Masa depan siapa gelap dan suram selepas PRU

LUCU ada, sedih pun ada apabila mendengar dan membaca kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengenai ‘kalaulah kalau’ Pulau Mutiara jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14. Pulau Pinang dikhabarkan akan sengsara jika DAP dan PKR kalah. Tidak pasti istilah tepat untuk digunakan terhadap kenyataan itu. Jika mahu dikatakan kempen PRU, ia masih terlalu awal biar pun ada yang meramalkan seawal bulan depan, empat bulan terakhir tahun ini dan tidak kurang pula berpendapat pada tahun hadapan. Jika bukan kempen, anggaplah ia berbentuk ingatan, nasihat, amaran atau apa sahaja yang terlintas di fikiran rakyat. Apakah yang dimaksudkan dengan akan ditimpa malapetaka dan masa depan gelap? Malapetaka menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membawa maksud sesuatu yang menjadi rosak dan musnah dengan tidak disangka-sangka dan juga berbagai-bagai kesusahan.

Menghampiri dua penggal memerintah Pulau Pinang, kenyataan Guan Eng itu jelas menampakkan keresahannya dan DAP dalam menghadapi PRU akan datang. Adakah kenyataan itu ikhlas tanpa ‘ada udang di sebalik batu’ sebagai peringatan kepada penduduk Pulau Pinang akan kesannya terhadap mereka jika BN kembali berkuasa? Mungkin juga sebagai ingatan un-tuk dirinya sendiri sekiranya DAP dan PKR tumpas. Kenapa tidak disebut sahaja malapetaka dan masa depan gelap jika BN kekal berkuasa sebagai kerajaan Persekutuan? Bagi generasi yang sudah lama hidup di Pulau Pinang tentu dapat menilai keadaan sebenarnya. Guan Eng didakwa menggariskan beberapa perkara mengenai ‘semuanya akan hilang’ iaitu Komtar baru bertukar kepada Komtar lama, Pulau Pinang bersih akan kembali kotor, Pulau Pinang hijau akan menjadi botak dan Pulau Pinang bakal berhadapan catuan air. Sejauh manakah rakyat Pulau Pinang boleh ‘terpesona, terpedaya atau terpengaruh’ dengan kata-kata itu?

Rakyat biasa boleh berfikir mengenai ingatan berkenaan. Tidak perlu diulas lanjut. Sudah banyak reaksi. Kerisauan Guan Eng itu juga telah dijawab oleh Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Huan Cheng Guan baru-baru ini. Beliau mendakwa Guan Eng sebenarnya takut kehilangan Pulau Pinang bukan disebabkan sayangkan negeri itu dan rakyatnya tetapi amat khuatir semua skandal akan terdedah apabila BN mengambil alih negeri itu sekali gus akan berdepan kepada penyiasatan dan pendakwaan. Hakikatnya, Komtar tidak akan ‘runtuh’ jika BN kembali berkuasa kecuali malapetaka sebenar melanda pulau itu.

Pulau Pinang juga tidak akan dibiarkan kotor kecuali pihak berkuasa tempatan dimansuhkan dan pekerjanya dibuang bagi mengurangkan kakitangan awam. Air akan dicatu jika bekalan tidak mencukupi semasa musim kemarau. Elok disebut BN akan menaikkan tarif air kerana catuan boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa mengira siapa yang memerintah. Jika sudah tidak cukup air akibat bukit bukau dan gunung ganang sedang dibotakkan, tidak mustahil air akan dicatu pada masa hadapan. Catuan air pernah berlaku di Selangor, negeri yang ditadbir oleh kerajaan DAP, PKR dan Pas. Tidak perlu menunggu BN berkuasa. Siapa pula yang membotakkan bukit-bukau di Pulau Pinang?

Adalah lebih baik Guan Eng menjanjikan sesuatu yang terbaik akan dilakukan di Pulau Pinang jika beliau dikekalkan sebagai Ketua Menteri. Contohnya, lebih banyak rumah murah untuk rakyat, tol akan dihapuskan walaupun sekadar ulang tayang. Katakan ini kalilah tol Sungai Nyior akan dimansuhkan. Amat sukar untuk menerima kenyataan yang seolah-olah menakut-nakutkan rakyat Pulau Pinang dalam usahanya menagih simpati untuk terus menyokong DAP dan sekutunya. Apa yang boleh dianggap benar adalah mengenai kenyataan bahawa sekiranya DAP kalah, PKR juga kalah dan BN akan mengambil semula negeri itu. Selepas Pas menarik diri daripada pakatan pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Harapan, ada sedikit kerisauan terhadap keupayaan PKR untuk mengekalkan kerusi yang ada di negeri itu.

Selak telah membincangkan isu ini minggu lalu di bawah tajuk Bagaimana DAP, PKR tanpa sokongan Pas di Pulau Pinang. Perpecahan undi akibat pertembungan tiga penjuru boleh menjejaskan keupayaan PKR untuk mempertahankan 10 kerusi yang dimenanginya sebelum ini terutama di kawasan yang bergantung kepada pengundi Melayu. Berdasarkan majoriti besar yang dimenangi DAP sebelum ini, parti itu mungkin boleh berusaha untuk mempertahankan 19 kerusi

Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang. Bagaimanapun ada beberapa kerusi yang pernah menjadi milik BN dan mempunyai pengundi Melayu yang agak ramai boleh menggugat kedudukan DAP seperti Tanjong Bungah, Datok Keramat, Sungai Pinang, Seri Delima dan Air Itam. Peratusan dan jumlah pengundi kini berubah dan parti-parti politik sudah tentu tidak berdiam diri sejak selepas PRU lalu mencari strategi bagaimana mahu memperkukuhkan kedudukan parti masing-masing. Bagi yang menang akan berusaha mengekalkan kedudukan dan yang kalah menyusun strategi untuk mengambil semula walaupun dengan majoriti yang kecil. Jika DAP yakin boleh menang semua kerusi yang ada sekarang, parti itu hanya mengharapkan sekurang-kurangnya empat kerusi tambahan sumbangan PKR khususnya di kawasan seperti Kebun Bunga, Batu Uban, Machang Bubuk dan Bukit Tambun.

Persoalannya mampukah, MCA, Gerakan atau MIC membantu untuk menjejaskan peluang DAP atau PKR untuk mengekalkan kerusi-kerusi ini? Jika mereka mampu, sedikit sebanyak BN berpeluang mengambil semula negeri itu dengan syarat UMNO dapat memenangi semua kerusi yang ada sekarang dan mengambil semula enam kerusi majoriti Melayu. Kerusi itu ialah Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir (kawasan Parlimen Permatang Pauh); Sungai Bakap (Parlimen Nibong Tebal); Pantai Jerejak dan Batu Maung (Bayan Baru).

Memang benarlah kerisauan Guan Eng bahawa jika DAP kalah walaupun satu dua kerusi dan PKR pula kalah semua kerusi di kawasan majoriti Melayu, ia satu malapetaka bagi DAP yang sudah selesa memegang kuasa memerintah negeri Pulau Pinang. DAP pernah melalui masa gelap di Pulau Pinang tetapi mereka juga mampu menumbangkan dua orang Ketua Menteri iaitu Dr. Lim Chong Eu dan Dr. Koh Tsu Koon. BN juga pernah menumbangkan pemimpin besar DAP iaitu Lim Kit Siang dan Karpal Singh. Dalam politik semua ini tidak mustahil. PRU ini, tiada siapa tahu masa depan siapa gelap atau suram.

UMA240417012C#

Related posts

Leave a Comment