PH tanding 21 kerusi, Adly Zahari kekal di Bukit Katil

MELAKA 24 Okt. – Pakatan Harapan (PH) menampilkan 13 muka baharu daripada keseluruhan 21 calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka, bulan depan.

Daripada 21 kerusi DUN itu, PKR akan bertanding di sembilan kerusi, DAP di tujuh kerusi manakala lima lagi kerusi ditandingi Amanah.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata gabungan berkenaan mengekalkan lima penyandang, manakala tiga lagi calon yang diketengahkan pernah bertanding dalam pilihan raya sebelum ini.

Katanya, pemilihan calon mengambil kira pengalaman, kemampuan serta potensi mereka untuk menyumbang kepada pentadbiran negeri.

Beliau berkata, barisan calon kali ini merangkumi individu berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri dan agensi berkaitan, selain golongan profesional serta bakat muda.

Antara yang diketengahkan ialah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Azman Abidin, calon Paya Rumput, yang mempunyai pengalaman dalam pentadbiran serta calon Rembia, Mohd Khuzairie Mohd Kamal Kannan.

“PH turut memberi ruang kepada bakat muda menerusi seorang calon Amanah berusia sekitar 23 tahun yang merupakan graduan bidang undang-undang.

Calon muda kita ini biarpun dia belum berkonvokesyen lagi, kita sudah dipilih berdasarkan pencapaian dan bakatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka PH oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pekarangan Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, di sini, malam ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi PH,  Mohamad Sabu dan Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, PH yakin gabungan pengalaman dan kemampuan calon yang diketengahkan mampu membantu mereka menyumbang kepada pembangunan serta pentadbiran negeri sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.

Selain Adly yang dikekalkan di kerusi DUN Bukit Katil, turut mempertahankan kerusi adalah Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Low Chee Leong (Kota Laksamana), Leng Chau Yen (Banda Hilir) dan Kerk Chee Yee (Ayer Keroh).

Sementara itu, tiga calon yang pernah bertanding sebelum ini ialah Datuk Ginie Lim Siew Lin di Machap Jaya,  Ashraf Mukhlis Minghat di Durian Tunggal dan Farzana Hayani Mohd Nasir di Klebang, yang sebelum ini bertanding di Sungai Rambai.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment