pilihan, maka pengguna terpaksa ‘menelan’ rintihan itu, bak kata orang lebih baik ada daripada tiada. Maka tidak hairanlah ketika muncul MRT, ramai yang meletakkan perkhidmatan komuter di tahap yang tidak memuaskan. Mereka membandingkan khidmat LRT dan MRT yang sudah tentu umpama langit dengan bumi jika dibandingkan dengan kereta api. Keadaan semakin parah apabila berlaku kegelinciran yang bukan sahaja menyebabkan jadual perkhidmatan terjejas teruk. Pada pagi kejadian, ramai yang lewat ke pejabat apabila komuter yang dijadualkan seperti biasa tidak muncul-muncul.

Seorang sahabat memberitahu, beliau tiba di pejabat pukul 9 pagi berbanding sebelumnya selalu tepat pada waktu mula ma­suk kerja. Seorang wanita pula cemas bertanyakan petugas KTMB di Bangi sama ada beliau sempat mengejar ETS di KL Sentral kerana komuter belum muncul. Secara keseluruhan pada hari kege­linciran itu, ada perkhidmatan yang terpaksa dibatalkan. Khidmat ETS pula lewat setengah jam dan ada pengumuman supaya pengguna mencari pilihan pe­ngangkutan lain. Pada hari yang sama, di kaunter KTMB Bukit Mertajam, tiba-tiba sahaja muncul pengumuman di kaunter tiket bahawa tiket perjalanan ETS untuk semua destinasi telah habis.

Membaca kenyataan itu timbul persoalan bagaimana hebatnya sambutan terhadap perkhid­matan itu walaupun ia bukan musim perayaan, cuti sekolah atau hujung minggu sebaliknya hari biasa. Hakikatnya, jualan tiket terpaksa dibekukan. Hanya mereka yang sempat membeli tiket dapat meneruskan perjalanan dengan ETS walaupun masa yang sebenar telah diubah. Itu pun mereka akan berhenti di stesen tertentu dan diangkut dengan bas atau bagi penum­pang yang melalui Sungai Buloh boleh dipindahkan ke MRT untuk meneruskan perjalanan ke KL Sentral. Penumpang­ juga boleh mengambil semula wang mereka sekiranya ingin menggunakan perkhidmatan lain. Khabarnya gangguan itu sehingga semalam. Begitulah kesannya akibat kemalangan di landasan. Berapa banyak kerugian yang terpaksa ditanggung oleh KTMB hanya disebabkan kegelinciran gerabak kargo. Rugi kehilangan pengguna dan ditambah pula kos membaik pulih landasan. Mujurlah ia berlaku di luar musim perayaan.

Bayangkan jika ia terjadi semasa orang ramai berpusu-pusu mahu balik ke kampung. Apakah pilihan yang ada pada KTMB ketika berhadapan masalah seum­pama ini? Berapa banyak bas yang perlu disewa sekiranya penumpang­ terpaksa dipindahkan. Mungkin seperti lebuh raya, kenderaan berat seperti lori tidak dibenarkan berada di atas jalan ketika musim perayaan, KTMB perlu mencari jalan keluar kepada isu ini supaya sebarang kegelinciran dapat mengelakkan masalah kepada pengguna.

Komuter dan ETS kini menjadi pengangkutan awam yang sudah diterima oleh masyarakat bagi mengelakkan mereka mengalami kesesakan di atas jalan raya sama ada untuk ke tempat kerja atau tujuan lain termasuk membeli-belah, melancong dan sebagainya.

Ketika MRT dan LRT terus menjanjikan perkhidmatan yang lebih baik, KTMB perlu melihat keadaan ini sebagai satu cabaran. Mungkinkah untuk masa hadapan, satu laluan landasan baharu boleh diperkenalkan. Mungkin ia melibatkan kos yang tinggi tetapi sekurang-kurangnya laluan baharu itu dapat mengatasi masalah yang berlaku baru-baru ini. Selama ini, kebanyakan landasan berada di laluan sedia ada kecuali di kawasan tertentu yang memerlukan landasan dibina semula di tempat yang lebih ekonomik, termasuk pembinaan terowong. Landasan KTMB tidak sama se­perti landasan baharu yang dibina untuk perkhidmatan LRT atau MRT. Perkhidmatan komuter dan ETS ini perlu diperbaiki ke­rana ia melibatkan pengangkutan awam yang sudah diterima oleh masyarakat. Kemalangan tidak dapat dielakkan tetapi ia boleh dicegah. Setiap masalah perlu ada jalan keluar bukan sekadar membiarkan ia berlaku dan kemudian berulang lagi!

UMA280817012C#

Related posts

Leave a Comment