PUTRAJAYA 11 Nov. – Selepas mendengar ucapan seorang wakil rakyat ‘membelasah’ Dr Noor Hisham Abdullah, perkara pertama yang terlintas di fikiran saya adalah isu ini pasti ditanya ketika sidang media harian Ketua Pengarah Kesihatan itu.
Sebagai orang media, soalan itu wajar ditanya bagi mendapatkan pencerahan sebenar apa yang berlaku di sebalik dakwaan itu. Jangkaan itu tepat tetapi yang mengejutkan adalah itu soalan pertama yang ditanya sebaik sahaja sesi soal jawab dibuka.
Lebih menarik wartawan muda itu membuat semakan terlebih dahulu dengan merujuk facebook Dr Noor Hisham. Semakan itu penting supaya wartawan tidak dilihat tidak tahu apa-apa mengenai soalan yang dikemukakan. Maknanya ada fakta bukan auta.
Wartawan itu bertanyakan isu Ketua Pengarah Kesihatan takut mati yang dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh wakil rakyat dari Bintulu.
Dengan tenang dan seperti biasa terlebih dahulu berterima kasih atas soalan, Dr. Noor Hisham menjelaskan tidak timbul isu takut mati kerana kematian boleh berlaku di mana-mana dan bila-bila masa sahaja,
Dalam menghadapi Covid-19 di Sabah, beliau menjelaskan pengurusan Covid-19 di Sabah telah dirancang sebaik mungkin dengan matlamat utama bagi memutuskan rantaian jangkitan pandemik dan menurunkan kadar kematian.
“Tidak timbul isu takut mati, ini kerana sebagai seorang Islam, kita terima kematian itu di mana-mana saja akan berlaku.
“Bukan hanya turun padang atau tidak. Apa yang lebih penting adalah kita pasangkan niat untuk kita laksanakan tugas kita.
“Niat kita ketika ini adalah putuskan rantaian Covid-19…itu tujuan utama kita. Kita boleh berselisih pendapat tetapi apa yang pasti adalah kita laksanakan tanggungjawab untuk selamatkan negara kita daripada peningkatan kes dan kadar kematian,” jelasnya dalam sidang media harian perkembangan Covid-19 di sini.
Malah jelasnya, beliau bukan tidak pernah turun padang sebaliknya meninjau keadaan di Sabah akhir Ogos lalu bersama pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Di KKM, kami telah membuat rancangan yang khusus terutamanya di Sabah. Sebelum ini saya sudah turun pada akhir bulan Ogos bagi memantau pengurusan iaitu kesiapsiagaan kita menjelang PRN Sabah.
“Saya juga telah arahkan timbalan saya Datuk Dr Chong Chee Keong untuk meninjau pengurusan Covid-19 di negeri itu minggu lepas… (Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri) Tan Sri Dr Jemilah Mahmood juga (meninjau) dua minggu lepas bagi mengenal pasti isu yang timbul di Sabah,” ujarnya.
Begitulah jawapan penuh hikmah yang tidak memperkecilkan sesiapa atau menyalahan mana-mana pihak tanpa usul periksa. Bayangkan jika yang didakwa itu adalah seorang ahli politik. Jawapannya tentu berbeza, nadanya juga berbeza.
Sebelum itu di Dewan Rakyat, Tiong King Sing (GPS-Bintulu) ketika membahaskan Belanjawan 2021, mendakwa Dr. Noor Hisham takut mati kerana tidak berani turun ke Sabah, tatkala negeri itu mengalami kesan paling teruk akibat gelombang ketiga Covid-19.
Dakwaan itu menyebabkan RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit membantah kenyataan itu, yang beliau sifatkan sebagai penghinaan kepada Dr Noor Hisham dan barisan hadapan.
Rayer meminta tuduhan itu ditarik balik dan menghormati penjawat awam. Dalam hal ini, ramai yang setuju dengan MP Jelutong itu. Pedulikan sama ada Rayer didakwa mengambil kesempatan, apa yang penting masih ada suara yang berani mempertahankan Ketua Pengarah itu.
Sesiapa pun akan rasa ‘panas’ mendengar ayat-ayat yang dilontarkan Bintulu.
“DG hari hari buat berita saja, bikin apa? Kalau berita, bagi itu office boy dia pun boleh baca. Kenapa dia tidak turun padang? Macam KK (Kota Kinabalu) sekarang, Sabah begitu teruk, begitu hebat pandemik Covid-19.
“Kenapa dia tidak turun melawat tiap-tiap hospital? Temporary hospital? Kita pergi tengok berbincang beri sokongan kepada barisan hadapan. Doktor, jururawat yang bekerja di sana. Jangan hantar saja doktor pergi, jururawat pergi. Oh.. itu orang tak takut mati, tapi DG takut mati,” katanya lagi.
Tiong berkata, tidak sepatutnya Ketua Pengarah Kesihatan buat publisiti setiap hari, dan mendakwa Dr Noor Hisham cuba meletakkan dirinya sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Rayer kemudian bangkit mengatakan Tiong sepatutnya tidak menghina Dr Noor Hisham, dan perlu memberi penghormatan yang sewajarnya.
“Speaker jangan benarkan dia untuk menghentam DG. DG adalah frontliner,” tegasnya lagi.
Tiong kemudian menyambung perbahasannya, bertanyakan mengapa Kompleks Penjara di Lahad Datu tidak dikenakan lockdown, atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan lebih awal.