Pas minta semua kekal tenang

SEPANG 22 Mei – Pas meminta semua pimpinan dan ahlinya tidak membuat sebarang kenyataan atau ulasan berhubung perkembangan terkini membabitkan hubungan parti itu dengan pihak lain, melainkan dengan kebenaran khas parti.

Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan menerusi satu kenyataan berkata peringatan itu membabitkan kenyataan mahupun ulasan dalam mana-mana saluran media atau komunikasi.

Pada masa sama, beliau meminta semua pihak kekal tenang, dan menyerahkan perkara seumpama ini kepada Presiden dan kepemimpinan parti yang akan menguruskannya dengan cermat dalam masa terdekat.

Terdahulu pada sidang media hari ini, Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, menegaskan kesabaran ‘ada batasnya’ dan Pas akan menilai semula kerjasama dengan Bersatu susulan beberapa tindakan parti itu yang dilihat sebagai melanggar semangat setia kawan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Abdul Hadi dilaporkan berkata, ketetapan itu dibuat susulan siri tindakan Bersatu yang disifatkan kurang menyenangkan Pas.

Antaranya ialah tindakan Bersatu memecat keahlian Exco Kerajaan Kedah serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Mohamed Farid Mohamed Zawawi, daripada parti itu.

Abdul Hadi dipetik menegaskan pertukaran atau pemecatan mana-mana ahli tidak boleh dibuat sewenang-wenang, sebaliknya perlu berasaskan alasan kukuh, kerana ia boleh menjejaskan prestasi sesebuah parti.

Selain itu, Abdul Hadi turut menekankan bahawa Pas tidak boleh menerima alasan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di Negeri Sembilan yang menarik semula akuan bersumpah (SD) berhubung sokongan terhadap kepemimpinan Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Beliau berkata, tindakan dua ADUN itu yang secara terbuka mengambil pendirian berkecuali dalam isu menarik balik sokongan kepada Aminuddin, boleh menjejaskan semangat setiakawan antara parti dalam PN.

Related posts

Leave a Comment