Di sebalik media sosial, buku masih satu keperluan

MINAT membaca semakin merosot? Itu persoalan yang timbul apabila kebanyakan industri berkaitan media cetak mengalami kemerosotan. Selain akhbar dan majalah, turut terasa tempiasnya sudah tentulah industri buku. Pengaruh media sosial menjadikan minat membaca semakin parah. Telefon pintar dan pelbagai gajet menguasai manusia yang tidak perlu lagi ‘membaca’ surat khabar, majalah atau buku. Maklumat di hujung jari dan membaca buku semakin terpinggir. Ada kedai buku yang terpaksa menutup perniagaan atau mengecilkan saiz kedai.

Seorang penerbit buku ketika ditemui baru-baru ini mengeluh kerana hasil jualan buku yang dibekalkan di kedai merosot. Amat sukar untuk mengharapkan kedai menjual buku yang diterbitkan. Beliau mengharapkan jualan di pesta buku yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Begitulah realitinya apabila melihat suasana di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2017.

Berkunjung ke PBAKL di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Sabtu lalu membuktikan masih ada ruang untuk industri buku. Tanpa menolak sama sekali kehadiran media sosial menyebabkan minat membaca semakin merosot, pembacaan melalui buku masih relevan.

Mungkin persembahan, cara pemasaran atau isi kandungan buku perlu diberi nafas baharu. Menyelak kembali industri berkaitan filem misalnya, pernah satu ketika kebanyakan panggung wayang atau pawagam ditutup akibat kurang sambutan. Ramai yang tidak lagi ke panggung wayang disebabkan kemunculan video, cakera padat dan video cakera padat.

Lebih-lebih lagi kebanjiran versi cetak rompak yang dijual murah walaupun kualiti gambarnya amat buruk, kadang-kadang dirakam di panggung wa­yang.

Bagi generasi lama tentunya masih ingat pawagam seperti Cathay dan Odeon yang menjadi tumpuan terutama pada hari-hari cuti perayaan termasuk Hari Kemerdekaan dan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ketika Hari Kemerdekaan, tiket percuma diberi untuk murid-murid menonton di pawagam.

Selepas penutupannya, ada pawagam bertukar menjadi pasar raya atau diubahsuai sebagai tempat perniagaan. Di sesetengah­ tempat, ada satu dua pawagam yang masih bertahan.

Akhirnya pawagam diberi nafas baharu seperti yang ada sekarang, berada di kebanyakan pusat beli-belah yang tumbuh bagaikan cendawan. Begitu jugalah dengan industri buku yang perlu diberi ‘penjenamaan’ semula untuk menarik minat teruta-ma generasi muda. Sesuatu yang lama tetapi apabila diberi imej baharu akan mendapat perhatian masyarakat.

Kembali ke PBAKL 2017 yang sedang berlangsung sekarang, penganjuran pesta itu membuktikan industri buku masih relevan. Tahun lalu, jumlah pengunjung hampir 2.2 juta mengunjungi pesta buku itu yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang­ (MAEPS) di luar Kuala Lumpur.

Penganjuran di MAEPS menimbulkan rungutan sama ada pempamer, penerbit atau pe­ngunjung. Ada yang mendakwa hasil jualan merosot sedangkan pada masa yang sama ada pula mengakui hasil jualan meningkat. Pengunjung pula mendakwa ia jauh dari ibu kota sedangkan jika di PWTC, lebih mudah perhubu­ ngannya sama ada melalui peng-gunaan pengangkutan awam seperti teksi, LRT dan komuter. Keselesaan juga menjadi faktor penganjuran di MAEPS mencetuskan rungutan.

Kini, PBAKL edisi ke-36 kembali ke PWTC dengan sasaran pengunjung 2.5 juta orang. Syabas kepada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) yang mendengar rungutan pelbagai pihak berhubung penganjuran tahun lalu.

Difahamkan sebanyak 11 ruang pameran di sekitar PWTC digunakan sepenuhnya termasuk Dewan Merdeka yang turut menempatkan gerai Kumpulan Utusan dan penerbit buku antarabangsa. Sebanyak 905 gerai untuk 250 pempamer disediakan. Berlangsung selama 10 hari sehingga 7 Mei ini, beberapa acara sampingan turut diadakan termasuk ‘Baca World’, ASEAN e-Book Conference (AEC) dan Perhimpunan Penulis-Penulis ASEAN yang menghimpunkan lebih 1,000 penulis dari rantau Asia Tenggara.

Apa yang diharapkan, penganjuran pesta buku kali ini akan menimbulkan lebih minat kepada orang ramai untuk membaca buku, majalah, novel­ dan bahan penerbitan yang berkaitan.

Difahamkan tabiat membaca dalam kalangan rak­yat negara ini meningkat kepada 12 judul buku setahun, tetapi berapa ramai yang mampu berbuat demikian?

Penglibatan pihak sekolah, universiti, guru-guru dan ibu bapa amat penting dalam meng-galakkan anak-anak membaca buku. Sabtu lalu, Ustaz Kazim Elias semasa melancarkan buku ‘Cer Kome Tanye, UKE Jawab’ berkongsi formula bagaimana beliau mampu berceramah selama 26 tahun.

Setiap hari beliau ‘berjalan’ sama ada naik kapal terbang, ke­ reta dan sebagainya, buku menjadi temannya. Ada yang bertanya di mana beliau mendapat modal untuk berceramah dengan isi dan tajuk tidak sama? Jawapannya adalah banyak membaca sehingga dapat mengingat muka surat berkaitan. Hanya membaca dapat menambah ilmu dan ilmu itu pula perlu lebih baik dari semalam.

Buku adalah sumber untuk modal berceramah di samping ‘membaca’ pemikiran orang sama ada orang tua atau anak-anak muda. Bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat juga membantu untuk dijadikan modal ce­ramah.

Memandangkan kawasan pa-meran PBAKL ini luas, pengun-jung perlu bijak merancang untuk menyasarkan buku pilihan mereka sama ada berkaitan pendidi-kan, agama, novel, humor, sains dan sebagainya. Dapatkan garis panduan penerbit supaya mereka tidak letih berjalan dari satu gerai ke satu gerai.

Jika ada masa terluang terutama pada hari-hari bekerja, gunakan untuk meninjau dari satu dewan ke satu dewan untuk melihat buku-buku yang dijual.

Sempena cuti Hari Pekerja hari ini, bagi mereka yang berada di sekitar Lembah Klang, ambillah peluang untuk berkunjung ke PBAKL. Golongan pekerja juga perlu menambah ilmu dengan membaca. Selamat Hari Pekerja.

UMA010517010C#

Related posts

Leave a Comment