Wujudkan menang-menang dalam isu ‘kereta sapu’

GOLONGAN pemandu teksi terutama di Lembah Klang tentunya menarik nafas lega dengan perhatian yang diberikan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak berhubung isu perkhidmatan Uber dan GrabCar yang menjejaskan pendapatan mereka. Jaminan untuk mencari penyelesaian yang adil amat dialu-alukan bagi menjamin kepentingan pemandu yang menjadikan teksi sebagai sumber pendapatan tetap atau kerja sampingan. Pada masa yang sama kepentingan dan keperluan pengguna juga perlu diambil­ kira. Apa yang penting, mewujudkan situasi menang-menang, umpama menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Berhubung isu ini, Selak pada 8 Februari lalu telah membangkitkan ‘ancaman’ yang mungkin berlaku akibat kehadiran Uber/GrabCar ini di bawah tajuk Kehadiran GrabCar mencabar industri teksi.
Isu ini sudah berkali-kali dibangkitkan tetapi tidak ada penyelesaian yang konkrit. Jawapan yang diberi oleh pihak berkuasa juga tidak begitu meyakinkan pemilik/pemandu teksi. Akhirnya pada 29 Mac lalu, beberapa laluan utama di ibu kota sesak apabila ratusan pemandu teksi mengadakan demonstrasi membantah Uber/GrabCar kerana mendakwa perkhidmatan itu menjejaskan periuk nasi mereka. Mereka mendakwa di beberapa negara di dunia telah mengharamkan per­ khidmatan ini. Adakah tindakan pemandu teksi ini juga mengikut jejak rakan-rakan mereka di negara jiran? Di Jakarta, pemandu teksi turut mengadakan demonstrasi membantah perkhidmatan teksi dalam talian seperti Grab/Uber.

Terkini pada 22 Mac lalu apabila beratus-ratus pemandu teksi membakar tayar dan menghalang lalu lintas di Jakarta selepas tunjuk perasaan membantah perkhidmatan dalam talian itu. Pemandu-pemandu ini terdiri daripada pemandu syarikat Blue Bird dan Express Transindo Utama. Dalam demonstrasi itu, selain pemandu perkhidmatan dalam talian, turut menjadi mangsa ialah pemandu teksi yang tidak turut serta menyertai demonstrasi berkenaan. Diharapkan, pemandu teksi di negara ini tidak bertindak sedemikian ketika menyatakan rasa tidak puas hati mereka. Masih ada ruang untuk berunding dengan kerajaan. Bantahan pemandu teksi di Jakarta juga lebih kurang sama dengan hasrat pemandu teksi di negara ini iaitu pemandu Uber dan Grab perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Apakah peraturan itu? Sudah pasti pemandu teksi mahu pengendali perkhidmatan Uber/GrabCar memenuhi syarat-syarat yang sah sebagai penyedia perkhidmatan pengangkutan awam. Ini terma­suklah pemandu memiliki lesen memandu kenderaan awam (PSV) yang sah dan kenderaan menjalani prosedur pemeriksaan berkala di Puspakom Sdn. Bhd. setiap enam bulan sekali. Pemilikan PSV mungkin tidak menjadi isu besar tetapi bagaimana dengan pemeriksaan berkala? Adakah pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedia berkompromi untuk memberi kelonggaran kepada pemandu teksi menjalani pemeriksaan berkala? Apa pula risiko kepada pengguna pengangkutan awam jika prosedur ini dilonggarkan? Harus diingat apakah tujuan prosedur itu dilakukan? Ketika ini, prosedur yang dikenakan amat ketat bagi memastikan teksi berkenaan benar-benar berada dalam keadaan baik dan selamat. Pemeriksaan menyeluruh `luar dan dalam’ menyebabkan pemandu memberi perhatian setiap kali mahu menjalani pemeriksaan Puspakom terutama melibatkan tayar, brek, lampu dan segala perkara berkaitan keadaan fizikal kenderaan. Kadang-kadang disebabkan perkara kecil seperti tidak ada pelekat tertentu di dalam kenderaan menyebabkan ujian itu gagal dan pemandu terpaksa datang semula ke Puspakom menjalani pemeriksaan. Baru-baru ini, seorang pemandu memberitahu, beliau gagal hanya kerana lampu pada plat teksi tidak berfungsi dan ketiadaan ‘rantai makluman’ yang digantung di bahagian belakang kerusi pemandu.

Selak pernah membangkitkan ‘rantai makluman’ ini yang tidak relevan dan mengganggu keselesaan penumpang yang duduk di belakang. Sebagai pengguna, sudah lama saya tidak melihat makluman seumpama itu digantung. Adakah peraturan ini masih wajib? Ada pemandu yang memberitahu, beliau tidak ditanya langsung mengenai rantai makluman itu dan beliau lulus ujian pemeriksaan. Keadaan ini juga menunjukkan pemeriksaan yang tidak seragam sehingga menimbulkan masalah kepada pemandu-pemandu teksi. Bukan mudah untuk berbaris buat kali kedua bagi melakukan pemeriksaan semula kerana ia melibatkan kos termasuk kerugian kerana tidak dapat memandu pada hari berkenaan hanya kerana kesalahan kecil. Kebanyakan pemandu pula perlu membayar sewa harian.

Masih banyak perkara yang perlu diberi perhatian supaya wujud persaingan yang lebih sihatdalam kalangan teksi sedia ada dan perkhidmatan Uber/GrabCar. Jangan biarkan mereka bersaing atas dasar tidak puas hati antara satu sama lain sehingga akhirnya pengguna menjadi mangsa. Ada ba­ nyak jurang antara teksi dan Uber/ GrabCar ini. Contohnya teksi sama ada yang bermeter atau sebaliknya tidak boleh mengambil penumpang di mana-mana sahaja termasuk di lapangan terbang sedangkan Uber/ GrabCar bebas mengambil penumpang sehingga di pintu balai ketibaan. Kelebihan yang ada pada GrabCar/Uber ini sudah tentu menjejaskan perkhidmatan teksi khususnya limosin yang diwujudkan khas di lapangan terbang. Apakah nasib pemandu ini apabila satu hari nanti, penumpang lebih selesa dengan Uber/GrabCar? Panggillah dimana sahaja, Uber/GrabCar boleh datang mengambil penumpang sedangkan teksi atau limosin akan disaman dan sebagainya sekiranya mereka mengambil penumpang di kawasan yang tidak dibenarkan.

Begitu juga dengan kemunculan pelbagai jenis teksi yang mengelirukan pengguna sehingga ada yang takut memilih Teksi 1Malaysia dan teksi eksekutif (berwarna biru) disebabkan tambang yang tidak sama dengan teksi bajet. Akhirnya jalan keluar ialah menggunakan Uber/ GrabCar yang menetapkan kadar tambang. Akibatnya, mereka yang menjadi mangsa ‘ketiadaan penumpang’ adalah pemandu teksi. Pemandu teksi tidak menentang aplikasi perkhidmatan dalam talian Grab (dulu MyTeksi) kerana ia memudahkan penumpang/pengguna. Bagaimanapun timbul keraguan apabila aplikasi itu dikatakan lebih memihak kepada kenderaan yang didaftarkan di bawah GrabCar/ Uber. Sejauh mana kebenaran dakwaan itu? Baru-baru ini, seorang rakan memberitahu, beliau berpeluang menaiki Persona apabila tidak ada teksi yang bersedia memberi perkhidmatan pada 29 Mac lalu.

Isu ini nampak mudah tetapi rumit kerana ia bukan hanya melibatkan sebelah pihak tetapi orang ramai sebagai pengguna. Jangan hanya kerenah sebahagian kecil pemandu teksi, habis nama baik industri teksi terjejas. Kajilah secara teliti sebarang cadangan atau syor yang dikemukakan supaya semua pihak menang-menang!

UMA040416010C_2#

Related posts

Leave a Comment