PN akan jumpa MB Perlis digantung Bersatu

KOTA BHARU 24 Okt. – Perikatan Nasional (PN), akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian kemelut politik di negeri berkenaan.

Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan berkata, Pas sudah menghantar surat kepada Abu Bakar bagi memohon satu pertemuan untuk membincangkan perkara berkenaan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, perbincangan nanti akan memberi lebih tumpuan kepada usaha mencari penyelesaian terhadap isu yang berlaku.

“Pas masih menyokong kerajaan negeri atas nama PN meskipun tidak berada dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya pada sidang media selepas Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (HIMPAK) di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam tadi.

Katanya, penggantungan Menteri Besar Perlis daripada parti tidak bermakna beliau sudah keluar Bersatu kerana masih berstatus ahli parti berkenaan.

“Dia (Abu Bakar) tak boleh masuk parti lain, kalau tidak, akan jadi lompat parti,” katanya.

Abu Bakar yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kangar digantung keahlian selama dua penggal pemilihan parti berkuat kuasa 13 Oktober lalu kerana didakwa melanggar Perlembagaan parti, sekali gus dilucutkan daripada semua jawatan yang dipegangnya.

Sementara itu, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Datuk Hamdan Bahari dipetik berkata, pelantikan dan pengguguran jawatan Menteri Besar tertakluk kepada kuasa termaktub di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis, bukannya ditentukan secara mutlak oleh keputusan parti politik.

Beliau menambah, jawatan Menteri Besar adalah jawatan lantikan oleh Raja Perlis yang berasaskan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Pada 3 Jun lalu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah mahu Abu Bakar diberikan ruang untuk terus memimpin Perlis sehingga tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir.

Ketika merasmikan Penggal Persidangan Keempat DUN Perlis Ke-15, baginda turut mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bahawa pentadbiran negeri ketika ini adalah kerajaan pilihan baginda, selain bertitah kestabilan politik adalah kriteria penting bagi mengekalkan keyakinan pelabur.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment