Hormati rakan grup, eratkan silaturahim

PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2017 berakhir semalam. Seperti biasa pada hari terakhir, banyak buku dilelong atau potongan harga ‘gila-gila’. Tidak pasti jumlah sebenar pengunjung. Selak tidak tahu bagaimana perkiraan dibuat kerana pengunjung bebas keluar masuk, tanpa perlu mendaftar, tidak seperti penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) atau Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM). Diharapkan pesta itu berjaya mencapai sasarannya dan penerbit serta penjual buku mendapat manfaat. Pelbagai jenis buku, majalah dan novel turut dilancarkan. Semoga budaya membaca terus subur dalam kalangan masyarakat sama ada sekadar majalah atau komik.

Hakikatnya hari ini ramai yang hilang minat membaca sebaliknya menggunakan pelbagai aplikasi untuk mendapatkan maklumat secara lebih cepat dan mudah, tanpa mengeluarkan kos yang tinggi. Melalui internet, Facebook, WhatsApp, Instagram dan pelbagai lagi, maklumat diterima dengan begitu pantas. Masalahnya ada yang begitu pantas menyebarkan maklumat yang mereka terima melalui WhatsApp tanpa usul periksa sedangkan laporan itu berunsur fitnah atau palsu. Situasi ini jelas menunjukkan ada yang tidak minat membaca melalui WhatsApp lebih-lebih lagi mesej yang panjang. Sekadar membaca ayat pertama dan terus menyebarkannya tanpa menyelidik kesahihan mesej.

Berhubung perkara ini, Selak tertarik dengan 10 Soalan Bonus yang terdapat di dalam buku Cer Kome Tanya, UKE Jawab terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. yang dilancarkan sempena PBAKL minggu lalu. Tiga daripada soalan bonus itu berkaitan dengan WhatsApp. Soalan nombor 292 berkaitan Ayat-ayat mesra dalam grup WhatsApp, 293: Left grup WhatsApp putus silaturahim dan 294: Elak fitnah media sosial.

Merujuk jawapan soalan 294, secara ringkas, Ustaz Kazim Elias (UKE) menggariskan beberapa
perkara bagi mengelak daripada terlibat dengan sebarang berita atau maklumat palsu. Perkara itu ialah: Dapatkan maklumat daripada pihak yang bertanggungjawab dan pastikan ia benar-benar sahih; Jangan cepat mempercayai sesuatu berita yang diterima kemudian menyebarkannya tanpa diselidik
kebenarannya; Bertanya sendiri kepada empunya badan; Jangan suka mengambil maklumat daripada
atas talian; Jangan suka ambil tahu benda yang tiada kaitan dengan kepentingan kita dan belajar
dengan guru yang mursyid untuk mendapatkan penjelasan berkaitan dengan agama.

Soalan 293 juga menarik, iaitu meninggalkan grup WhatsApp. Setiap grup mempunyai pelbagai latar belakang manusia yang mungkin tidak sefahaman dalam politik atau tidak gemar dengan mesej yang dianggap ‘membosankan’ dan ‘merimaskan’. Situasi ini boleh menjejaskan hubungan silaturahim. Akhirnya beliau meninggalkan grup dan timbul pelbagai persoalan dalam kalangan rakan-rakan. Adakah ini tanda memutuskan persahabatan?

UKE dalam jawapannya mengakui grup WhatsApp merupakan salah satu bentuk perhubungan yang mudah di zaman ini, namun penggunaannya haruslah secara berhemah dengan penyebaran maklumat
yang sahih dan perbincangan yang baik yang tidak membawa kepada perkara haram seperti memfitnah, mengumpat dan lain-lain. Jika grup tersebut mengandungi unsur-unsur tersebut maka sewajarnya keluar (left). Andai saja-saja nak meninggalkan grup tanpa sebarang sebab, maka tidaklah putus silaturahim. Putus silaturahim ialah seperti permusuhan, pertengkaran, krisis atau sebagainya sehingga membawa kepada tidak lagi bertegur sapa, tidak lagi bercakap malah saling bermasam muka.

Penjelasan UKE ini bertepatan dengan kemunculan pelbagai laporan yang tidak tepat dan tidak lojik. Kebelakangan ini, kerap berlaku ‘berita’ lama dan palsu yang dikitar semula melalui grup WhatsApp. Ada juga berita yang berlaku di Kuala Lumpur tetapi diulang berlaku di tempat lain. Begitulah ‘kegilaan’ masyarakat menyebarkan berita melalui WhatsApp. Amat malang, WhatsApp dipenuhi ‘sampah sarap’. Mengulangi berita atau laporan seperti ini juga menunjukkan ada dalam kalangan masyarakat yang hilang nafsu untuk membaca. Mungkin dia sebagai pengguna baharu WhatsApp atau ingatannya tidak kuat. Akhirnya, ada yang menyebar semula laporan basi dan palsu tanpa usul periksa.

Hakikatnya, tidak ada sesiapa yang mampu mengawal penyebaran berita/laporan ini kecuali diri sendiri. Mereka yang mengetuai grup WhatsApp juga tidak dapat berbuat apa-apa. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga tidak memantau atau mengintip pengguna WhatsApp. Kerajaan hanya mampu memberi nasihat supaya masyarakat tidak menyalahgunakan media sosial. Berkait dengan WhatsApp juga, baru-baru ini, saya menerima makluman berkaitan penggunaan data akibat kiriman berbentuk gambar dan video. Tidak dapat dipastikan sejauh mana kesahihannya. Mesejnya: Jangan bazirkan data dan wang anda dengan menghantar imej grafik atau video ‘Good Morning, Assalamualaikum’ dan sebagainya. Hantar dalam bentuk teks lebih menjimatkan. Tapi kalau nak teruskannya terpulanglah. Mungkin ramai yang menerima mesej berkaitan. Setiap pagi, cuba lihat berapa banyak grafik dan video ucapan yang diterima.

Lebih parah jika anda mempunyai banyak grup (katakan 10) atas nama yang pelbagai dan sebahagian
anggota grup itu turut sama di dalam grup lain. Orang yang sama dalam grup 1 akan menghantar grafik/video/foto kesemua grup (contoh 2 hingga 10). Maknanya anda menerima 10 grafik yang sama. Akhirnya, rutin pagi anda ‘memadam’ atau delete. Bukan bermaksud tidak menghargai kiriman itu tetapi banyak ruang yang digunakan untuk ucapan yang sama.

Lebih elok dan mesra sekiranya anda menulis sendiri teks ringkas ucapan Selamat Pagi, Good Morning, Assalamualaikum dan sebagainya tanpa grafik atau foto. Memang cantik grafik/foto yang berwarna warni tetapi fahami juga perasaan orang yang menerimanya saban hari. Mungkinkah suatu masa nanti, selain malas membaca, generasi akan datang juga malas menulis tetapi sekadar copy, cut & paste atau salin, potong dan tampal walaupun sekadar ucapan Assalamualaikum.

UMA080517010C#

Related posts

Leave a Comment