Jalani ‘kehidupan bersih’ 2023

BANDAR SERI BEGAWAN 1 Jan. –  Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, mengajak segenap lapisan rakyat memasuki tahun baharu 2023 ini dengan tekad untuk menjalani kehidupan bersih tanpa diganggu oleh pelbagai gejala buruk.

Gejala buruk yang dimaksudkan baginda adalah seperti rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa dan menagih dadah yang jika dapat dihindari oleh rakyat akan memberi satu kelebihan kepada Negara Brunei Darussalam.

Baginda turut mengajak rakyat bersyukur kerana dapat memasuki tahun baharu ini dan pada masa yang sama meminta mereka mengimbas semula hikmah dalam tempoh tiga tahun negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Musibah ini, walaupun membawa kesan sampingan kepada kehidupan, namun hikmahnya menciptakan peluang untuk kita berdikari memperkasa bidang-bidang utama seperti sekuriti makanan, perbekalan, pendidikan, kewangan dan kesihatan.

“Inilah hikmah yang tidak pernah terlintas di fikiran kita,” titah baginda bersempena menyambut Tahun Baharu Masihi 2023 di Istana Nurul Iman, semalam.

Menurut Sultan Haji Hassanal Bolkiah, banyak lagi hikmah untuk kelangsungan hidup semasa Covid-19 ini termasuk membanyakkan amal soleh, beribadat, berdoa, bersabar dan bertawakal kepada Allah.

“Demikian juga hikmah fizikal pandemik telah meningkatkan kapasiti kaedah digital, yang membolehkan semua pihak dapat menikmati perkhidmatan yang cekap dan cepat dalam bidang pekerjaan mahupun pembelajaran secara maya,” titah baginda.

Pengalaman ini titah baginda akan lebih bermakna jika ia dapat menyuntik semangat rajin berusaha untuk mempelbagaikan ekonomi negara serta berganding bahu mewujudkan peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan.

Titah baginda, dengan semangat demikian akan mencetuskan minat besar para belia, khasnya untuk menceburi bidang baharu seperti ‘big data, cloud computing’, tenaga hijau (green energy) dan teknologi mesra alam (environmentally-friendly technology).

“Ke arah mencapai tiga matlamat utama Wawasan Brunei 2035, kerajaan beta sedang melaksanakan Economic Blueprint dan juga sedang merangka strategi melalui Social Blueprint dan Manpower Blueprint.

Beta berharap, setiap strategi yang sedang dan akan dilaksanakan melalui ‘blueprint-blueprint’ berkenaan akan mendapat dukungan padu daripada pelbagai ‘stakeholders’,” titah baginda.

Baginda juga bertitah bahawa ekonomi negara sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuk peningkatan kadar inflasi, yang turut didorong oleh ketegangan geopolitik di peringkat global.

Situasi ini mendedahkan Brunei kepada cabaran pahit ‘imported inflation’ yang membawa berlakunya kenaikan harga barangan manakala kadar inflasi meningkat dari 3.8 peratus kepada 4.7 peratus, iaitu kadar tertinggi pernah direkodkan.

“Walau bagaimanapun, kerajaan beta akan terus berusaha untuk meminimakan kesan kenaikan harga barangan dengan memastikan bekalan dan sekuriti makanan adalah stabil dan mencukupi,” titah baginda.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada negara-negara sahabat dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa di atas kerjasama dan bantuan yang dihulurkan selama ini.

“Kita akan terus memupuk dan mengeratkan hubungan serta kerjasama dengan negara-negara sahabat, khususnya dalam menangani isu dan cabaran serantau dan antarabangsa pasca Covid-19 dalam pemulihan ekonomi seperti perdagangan digital, kedayatahanan, perubahan iklim dan kesihatan am,” titah baginda.

(Foto Jabatan Penerangan NBD)

Related posts

Leave a Comment