Keselamatan bukan gurauan, jangan biarkan rakyat panik

SEBELUM sempat menyelak surat khabar pagi semalam, perhatian tertumpu kepada WhatsApp yang diterima sebelum tengah malam kelmarin sehingga awal pagi. Beberapa isu menarik menjadi perhatian. Contohnya laporan kononnya beberapa anggota polis bantuan yang dikatakan mati ditembak dalam rompakan di premis pengurup wang. Lokasinya di KL Sentral. Turut menjadi perhatian ialah mengenai pengganas IS yang mahu menjadikan Kuala Lumpur sebagai sasaran pengebom berani mati. Turut disenaraikan lokasi sasaran kumpulan ini. Nyata dua ‘berita’ itu palsu atau tidak tepat. Ada pihak yang suka mengambil kesempatan bagi menimbulkan keresahan atau kegusaran orang ramai. Semua ini gara-gara insiden pengeboman yang berlaku di Jakarta minggu lalu. Dalam insiden Khamis lepas, tujuh orang– lima pengganas dan dua orang awam – disahkan terkorban. Selepas itu, timbul pula laporan empat anggota militan IS ditahan dalam operasi khas di Selangor dan ibu negara. Seorang daripadanya merancang serangan bunuh diri. Dia ditahan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Setiawangsa, Ampang.

Susulan insiden itu, Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar berkata, PDRM meningkatkan amaran keselamatan negara ke tahap paling tinggi. Keadaan lebih ‘mencemaskan’ apabila WhatsApp itu turut menyenaraikan lokasi ‘panas’ yang seolah-olah mengaitkan ia dengan kenyataan Khalid. Tentunya ada yang panik dan bertanyakan sejauh mana kesahihan laporan tersebut. Mereka mula risau dengan keselamatan diri dan keluarga jika berada di lokasi ‘panas’ berkenaan. Sama ada percaya atau tidak dengan laporan itu, semua orang akan mengambil langkah berjaga-jaga. Kesahihan laporan itu menjadi perkara kedua dan yang penting, maklumat itu perlu disebar luaskan dengan kadar segera tanpa mengambil kira kesahihannya. Itu sudah menjadi lumrah. Begitulah jadinya apabila ada pihak yang begitu ghairah mengambil kesempatan untuk menjadi ‘wartawan segera’ serta ‘menabur’ berita yang ditokok tambah. Berbalik kepada isu rompakan, kenapa dikaitkan dengan KL Sentral? Khabarnya, itu insiden beberapa tahun lepas dan lokasi kejadian juga bukan di KL Sentral. Kasihan anggota polis yang menjadi ‘sasaran’ atau ‘mangsa’ viral ini. Sudah tentu KL Sentral menjadi pilihan viral kerana kedudukannya sebagai salah satu ‘pintu masuk’ ke ibu negara yang menghubungkan terus pengguna KLIA dan klia2 melalui pengangkutan Express Rail Link (ERL).

KL Sentral juga menjadi stesen pengangkutan rel, teksi dan bas. Tren antara bandar dari utara, selatan dan pantai timur akan melalui KL Sentral, Begitu juga Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) dan komuter. Di kawasan sekitarnya juga terdapat beberapa buah hotel dan apartmen ternama yang menjadi lokasi pilihan warga asing sama ada yang datang sebagai pelancong atau pelabur. Maka tidak hairanlah, KL Sentral menjadi pilihan sebagai salah satu lokasi untuk menimbulkan keresahan dalam kalangan orang ramai termasuk pelancong asing berikutan laporan IS mahu mengebom ibu negara. Keadaan lebih cemas apabila satu WhatsApp lagi menyenaraikan lokasi pilihan yang perlu dielakkan oleh orang ramai. Kenyataan itu seolah-olah dikeluarkan oleh pihak polis. Lokasi panas yang disenaraikan ialah KLCC, beberapa stesen kereta api termasuk di KL Sentral, Kuala Lumpur dan Bandar Tasik Selatan (BTS). Pusat membeli-belah, restoran makanan segera, tempat tumpuan awam malahan perayaan Thaipusam juga dikatakan sebagai sasaran IS atau kumpulan pengganas Daesh. Sejauh mana kebenarannya? Polis bagaimanapun menafikan mengeluarkan kenyataan yang menyenaraikan ‘lokasi panas’ ini. Apakah selepas ini tidak ada ‘kehidupan’ di kawasan-kawasan berkenaan? Sunyi sepi tanpa aktiviti? Semua orang tidak akan keluar dan duduk diam di rumah? Bagaimanapun, sama ada laporan itu betul atau tidak (sudah dinafikan polis), sekurang-kurangnya ia satu peringatan kepada semua supaya lebih berhati-hati.

Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keharmonian, sudah tentu, kita sama-sama bertanggungjawab untuk mengelak negara ini menjadi mangsa serangan IS atau mana-mana kumpulan pengganas. Seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak, kerajaan komited memerangi habis-habisan sebarang bentuk keganasan dan sikap perkauman serta keagamaan melampau, bagi mengekalkan keamanan, keharmonian dan keselamatan di negara ini.

Beringat sebelum kena. Mencegah sebelum parah. Kita harus bertindak lebih awal menangani isu ini. Adakah pihak berkuasa di lokasi tumpuan termasuk di stesen kereta api, bas dan pusat membeli-belah telah mengambil langkah-langkah keselamatan? Adakah prosedur kes-elamatan di lokasi-lokasi berkenaan memadai atau perlu ditingkatkan? Jangan apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini, baru pihak berkenaan mahu bertindak. Bagaimana pula dengan laluan atau pintu masuk ke Malaysia? Dalam masa yang sama, tidak seharusnya segala tindakan pihak berkuasa dalam menangani isu ini boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan orang ramai. Insiden pengeboman boleh berlaku tanpa mengira tempat. Siapa tahu, lokasi yang bukan menjadi pilihan pasukan keselamatan untuk berjaga-jaga menjadi sasaran. Pengganas mungkin hanya mahu menarik perhatian umum sekiranya pilihan tidak melibatkan lokasi tumpuan ramai atau pelancong.

Apa yang penting ialah semua pihak yang berkaitan dengan kawalan keselamatan mengambil langkah berjaga-jaga di mana sahaja. Mungkin agak sukar untuk mengawal setiap sudut kawasan di ibu negara tetapi jika lokasi tertentu menjadi ‘panas’, eloklah langkah pengawasan diutamakan. Tidak dinafikan dalam situasi sekarang, kemungkinan pihak tertentu juga mengambil kesempatan untuk sengaja mencetuskan huru-hara. Kehadiran kumpulan seperti ini hanya menyulitkan lagi keadaan. Mereka ini mahu menangguk di air keruh dengan matlamat mahu merosakkan reputasi pasukan keselamatan dan kerajaan. Tindakan seperti ini akhirnya boleh menjejaskan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang dianggap selamat.

Diharapkan, pihak keselamatan tidak berkompromi dalam membanteras sebarang unsur kegiatan yang boleh mencetuskan suasana tidak aman dalam negara. Pemantauan dan rondaan perlu dilakukan berterusan, bukan mengikut musim. Semoga kehadiran anggota polis di beberapa lokasi yang dianggap ‘panas’ atau menjadi tumpuan ramai dapat memberi keyakinan mengenai tahap keselamatan di dalam negara. Orang ramai pula harus bekerjasama menyalurkan maklumat sesuatu yang mencurigakan, bukannya menjadi penyebar ‘berita’ yang tidak tepat sehingga menimbulkan keresahan. Ingatlah, isu-isu berkaitan keselamatan bukannya satu bahan gurauan!

UMA180116010C#

Related posts

Leave a Comment