Keluhan pemandu selepas kenaikan tambang teksi

SUDAH sebulan kenaikan kadar tambang teksi di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Kebanyakan pemandu teksi sudah pun menukar meter dengan kadar baharu. Khabarnya, tarikh akhir sudah berlalu semalam tetapi ada yang mengatakan tarikh itu dilanjutkan sehingga akhir bulan ini. Ramai yang lewat menukar bukan kerana enggan mengejar kadar baharu tetapi mereka tidak mahu beratur panjang sama ada di kedai meter atau di Puspakom.

Bagi mereka, banyak masa terbuang di situ sedangkan kadar sewa melalui hasil operasi harian teksi (bagi yang terlibat skim sewa beli dengan syarikat) mesti dijelaskan. Suka atau tidak, pertukaran perlu dilakukan, jika tidak akan dikenakan tindakan oleh Suruhanjaya Pengangkutan­ Awam Darat (SPAD).

Bagi pengguna pula, mereka terpaksa menerima hakikatnya. Pada peringkat awal kenaikan ada pengguna yang menggunakan aplikasi MyTeksi meminta dihantar kepadanya teksi yang masih menggunakan meter lama. Mungkin mahu berjimat menjelang penguatkuasaan kadar baharu bagi semua teksi. Apakah kesan akibat kadar baharu ini?

Jika perjalanan jarak dekat, penumpang yang sudah biasa tidak akan terasa. Jika dulu kadar tambang RM6 kini mungkin mencecah RM7.25 atau sehingga RM8. Bergantung keadaan jalan. Sekadar peringatan, dalam jarak yang sama seperti disebut di atas, jangan cuba naik teksi jika di dalam poket anda hanya ada RM10 dan ketika itu berlaku kesesakan.

Meter akan naik walaupun tayar tidak bergerak. Jika anda terpe­rangkap dalam kesesakan selama satu jam, kadar RM30 sudah tentu akan dikeluarkan. Jika tayar tidak bergerak, kadar yang dikenakan ialah 25 sen bagi setiap 36 saat atau jika bergerak, setiap 200 meter sebanyak 25 sen.

Jika bertembung dengan kese­sa­­kan­ di jalan raya, eloklah turun teksi dan tunggu hingga keadaan­ sesak berakhir atau berjalan kaki mencari alternatif lain seperti LRT, monorel atau komuter.

Mungkin inilah pentingnya ke­perluan laluan khas teksi dan peng­ angkutan awam di jalan raya. Dalam keadaan sesak, laluan khas ini dapat membantu pengguna teksi menge­lakkan kesesakan yang akan membebankan kadar tambang.

Tidak dinafikan, kadar tambang baharu ini tidak menjejaskan industri pelancongan seperti kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Mohamed Nazri Abdul Aziz. Menurut beliau lagi, kenaikan tambang tersebut juga akan menyebabkan semua pemandu teksi menggunakan meter.

Tidak ada lagi penipuan. Sejauh mana kebenarannya? Mungkin masih terlalu awal untuk membuat andaian kerana kalangan pemandu yang membuat kerja tidak elok ini mungkin mengenakan `kadar tambang yang lebih baharu’. Mengikut kata Mohamed Nazri lagi, khidmat teksi di luar negara turut mengenakan tambang yang tinggi. Beliau memberi contoh di Jepun, masuk sahaja kenderaan itu bayaran dikenakan kira-kira RM20.

“Kenaikan tambang teksi ini bagi saya bukan satu masalah kerana kebiasaannya sistem pengangkutan itu digunakan oleh golongan yang berkemampuan,” katanya. Sebenarnya, teksi di Malaysia digunakan oleh semua golongan. Maka tidak hairanlah, Malaysia mempunyai jumlah teksi yang besar. Siapakah golongan berkemampuan itu?

Adakah kita sedar, dalam kalang­an pemandu teksi juga, ada yang merungut berikutan kenaikan tambang ini. Bagi yang betul-betul menjadikannya sebagai sumber pendapatan, mungkin boleh menarik nafas lega kerana tidak perlu bekerja hingga larut malam.

Dengan jumlah pengguna yang kecil, kadar tambang baharu dianggap berbaloi. Boleh balik awal. Ba­yangkan pula jika semuanya balik awal, jumlah teksi akan berkurangan di jalan raya. Ketika itulah, panggil­an yang dibuat untuk mendapatkan teksi tidak akan dilayan disebabkan ketiadaan teksi.

Seperkara lagi yang menjadi bualan hangat dalam kalangan pemandu teksi ialah mengenai perkhidmatan­ Teksi 1Malaysia (Teks1M). Khabarnya, ramai pengguna takut untuk naik Teks1M ini. Ada pengguna yang membuat panggilan akan meminta supaya dikirimkan teksi bajet bukannya Teks1M.

Penumpang sudah pandai memilih teksi. Mereka menolak kerana kadar tambang Teks1M adalah berbeza berbanding teksi bajet lain walaupun kenderaan yang sama digunakan iaitu Proton Exora MPV dengan sistem NGV. Exora ini diubah suai untuk menjadi teksi bajet lima tempat duduk.

Harga teksi adalah sekitar RM64,000, harga sebelum geran kerajaan RM5,000 dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan 1Malaysia (1MDB). Teks1M adalah untuk pemandu individu, yang boleh mendapatkan pinjaman khas daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) sehingga sembilan tahun.

Sebelum kenaikan kadar baharu, tambang yang dikenakan sama de­ngan teksi bajet iaitu permulaan RM3 diikuti 10 sen bagi 115 meter atau bagi setiap 10 saat. Kini kadar itu berubah. Tambang permulaan sekarang naik kepada RM4 diikuti 30 sen bagi 200 meter atau setiap 36 saat. Kadar itu menyebabkan penumpang seolah-olah memboikot dan pemandu pula terasa kehilang­ an penumpang.

Pelbagai keluhan kedengaran dalam kalangan pemandu Teks1M ini. Ada yang mahu membuat per-tukaran suka sama suka dengan teksi bajet yang ada. Baru- baru ini, Selak menerima keluhan dalam bentuk cerpen berkaitan pemandu Teks1M. Cerpen asal Saudara Yong Faizal dan diolah semula Kamal PERS1M.

Pemandu teksi berkenaan men-ceritakan bagaimana penglibatan beliau selama 13 tahun sebagai pemandu teksi. Dia terlibat dalam Pelan Migrasi Teksi yang dilancarkan SPAD pada tahun 2014 dan diberi kesempatan­ mengendalikan Teks1M. Beliau bersyukur dengan pendapatannya selepas mengikuti pelan itu. Keadaan itu bagaimanapun berubah setelah SPAD mengumumkan kenaikan­ kadar tambang pada 19 Mac lalu. Katanya, kenaikan tambang Teks1M lebih mahal daripada kadar tambang teksi bajet membuatkan penumpang memulaukan Teks1M.

“Jika dulu aku mudah mendapatkan penumpang di tepi jalan atau di hentian-hentian tertentu, namun kini segalanya berubah. Penumpang-penumpang tetapku juga telah menghentikan langganan mereka. Kini aku buntu dan telah hilang arah untuk mencari rezeki yang halal.

“Title teksi bajet yang selama ini memudahkan aku mencari rezeki telah dikuburkan SPAD, Teks1M kesayanganku kini tersepit di antara Teksi Primer dan Teksi Bajet. Saat-saat indah Teks1M ku merempuh kesesakan lalu lintas juga telah hilang kemanisannya.”

Paling sedih, pengguna aplikasi juga membatalkan tempahan apabila menyedari teksi yang mengesahkan kehadiran untuk mengambil penumpang adalah Teks1M.

“Perit makin terasa bila penum pang yang tidak menyedari perbezaan kadar tambang merungut bagai ‘lebah’ membuat sarang, aku yang memandu terasa seperti aku sedang menipu mereka,’’ luah pemandu itu.

Turut menarik perhatian ayat-ayat ini: “Penumpang-penumpang di tepi jalan yang menginginkan teksi menyembunyikan tangan mereka sehingga ku berlalu, di cermin pandang belakang, ku lihat penumpang-penumpang yang tadinya menyembunyikan tangan, mula melambai-lambai teksi bajet di belakang ku, sayup di hati ku hanya mampu menahan pilu.’’

Begitulah keluhan pemandu Teks1M. Banyak lagi yang dilontarkan termasuk waktu bekerja yang bertambah untuk mencari hasil sekurang-kurang RM100 sehari. Semoga keluhan mereka mendapat perhatian tetapi jangan pula, tambang teksi bajet akan disamakan dengan Teks1M.

UMA200415010C#

Related posts

Leave a Comment