Kerajaan PN bakal jatuh?

KUALA LUMPUR 14 Dis. – Apakah kesudahan Belanjawan 2021? Adakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan jatuh esok, 15 Disember? Benarkah Anwar Ibrahim mempunyai sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk meneruskan impian sebagai Perdana Menteri?

Menjelang esok, dua veteran politik negara, Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah muncul dalam satu sidang media bersama dan memohon Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menolak Bacaan Kali Ketiga Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 yang dijadualkan esok.

Mereka berkata, dengan penolakan Rang Undang-Undang Pembekalan itu, ia boleh diterjemahkan sebagai penolakan kepada Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang disifatkan lemah, dan tidak mementingkan rakyat.

Dr Mahathir, yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, mereka berdua mengharapkan agar Kerajaan sedia ada dapat ditolak, dan diganti dengan Kerajaan yang lebih kukuh demi masa depan negara.

“Ada kemungkinan esok, apabila mereka (Ahli-ahli Dewan Rakyat) mengundi untuk bacaan kali ketiga Bil itu, maka ada kemungkinan Kerajaan akan jatuh.

“Saya harap mereka yang dalam Dewan Rakyat dapat berhenti memikirkan tentang diri mereka semata-mata, tetapi mula memikirkan tentang negara. Kita lihat kerajaan ini tidak mempunyai motivasi untuk membantu rakyat, tetapi hanya memikirkan apa yang mereka dapat,” kata bekas Perdana Menteri itu lagi.

Dr Mahathir berkata, mereka berharap agar Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersikap jujur dan menzahirkan perasaan cinta dan sayang kepada negara.

Dalam sidang media itu, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, beliau dan Tengku Razaleigh, yang lebih dikenali sebagai Ku Li mengharapkan agar status kegemilangan Malaysia sebagai kuasa ekonomi ‘Asian Tiger’ dapat dikembalikan semula.

Katanya lagi, mereka mahukan negara ini berada pada landasan yang betul untuk menjadi negara yang disegani, seterusnya memastikan masa depan yang lebih cerah untuk generasi seterusnya.

“Kami berbincang untuk mencari jalan supaya negara kita kembali menjadi negara maju semula. Kita sedar waktu ini negara kita hadapi banyak masalah, and the whole government system pun tidak berjalan dengan baik.

“Kerajaan (Perikatan Nasional) mempunyai kelebihan dua undi sahaja. Dan semua ahli politik di Malaysia ini hanya (tertumpu) dengan politik saja, untuk tentukan kedudukan mereka. Kebanyakan mereka cuma pandang tugas mereka untuk mendapat pendapatan lumayan,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment