Dikeliling kita ada ‘musang berbulu ayam’

KEBEBASAN bersuara bukan­nya bermaksud kebebasan untuk berbohong, memfit­nah, memaki hamun dan mengada­kan ‘cerita karut marut’, berita yang tidak benar atau sama sekali palsu. Malangnya inilah yang berlaku me­lalui media sosial dan internet pada hari ini. Mereka ini seolah-olah di pihak yang kebal, bebas melakukan apa sahaja. Saban hari ada pelbagai fitnah yang berlegar melalui ber­bagai-bagai sumber yang boleh di­ akses di mana-mana sahaja. Melalui internet, media sosial, WhatsApp, Facebook, sesiapa sahaja bebas menghantar ‘berita’, gambar, kenya­taan dan pelbagai lagi yang berunsur fitnah. Melalui ruang ini juga, ada yang menyebarkan pelbagai rayuan dan ingatan mengenai kes pencu­likan, jenayah dan memohon sum­bangan derma. Tidak semua yang disebarkan itu perkara buruk.

Ada juga perkara yang baik untuk dijadikan peringatan dan panduan. Malangnya, lebih banyak­ yang buruk dan palsu menjadi perhatian. Maka sudah tiba masanya­ kerajaan lebih tegas. Seperti kata Perdana Menteri, Najib Tun Razak yang mahu undang-undang diperkemaskan dan pen­guatkuasaan ditingkatkan bagi me­nangani penyebaran fitnah di media sosial. Melalui pelbagai aplikasi yang ada pada hari ini, ada pihak termasuk pemimpin yang ‘terperangkap’ sama­ ada melalui ucapan atau kenyataan­ mereka. Jika dalam bidang kewarta­wanan wujud istilah embargo dan juga off the record tetapi di luar bi­dang itu ada yang sudah tidak mem­pedulikannya.

Begitu juga dengan istilah sulit atau confidential tidak dipedulikan lagi sehingga maklumat sulit bocor yang akhirnya menimbulkan keresa­han. Rahsia kerajaan juga bocor. Pal­ing memualkan apabila ketika pihak tertentu melabelkan wartawan me­dia cetak atau elektronik tidak bereti­ka semasa membuat laporan, di luar bidang itu, ada ‘wartawan segera’ yang lebih tidak beretika menyebar­kan maklumat tidak tepat, mengutip sumber tidak sahih dan paling me­nyedihkan maklumat yang tidak bet­ul atau salah sama sekali. Begitulah situasi yang ada pada hari ini.

Dengan teknologi ‘pita rakaman dan kamera’ sentiasa di tangan ma­nusia, apa yang ditutur dan diper­katakan di tempat sulit tidak lagi sulit. Lebih-lebih lagi apabila ada pihak yang sengaja mahu mencari silap seseorang. Akibatnya di dalam majlis-majlis tertutup bersepah musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, musang berbulu ayam atau serigala berbulu domba. Golongan ini tidak peduli siapa yang akan mereka ‘korbankan’. Jika ada kesempatan, sesuatu yang sulit akan dirakam dan disebarkan di alam maya tanpa mempedulikan soal maruah dan aib seseorang sehingga boleh menjejaskan keselamatan dan keharmonian di dalam negara.

Akhirnya mereka ini yang meru­pakan golongan ‘wartawan’ tidak terlatih menjadi ejen yang mengadu-domba dan mencetuskan perpeca­han, mencipta permusuhan dalam kalangan pemimpin dan masyarakat. Lebih malang lagi, yang melakukan perkara seumpama ini terdiri dari­ pada orang Islam yang sudah diper­ingatkan bahawa sebarang perlakuan umat sama ada baik atau buruk wa­lau sehalus zarah pun akan dihisab di akhirat nanti. Insaflah! Jangan disebabkan undang-undang di du­nia ini agak longgar, kita melupakan seketika tanggungjawab mengawal diri daripada terjebak dengan aktiviti yang ‘memudaratkan’.

Bagi pihak kerajaan pula, sudah sewajarnya tindakan segera diambil terhadap mereka yang mengguna­kan alam maya ini untuk menyebar luas fitnah, adu domba yang boleh menjejaskan keharmonian di dalam negara. Seperti kata Menteri Komu­ nikasi dan Multimedia yang baha­ru, Dr. Mohd Salleh Tun Said Keru­ak semalam, bahawa ada keperluan untuk kerajaan mengkaji semula Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) kerana rakyat Malaysia men­ ganggap media sosial dan internet sebagai kawasan kekuasaan tan­pa undang-undang. Menurutnya AKM yang digubal pada tahun 1998, tidak pernah membayangkan bagaimana internet akan menjadi begitu popular dan penggunaan media sosial begitu pesat. Hari ini, keadaan sudah berubah. Undang-undang berkaitan perlu berubah.

Sejak kebelakangan ini, peranan media sosial dan internet semakin menimbulkan kebimbangan kerana ia banyak perkara yang boleh menje­jaskan ‘keselamatan’ negara. Terda­pat laporan berkaitan jenayah inter­net. Begitu juga berita dan dokumen palsu. Pada masa yang sama kita juga mengalu-ngalukan ketegasan Timba­lan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Neg­eri berhubung isu ini. Bertindaklah. Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) juga tidak boleh lagi berdiam diri sekadar memerhati dan mendengar keluhan pelbagai pihak. Sudah lama rakyat terdedah dengan pelbagai berita palsu.

Semalam, heboh mengenai pro­gram Jom Nikah yang kononnya bakal diadakan pada 31 Ogos ini di Masjid Wilayah Persekutuan. Tu­ juan program untuk memberi pe­luang lelaki Islam berpoligami. Dua nama tokoh digunakan bagi meyakinkan orang ramai. Akhir­nya seorang daripada mereka me­nafikannya. Begitulah hal agama dipermainkan dan dijadikan bahan gurauan. Adakah pihak berkua­sa boleh ‘mengajar’ orang yang mengadakan-ngadakan berita ini? Mungkin, sekali lagi jawapannya ‘kita tidak boleh berbuat apa-apa’.

Sebelum ini, banyak laporan polis dibuat mengenai laporan yang tidak tepat berkaitan pelbagai perkara termasuk agama, ekonomi dan indi­vidu di media sosial tetapi tindakan yang diambil amat mengecewakan. Akhirnya pihak berkenaan tidak per­nah serik menyebarkan berita atau maklumat palsu. Walaupun akh­irnya apa yang dilaporkan itu tidak betul tetapi hakikatnya mereka yang berkenaan berjaya menimbulkan persepsi yang salah sama ada kepa­da pemimpin­ atau kerajaan. Mereka ini kemudiannya sekadar memohon maaf atau menarik balik apa yang dilontarkan sedangkan ‘kerosakan’ telah berlaku walaupun sedikit. Se­barang akta yang berkaitan bukan bertujuan untuk menghalang kebe­basan bersuara tetapi seperti yang dinyatakan di atas, kebebasan bu­kan bererti membiarkan fitnah dis­ebarkan secara meluas.

Kepada pemimpin terutama di pihak kerajaan, dalam era sekarang ini, eloklah mereka lebih berhati-hati ketika bercakap dan mengeluarkan kenyataan sama ada secara terbuka atau tertutup. Ingatlah perjumpaan tertutup juga tidak selamat. Tidak ada lagi istilah sulit, tertutup, of the record dan embargo. Kata orang, ‘dinding pun akan bercakap’. Di sekeliling mereka, akan ada musuh dalam selimut, musang berbulu ayam dan gunting dalam lipatan. Mereka ini yang mungkin mempunyai kepent­ingan peribadi sanggup ‘membakar kelambu kerana­ marahkan nyamuk’. Sebarang kesilapan yang diucapkan akan membuka ruang untuk pihak berkenaan memutar belitkan ucapan itu yang akhirnya akan memberi ke­san sama ada kepada pemimpin atau kerajaan. Jangan disebabkan kenya­­taan yang tidak cerdik atau ikut se­dap mulut, tidak tahu membezakan kiasan dengan realiti, bercakap ikut logik akal tanpa ilmu dalam bidang berkaitan akhirnya hanya akan mem­bebankan kerajaan dalam mengha­dapi rakyat.

Isu-isu yang dibangkitkan hari ini akan ‘diulang tayang’ semasa kempen pilihan raya umum (PRU). Memang PRU tidak akan diadakan dalam tempoh terdekat. Jika di­ bubarkan Parlimen atau Dewan Un­dangan Negeri pada hari ini, tidak bermakna esok akan berlangsung PRU. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari untuk mengadakan pilihan raya. Begitulah prosedurnya. Sama ada esok, lusa atau 60 hari lagi PRU akan diadakan, pemimpin yang ada perlu mengelakkan daripada mel­akukan sesuatu yang boleh menim­bulkan kemarahan dan keresahan rakyat termasuk anggota parti. Jan­gan kerana menganggap PRU masih lambat, semua pihak berada di dalam zon selesa sehingga mereka melakukan ‘kerosakan’ tanpa dis­edari, Bukan mudah untuk mengu­bati ‘hati yang sudah terluka’.

UMA100815010C#

Related posts

Leave a Comment