11 kes baharu Singapura, kini 59,869

SINGAPURA 21 Feb. – Sebanyak 11 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Singapura setakat tengah hari ini yang membawa jumlah keseluruhan 59,869 kes dengan jumlah kematian kekal 29.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), kesemua kes tersebut diimport dan dikenakan notis jangan keluar rumah sebaik tiba di negara ini.

Kes melibatkan dua warga Singapura dan seorang penduduk tetap yang pulang dari India dan Nepal, tiga pemegang pas tanggungan yang tiba dari India dan Emiriyah Arab Bersatu, seorang pemegang pas lawatan jangka panjang yang tiba dari Myanmar manakala seorang lagi adalah pemegang pas kerja dari Mexico.

Baki tiga kes melibatkan pemegang permit kerja yang tiba dari Bangladesh, India dan Indonesia, seorang daripadanya pembantu rumah asing.

Setakat ini juga, 12 lagi pesakit dilaporkan sembuh menjadikan 59,731  pulih sepenuhnya dari jangkitan.

Sebanyak 22 kes lagi masih dirawat di hospital, kebanyakannya dalam keadaan stabil manakala seorang di unit jagaan rapi

Sementara itu, MoH sedang menyiasat seorang pemandu trak Malaysia, pekerja penghantaran bebas yang tidak dibenarkan masuk ke Singapura pada 18 Februari setelah diuji positif Covid-19 dalam Ujian Pantas Antigen (ART) di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Hasil ujian reaksi rantai polimerase (PCR) yang diperoleh pada 19 Februari positif.

Sebelum itu, dalam lawatan 8 Februari, pemandu trak itu diuji negatif bagi kedua-dua ujian Covid-19 dan ART .

Siasatan menunjukkan lelaki itu telah ke Resorts World Sentosa Casino pada 9 Februari sebelum pulang ke Malaysia pada hari yang sama.

Menurut MoH walaupun lelaki itu tidak dimasukkan dalam jumlah kes kerana tidak dibenarkan masuk ke Singapura sebaik ujian ARTnya positif, MoH mengambil semua langkah berjaga-jaga termasuk semua kontak rapatnya yang dikenal pasti dikenakan kuarantin.

Resorts World Sentosa Casino di 8 Sentosa Gateway, pada Ahad, dimasukkan dalam senarai tempat awam yang dikunjungi kes dalam masyarakat semasa tempoh berjangkit.

Menurut MoH, pemandu trak Malaysia tidak dibenarkan bergaul dengan anggota masyarakat selain bagi tujuan penghantaran dan tidak boleh tinggal semalaman di sini.

Related posts

Leave a Comment