Mencari siapa bohong, berbohong, pembohong

APA khabar CAT Pulau Pinang? CAT di sini bukan bermaksud kucing tetapi slogan urus tadbir kerajaan DAP Pulau Pinang iaitu Cekap, Akauntabiliti, Telus. Sejak timbul isu banglo Jalan Pinhorn dan tanah Taman Manggis, banyak  pihak tertumpu kepada slogan CAT Pulau Mutiara itu. Seperti  cuaca sekarang, semakin hari semakin panas, banyak yang diselak berkaitan  isu  berkenaan. Satu persatu didedahkan. Ada juga yang sudah tidak tentu arah, hari ini cakap ‘A’ dan esok cakap ‘B’. Berbelit-belit. Tumpuan sekarang ialah sejauh mana kerajaan pimpinan Lim Guan Eng mampu menyelesaikan masalah ini sama ada melalui siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah   Malaysia (SPRM) atau di pihak kerajaan negeri sendiri. Setakat ini pelbagai kenyataan dikeluarkan berhubung isu banglo RM2.8 juta yang didakwa dibeli di bawah nilai pasaran dan penjualan tanah Taman Manggis yang diperuntukkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini untuk Projek Perumahan  Rakyat Termiskin.

Selak  tidak  berminat terus menyelak isu jual beli itu tetapi lebih kepada mahu melihat sejauh mana CAT dapat menangani isu ini dengan baik supaya rakyat benar-benar mendapat penjelasan atau jawapan sebenarnya. Seperti kata Guan Eng, kontrak pembelian banglo beliau berharga RM2.8 juta umpama ‘perkahwinan’ selagi tidak ada paksaan atau pen­garuh yang tidak wajar. Agaknya bermaksud, jika ‘pengantin’ le­laki setuju dengan ‘jumlah wang hantaran’ yang ditetapkan maka terima sajalah. Begitu juga seba­liknya jika pengantin perempuan enggan menerima sebarang wang hantaran, maka kahwin percuma! Berbalik kepada dua isu ini juga, perbahasan di Dewan Rakyat panas dan riuh rendah. Contohnya ketika penggulungan­ perbahasan di De­ wan Rakyat pada 23 Mac lalu yang mengambil masa 1 jam 40 minit se­mata-mata membincangkan isu ini. Menteri Kesejahteraan Bandar, Pe­rumahan dan Kerajaan Tempatan, Abdul Rahman Dahlan memulakan penggulungan titah Yang di-Pertu­an Agong itu kira-kira pukul 8.41 malam dan menamatkan ucapan­nya kira-kira 10.20 malam.

Apa yang menarik perhatian ialah isu kenyataan harga rumah mampu milik RM400,000 seu­nit di Pulau Pinang yang dikata­kan ditetapkan oleh kementerian berkenaan. Penggulungan menteri mengambil masa hampir satu jam semata-mata mahu menyelesaikan ‘pertikaian’ berkaitan perkataan bohong, berbohong, pembohong­an dan membohong. Hanya ker­ana perkataan itu, penyudahnya, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen DAP Bagan diarahkan meninggal­kan Dewan Rakyat, sesuatu yang didakwa sebagai strategi terancang. Abdul Rahman ketika mengulas keputusan ‘mengeluarkan’ Guan Eng berkata: “Beliau mengguna­kan taktik lama untuk diarahkan keluar dewan, kemudian di luar dewan membuat sidang media dan menangis meraih simpati.’’ Begitu­lah suasananya pada minggu lalu. Ternyata Guan Eng tidak berpuas hati dengan keputusan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ismail Mohamed Said kerana memu­tuskan bahawa perkataan ‘bohong’ itu tidak ditujukan kepadanya tetapi kepada kenyataan yang dike­luarkannya berkaitan harga rumah mampu milik. Guan Eng berkata: “Kalau pembohongan, saya boleh terima. Akan tetapi disebut ini yang bohong, yang berbohong ialah Yang Berhormat Bagan, macam mana saya boleh terima.’’ Apakah mak­sud perkataan bohong, berbohong, pembohongan dan membohong?(Rujuk info grafik)

Isu perkataan itu tidak seharus­nya dibiarkan berlarutan sehingga mengambil masa untuk melerai­kannya. Jika tidak faham, elok ru­juk kepada pakar-pakar berkaitan. Seperti kata Abdul Rahman: “Bu­kan salah saya kalau Yang Berhor­mat Bagan tidak faham bahasa Melayu tetapi perkataan ‘bohong’ itu timbul atas sebab fakta yang betul bahawa beliau telah menuduh ke­menterian saya….beliau mengata­kan bahawa kami yang menentukan harga RM400,000 rumah mampu milik di negeri Pulau Pinang. Se­benarnya Yang Berhormat Bagan tidak faham bahawa apabila beliau meletakkan harga itu, rakyat Pulau Pinang marah akhirnya menuding jari kepada saya. Saya ada bukti yang menunjukkan bahawa Ke­menterian Kesejahteraan­ Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tem­patan tidak pernah meletakkan RM400,000. Itu sebab saya kata bohong, kang saya kata tipu susah pula. Saya katakan lidah bercabang lagi dia marah. Jadi saya menggu­nakan perkataan yang paling­ baik iaitu berbohong dan itu bahasa Melayu. Bahasa Melayu yang mungkin tidak difahami dalam konteks ini..’’

Menyelak semula ucapan pada 16 Mac lalu di Dewan Rakyat, Guan Eng tidak senang apabila Abdul Rah­man berkata: “Tuan Yang Dipertua, di kesempatan ini juga saya ingin membetulkan dakwaan Yang Ber­hormat Bagan dan kenyataan­ Yang Berhormat Batu Kawan semalam yang menegaskan takrifan­ harga ru­mah mampu milik di Pulau Pinang sebanyak RM400,000 ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan. Ini ada­lah satu pembohongan­…” Guan Eng juga tidak berpuas hati dengan per­kataan bohong seperti­ kata Abdul Rahman iaitu: “Saya menjawab ini sebab ada video bertajuk Housing Cost Determined by Federal Housing Ministry oleh Yang Berhormat Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang yang dimuat naik di laman Facebook beliau atau Facebook Buletin Mutiara bertarikh 13 Mac 2016. Beliau telah mengatakan bahawa RM400,000 ini ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan. That is a lie, that is a lie. Bohong.’’

­Guang Eng juga mempertikai­kan kenyataan Abdul Rahman iai­tu “Yang membohong ialah Yang Berhormat Bagan”. Kenyataan itu timbul apabila P. Kasthuriraani (DAP-Batu Kawan) mempersoal­kan kenapa jawapan Abdul Rah­man sebelum itu ditujukan kepada Pulau Pinang sahaja seolah-olah tidak ada negeri lain. Apabila Abdul Rahman menjawab sebab menteri besar dan ketua menteri yang lain tidak bohong, wakil Batu Kawan itu meminta­ perkataan itu ditarik ba­lik tetapi pendirian Abdul Rahman ialah: ‘‘Macam mana kita tidak se­but dia, sebab dia yang bohong.’’

Begitulah episod bohong, berbo­hong, pembohongan dan membo­hong yang mewarnai sidang Dewan Rakyat minggu lalu.

Diharapkan persoalan berkaitan isu ini dapat diselesaikan. Semua orang ingin tahu siapakah sebe­narnya yang bohong, berbohong, membohong atau melakukan pem­bohongan!

UMA280316010C#

Related posts

Leave a Comment