DUN Melaka bubar esok, 23 September

MELAKA 22 Sept. – Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa esok, 23 September bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) ke-16.

Ab Rauf berkata, beliau sudah menghadap Yang di-Pertua Negeri, Dr Mohd Ali Mohd Rustam bagi memaklumkan kedudukan DUN, seterusnya memohon untuk pembubaran.

“Saya telah menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bagi memaklumkan kedudukan DUN Melaka dan seterusnya memohon perkenan untuk pembubaran DUN Melaka.

“Sukacita saya maklumkan Tun Mohd Ali perkenan bagi DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa esok 23 September 2026,” katanya pada sidang media khas di sini petang ini.

Ab Rauf berkata, pembubaran yang berkuat kuasa pada 23 September itu dibuat berdasarkan Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.

Beliau berkata dengan pembubaran ini esok, berakhirlah penggal DUN Melaka dan proses seterusnya akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang serta ketetapan pihak berkuasa yang berkaitan.

Dengan pembubaran DUN berkenaan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengambil tindakan selanjutnya termasuk menetapkan tarikh writ pilihan raya, penamaan calon dan hari pengundian mengikut peruntukan undang-undang.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan mandat kerajaan negeri ketika ini akan berakhir pada 31 Disember depan sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

Ab Rauf pada masa sama memberi jaminan bahawa pembubaran DUN tidak bermakna urusan kerajaan negeri terhenti.

“Pentadbiran negeri, penyampaian perkhidmatan awam, urusan kebajikan rakyat, keselamatan serta perkhidmatan harian kerajaan akan terus berjalan seperti biasa.

Selepas pembubaran ini, kerajaan negeri akan melaksanakan tanggungjawab dalam kapasiti sebagai Kerajaan Sementara atau Caretaker Government sehingga sebuah Kerajaan Negeri dibentuk selepas proses pilihan raya,” katanya.

Sepanjang tempoh berkenaan, keutamaan kerajaan negeri adalah memastikan pentadbiran negeri kekal teratur, perkhidmatan kepada rakyat tidak terganggu dan kepentingan rakyat terus terpelihara.

Justeru semua jabatan, agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan akan terus melaksanakan tugas serta tanggungjawab masing-masing dengan profesional berdasarkan undang-undang, peraturan dan tatakelola yang berkuat kuasa.

“Negeri ini akan terus ditadbir dengan baik. Perkhidmatan kepada rakyat akan terus berjalan dan kepentingan rakyat akan terus menjadi keutamaan kita,” katanya.

Related posts

Leave a Comment