BN kekal 21, tiada tambahan kerusi kepada PN

MELAKA 24 Okt. – Barisan Nasional (BN) kekal dengan aku janji yang dimeterai bersama Pas dan rakan strategiknya berhubung pengagihan kerusi pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka, bulan depan.

Pendirian Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi itu, sekali gus menutup ruang rundingan bagi permintaan Pas mendapatkan tambahan dua kerusi pada pilihan raya berkenaan.

“Saya pun mendengar adanya usaha-usaha ‘pengintaian’ itu, tetapi kita sudah ada ‘bai’ah’, kita sudah ada perjanjian bahawa mereka diberikan peluang untuk merangkul tujuh kerusi yang tidak ditandingi oleh BN.

“Kita serahkan kepada mereka untuk pengagihan dalam kalangan parti gabungan di dalam PN,” katanya selepas menghadiri Majlis Graduasi Huffaz dan Apresiasi Kecemerlangan Ulul Albab di sebuah hotel di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas merangkap Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN),  Tuan Ibrahim Tuan Man, dilaporkan berharap rundingan dapat diadakan bagi mendapatkan tambahan satu atau dua kerusi di Melaka.

Tuan Ibrahim berkata, walaupun Ahmad Zahid mengumumkan tujuh kerusi diberikan kepada Pas dan rakan strategiknya, keputusan muktamad mengenai pembahagian kerusi masih perlu diputuskan Jawatankuasa Perundingan Kerusi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, persetujuan berkenaan sudah dimeterai dan perlu dihormati semua pihak yang terbabit dalam kerjasama berkenaan.

Ditanya sama ada BN akan terus mempertahankan 21 kerusi sebagai garis merah dalam rundingan pembahagian kerusi, beliau menegaskan keputusan sedia ada tidak berubah.

“Setakat ini, itulah yang sudah diputuskan dan kita pegang apa yang kita persetujui bersama,” katanya yang sebelum ini mengesahkan rundingan kerjasama politik antara BN dan PAS bagi menghadapi PRN Melaka sudah dimuktamadkan.

Pada pilihan raya 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan lima kerusi dan PN sebanyak dua kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 31 Oktober, pengundian awal pada 10 November dan hari pengundian pada 14 November.

Nnn

Related posts

Leave a Comment