Dari Dataran Bandar Sibu ke PWTC, Kuala Lumpur

MENJELANG hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, seorang sahabat anggota UMNO
meluahkan perasaannya dalam menghadapi kempen ‘siri PRK PKR’ di Permatang Pauh pada episod 2015 ini. Siri PRK PKR ini merujuk kepada PRK DUN Penanti dan Parlimen Permatang Pauh gara-gara wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan. Katanya, dia teruja dengan kata-kata pemimpin bahawa inilah peluang
Barisan Nasional (BN) untuk menang. Saya kata kepadanya, itu adalah ayat sama seperti sebelum ini. Pembakar semangat untuk orang sepertinya. Dia mengaku dan berkata: Walaupun PKR-Pas-DAP nampak berpecah, bergaduh tetapi berdasarkan pengalaman lalu, pengundi tetap sokong mereka. Isu-isu semasa pula tidak membantu BN. Alahai macam mana nak kempen ni,’’ Begitulah keluhannya.

Seorang lagi bertanyakan sama ada saya balik kampung bagi ‘memeriahkan’ hari penamaan calon seterusnya mengundi kerana sekali lagi calon yang diturunkan BN adalah ‘orang kampung’. Begitu juga bekas wakil rakyat yang letak jawatan untuk memberi peluang kepada suami dan sekarang menjadi wakil rakyat Kajang kembali lagi menawarkan diri untuk berkhidmat kepada rakyat di Permatang Pauh. Saya memberitahunya, sudah letih dengan sandiwara politik di Permatang Pauh dan ingin melupakan seketika bab politik Langkah Kajang ke Permatang Pauh ini. Saya beritahunya, jika pulang pun sekadar menghadiri majlis kenduri kahwin anak sepupu saya, Hamzah Shaari di Taman Guar Perahu. Saya beritahunya, pada hari berkenaan saya berada di Sibu, Sarawak untuk sama-sama ‘memeriahkan’ Minggu Saham Amanah Malaysia 2015 (MSAM). Apa pun selamat bertanding kepada calon BN, Suhaimi Sabudin dan Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR). Saya kenal calon BN hanya kerana jawatannya sebagai Setiausaha UMNO Bahagian tetapi memang kenal bapa dan datuknya yang tinggal di Guar Jering, jiran kampung saya, Guar Perahu yang pernah menjadi pusat gerak kerja Anwar Ibrahim pada peringkat awal sebagai wakil rakyat UMNO.

Kembali ke tujuan asal Selak minggu ini. Saya berpeluang mengikuti MSAM 2015 selama tiga hari pada Khamis hingga Sabtu lalu di Dataran Bandar Sibu, Sibu, Sarawak. MSAM 2015 yang bermula pada 19 April lalu akan melabuhkan tirainya pukul 2 petang hari ini. Agak menghairankan kenapa Sibu yang majoriti penduduknya kaum
Foo Chow menjadi pilihan. Mampukah ia mencatatkan kehadiran pengunjung? Jika dari Kuching, laluan darat ke Sibu memerlukan masa lapan jam sementara melalui Sungai Rajang pula mengambil masa enam jam. Sudah pasti MSAM bukan mahu menarik penduduk Kuching. Di sudut logistik, sudah tentu ia sesuatu yang menyukarkan
Permodalan Nasional Berhad (PNB). Lokasi seperti itu melibatkan kos yang tinggi bagi pihak penganjur. Apa pun demi mendekati masyarakat, kesungguhan PNB bertandang ke Sibu amat berbaloi. Kehadiran pengunjung boleh dianggap sebagai luar biasa kerana sehingga hari keenam, lebih 200,000 orang sudah mengunjunginya, mengatasi sasaran awal 150,000 orang pengunjung. Ternyata slogan Juh singgah MSAM 2015 rami-rami benar-benar menggamit pegunjung. Lebih mengejutkan, jumlah itu mengatasi kehadiran pengunjung MSAM 2010 di Kuching iaitu 187,000 orang. Tahniah kepada PNB serta seluruh tenaga kerja dan 13 syarikat kumpulan PNB serta pelbagai agensi, syarikat dan institusi lain yang menyertai MSAM kali ini.

Memang benar kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri supaya PNB tidak hanya memberi tumpuan kepada bandarbandar besar sebaliknya menjelajah ke bandar lain di Sarawak bagi mendekati lebih ramai masyarakat setempat. Sibu yang khabarnya sepi menjelang petang terus sibuk. Seorang pemandu memberitahu, bandar Sibu tidak pernah sesak seperti beberapa hari berlangsungnya MSAM. Walaupun hujan dan pada hari bekerja, jumlah pengunjung tidak mengecewakan. Kehadiran semakin meningkat menjelang waktu petang. Pada Khamis lalu, di pintu masuk utama dewan pameran MSAM, tertera kenyataan cenderamata beg dan payung sudah habis. Bagaimanapun PNB tidak mengecewakan para pengunjung dengan mengganti cenderamata payung dengan minyak jenama Alif. Pada Jumaat, stok payung tiba walaupun tanpa logo PNB atau MSAM. Program yang diatur juga mendapat sambutan menggalakkan termasuklah peraduan mewarna. Ibu bapa bersama anak-anak sanggup beratur panjang di hadapan dewan dua jam sebelum acara bermula. Begitulah sambutan yang diberi. Bukan jumlah pengunjung atau nilai pelaburan yang diharapkan. Apa yang mahu dicapai adalah ilmu pelaburan dalam kalangan pengunjung terutama generasi muda. Biarlah MSAM ini dapat melahirkan masyarakat berilmu, celik pelaburan dan bijak merancang kewangan. Mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat pelaburan daripada orang yang bertauliah supaya tidak terperangkap dengan pelaburan yang tidak diiktiraf. Melihat ramai pelajar yang datang, sudah tentu mereka dapat menambah ilmu mengenai produk amanah bukan sahaja melalui bahan pameran tetapi kuiz yang dianjurkan. Bagi yang sudah dewasa, melalui MSAM ini juga mereka dapat merancang kewangan dengan lebih baik menjelang hari persaraan. Pendidikan yang digunakan dalam acara MSAM ini juga pelbagai termasuk melalui hiburan, peraduan dan sukan. Sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat ialah produk pewarisan ASNB iaitu Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah. PNB boleh mempromosikan lagi produk ini kerana ia melibatkan masa depan keluarga pelabur atau pewaris mereka. Sekali lagi tahniah kepada PNB kerana sejak tahun 2000, MSAM ini berjaya menarik lebih 2.8 juta pengunjung serta memperoleh pengiktirafan Longest Running Unit Trust Exhibition (2000-2014) daripada The Malaysia Book of Records.

Jom ke Pesta Buku Antarabangsa

JIKA di Sibu, Selak sempat berkunjung minggu berkaitan pelaburan, di PWTC Kuala Lumpur pula, sedang berlangsung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) mulai 24 April lalu sehingga 3 Mei ini. Semalam, PWTC penuh sesak dengan pengunjung yang mengambil kesempatan cuti hari minggu.

Mungkin bertambah ramai kerana sudah ada duit dalam poket. Nampaknya semangat membaca masih ada dalam kalangan masyarakat kita. Apa yang penting ialah setiap karya perlu diolah dengan baik bagi menarik minat masyarakat. Begitu juga dengan harganya. Biar berpatutan. Macam-macam buku ada di 900 gerai termasuk dari Brunei, Singapura, Indonesia, Arab Saudi, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Majalah, novel, buku dalam pelbagai bidang – ekonomi, perubatan, sosial, agama, sejarah, politik, kebudayaan, sains dan pelbagai lagi ada dijual. Tidak cukup sehari terutama bagi ‘ulat buku’ untuk menjelajah gerai mencari buku untuk menambah ilmu.

Selain menjenguk gerai buku terbitan pelbagai universiti awam, saya singgah di gerai Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Di sini juga pelbagai buku dalam bahasa Inggeris dan Melayu boleh didapati. Sempat berbual dengan beberapa rakan termasuk Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Mohd Khair Ngadiron. Di situ, Mohd Khair memperkenalkan sebuah buku yang baru diterjemahkan hasil karya Yusuf Islam atau Cat Stevens. Tajuk buku Mengapa Saya Masih Memetik Gitar: Perjalanan Kerohanian Cat Stevens Menjadi Yusuf Islam. Buku versi bahasa Inggeris juga turut dijual. Buku ini akan dilancarkan pada 1 Mei ini oleh Yusuf Islam sendiri. Banyak lagi buku yang bermanfaat di ITBM ini. Satu lagi buku yang saya peroleh tahun lalu dan masih dijual ialah Kontrak Sosial Perlembagaan Persekutuan 1957: Pengikat Jati Diri Bangsa Malaysia Merdeka. Kepada generasi baru dan lama, eloklah anda baca buku ini.

Jom lupakan seketika apa yang membuatkan kita ‘berkecamuk’ sekarang. Mungkin ada ilmu yang boleh dimanfaatkan di PBAKL.

UMA270415014C_2#

 

Related posts

Leave a Comment