Dalam jerebu, orang politik kalut ‘lompat, loncat’ parti

MINGGU ini, menjelang 16 September, sebuah lagi parti politik akan dilahirkan iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) yang dipelopori oleh bekas barisan kepemimpinan Pas yang kecundang dalam pemilihan lalu. Amanah mengambil tempat Parti Pekerja Malaysia (PPM). Mengikut daftar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ketika ini terdapat 36 parti politik yang berdaftar dengan suruhanjaya itu termasuk PPM. Seperti yang diketahui umum, senarai nama mereka yang bakal menyertai Amanah sudah tersebar. Ramai yang pernah menyertai Pas dan seia sekata dengan parti itu telah menyatakan kesediaan­ untuk melompat. Pada masa yang sama, ada juga anggota Pas yang melompat ke PKR. Boleh dikatakan sepanjang bulan ini banyak­ orang politik ‘melompat atau meloncat’ parti. Sebenarnya lompatan­ dalam parti ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Cuma ketika ini ia tidaklah sehebat atau kecoh seperti yang berlaku ke atas Ibrahim Ali pada satu ketika dahulu.

Menyelak kembali isu lompat ini, negara pernah heboh dengan kemungkinan berlaku lompatan beramai-ramai selepas pilihan raya umum (PRU12). Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai cukup bilangan ahli Parlimen BN yang akan melompat menyertai pakatan pembangkang bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Abdullah Ahmad Badawi. Cerita itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan. Satu lagi kisah lompat yang paling popular ialah apabila Ibrahim atau Tok Him digelar ‘katak’ kerana lompatan parti yang dilakukannya iaitu Berjasa kepada UMNO kemudian Parti Melayu Semangat 46 dan kembali semula ke pangkuan UMNO. Semasa era Tok Him, ketika beliau ditanya mengenai ada pihak yang masih mengaitkannya sebagai ‘lompat si katak lompat’, Ibrahim dalam satu wawancara dengan majalah MASSA, keluaran 12 Jun 1999 berkata: Apa salahnya? Saya bukan bertukar agama. Saya menyertai Berjasa (ketika itu komponen BN) kemudian UMNO, Semangat 46 dan UMNO. Ketika ‘meninggalkan’ UMNO, parti itu diharamkan bukan saya keluar parti. Secara prinsipnya saya sentiasa bersama BN. Parti sekadar wadah perjuangan. Ramai lagi yang melompat parti. Mereka kini ada dalam Pas, DAP dan Keadilan, tetapi kenapa saya saja jadi sasaran. Kini Tok Him tidak keseorangan.

Kalau melompat parti itu dianggap ‘katak’ bagaimana pula mereka yangmembuat keputusan yang sama pada hari ini untuk berpindah parti politik? Sebahagian besar yang melompat itu terdiri daripada anggota Pas. Mereka tidak dipecat atau dihalau tetapi membawa diri selepas tewas dalam pemilihan termasuk bagi jawatan presiden, timbalan presiden dan naib presiden. Nama-nama yang tersenarai termasuklah Ahmad Awang, Mohamad Sabu @ Mat Sabu, Salahuddin Ayub, Khalid Samad, Mujahid Yusof Rawa, Suhaizan Kaiat dan ramai lagi. Turut melompat ialah bekas Menteri Besar Selangor, Muhammad Muhd Taib, bekas Naib Presiden UMNO yang menyertai Pas dan kini beralih ke PKR. Kenapa Muhammad tidak ikut Mat Sabu.

Cuba kita selak kenyataan Muhammad semasa mengisytiharkan keluar UMNO untuk menyertai Pas. Beliau berkata, negara sekarang perlu mengalami perubahan ke arah roh Islam agar masyarakat terutama orang Melayu beragama Islam lebih menghayati Islam. Jelasnya, perjuang­an bersama Pas merupakan pilihan yang terbaik dan masyarakat perlu memberikan undi kepada mereka.

Katanya: Saya tidak berhajat jadi calon dan mendapatkan jawatan. Saya nak beri sokongan kepada Pas.Saya menjadi Menteri Besar selama 11 tahun dan berkecimpung dalam politik bersama UMNO sejak usia 25 tahun. Kini saya berusia 65 tahun. Memang benar negara maju, Selangor negeri maju sekarang dan satu perubahan mesti dilakukan. Pembangunan mesti ada roh, tanpa roh ianya menjadi kucar-kacir.

Saya fikir mana parti yang boleh mengisi roh. Mesti parti yang boleh memperjuangkan Islam. Hanya kepimpinan Pas yang boleh membawa kesedaran agama. Begitulah kenyataan Muhammad semasa me­nyertai Pas pada 22 April 2013. Berdasarkan tempoh bersama UMNO dan Pas, nampaknya Muhammad lebih selesa dengan UMNO.

Bagaimana dengan Pas? Berapa lama Muhammad bertahan di dalam Pas sejak meninggalkan UMNO? Jika semasa menyertai Pas, Muhammad bersama Hadi Awang, Dr. Haron Din dan Mat Sabu di pentas yang sama, kini Muhammad meninggalkan ketiga-tiganya. Beliau meninggalkan Hadi dan Dr. Haron yang dikatakan banyak memainkan peranan membawanya menyertai Pas. Kenapa Muhammad tidak ikut Mat Sabu? Apa pula alasan kukuh yang menyebabkan Muhammad beralih kepada Anwar Ibrahim? Begitulah dunia politik. Orang politik boleh bercakap macam-macam perkara yang baik hari ini tetapi esok belum pasti. Ada yang hari ini cakap lain, esok cakap lain. Ada juga yang cakap tidak serupa bikin.

Penulis masih ingat bagaimana kenyataan Muhammad yang akan mengikut ‘imam’ semasa beliau masih di dalam UMNO. Selak ingin memetik satu wawancara bersama MASSA, keluaran 23 Oktober 1999. Petikan ini bukan bermaksud mahu mempertikaikan kredibiliti beliau kerana itu adalah hak politiknya. Cuma bagi penulis, kenyataannya amat menarik untuk dihayati bersama. Katanya: Sikap saya satu saja, macam orang bersembahyang, bila kita jadi makmum kita ikut imam. Bila saya jadi imam, saya hendak makmum ikut saya. Sekarang saya jadi makmum balik… Saya lebih mementingkan soal agama, bangsa dan negara, daripada diri saya sendiri. Buat apalah saya hendak memuaskan hati saya, hingga menyebabkan negara ini tercedera. Sekecil mana sekalipun, oleh kerana saya hendak puaskan hati, saya buat sesuatu yang boleh merosakkan imej negara, merosakkan perpaduan bangsa dan menyusahkan pemimpin. Rakyat pun turut susah kita buat. Pasal kita, orang berpecah belah. Buat apa semua itu. Dalam agama pun disuruh kita agar jangan berpecah belah. Kalau kita sebagai pemimpin, kita yang menyebabkan orang berpecah belah, saya tak tahulah bagaimana kita boleh jadi pemimpin.

Semoga pilihan Muhammad kali ini tepat dan akan membawa sinar baharu kepadanya serta PKR terutama dalam usahanya tercari-cari untuk melihat satu kesedaran masyarakat berkaitan Islam supaya masyarakat ‘tidak berkecamuk’. Begitu jugalah perjuangan anggota Pas yang melompat ke Amanah yang mungkin membawa bersama obor perjuangan Islam walaupun tidak sama seperti perjuangan Pas.

Selepas lompatan dan kelahiran parti baharu ini, apa pula yang akan berlaku ketika PRU nanti? Jika pakatan DAP-Pas-PKR sudah berpe­cah, adakah kerjasama baharu akan melahirkan DAP-PKR-Amanah? Bersediakah Pas meninggalkan pakatan dan kembali solo seperti dahulu? Bagaimana pula PKR? Adakah parti itu yang banyak mendapat sokongan Pas sebelum ini sedia ‘bercerai’ dengan Pas dan bersama Amanah, serpihan Pas? Keupayaan Amanah belum diuji. Keupayaan PKR tanpa Pas juga diragui. Hanya DAP nampak stabil dan mampu mengekalkan sokongan terutama melibatkan kawasan pengundi bukan Melayu. DAP boleh ‘jual mahal’ berbanding rakan-rakan parti lain dalam PRU akan datang.

Kerusi DAP yang ‘dalam tangan’ tidak akan tergugat. Sudah pasti akan berlaku perebutan kawasan yang akan ditandingi terutama di kawasan yang ditandingi Pas. Tentunya Amanah akan meletakkan wakil rakyat yang ada sekarang di kawasan yang dimenangi atas tiket Pas pada PRU lalu. Pas pula sudah tentu akan mengambil semula kawasan berkenaan untuk ditandingi sekiranya tidak wujud sebarang kerjasama dengan pakatan pembangkang. Adakah akan berlaku perebutan tiga penjuru di satu-satu kawasan? Semakin bercelaru suasana politik negara kita. Seperti jerebu yang sedang melanda, politik kita juga berjerebu.

UMA140915010C#

Related posts

Leave a Comment