NEW YORK – Keadaan dunia semakin meruncing apabila konflik bersenjata semakin banyak dan kompleks, manakala perpecahan geopolitik dalam kalangan kuasa besar menyebabkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),
gagal berfungsi secara berkesan.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, berkata, penglibatan kuasa besar dan anggota tetap Majlis Keselamatan dalam beberapa konflik utama dunia telah mewujudkan krisis yang disertai pelanggaran berterusan undang-undang antarabangsa.
Dalam temu bual menjelang ucapan terakhirnya sebagai setiausaha agung pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA), Guterres berkata keadaan itu mewujudkan budaya impuniti yang mendorong negara kuasa sederhana bertindak tanpa menghiraukan akibat atau tindakan antarabangsa.
Guterres yang memegang jawatan Setiausaha Agung PBB sejak Januari 2017 akan menamatkan penggal perkhidmatannya pada 31 Disember 2026.
Beberapa nama disebut sebagai calon pengganti Guterres, termasuk Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, bekas Presiden Senegal, Macky Sall, serta diplomat Ecuador, Maria Fernanda Espinosa.
Guterres turut menyentuh kesan peperangan di Ukraine serta konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran yang memberi impak langsung kepada ekonomi global.
Katanya, gangguan terhadap eksport makanan, baja dan tenaga melalui Laut Hitam, digabungkan dengan ketegangan di Selat Hormuz dan Bab al-Mandeb serta serangan terhadap kemudahan minyak di Asia Barat, telah menjejaskan rantaian bekalan global.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kenaikan harga bahan api, peningkatan inflasi serta menambah tekanan terhadap ekonomi di banyak negara.
Beliau berkata negara maju mungkin mampu menguruskan kenaikan kadar faedah dan harga tenaga, namun negara membangun berdepan keadaan yang jauh lebih sukar akibat kos makanan dan tenaga yang semakin meningkat serta kekurangan bekalan baja.
Dalam pada itu, beliau berkata organisasi itu memerlukan pembaharuan menyeluruh bagi memastikan ia terus relevan dalam menangani cabaran global yang semakin rumit.
Menurutnya, Majlis Keselamatan PBB masih mencerminkan susunan kuasa dunia era Perang Dunia Kedua dan tidak lagi menggambarkan realiti geopolitik semasa.
Nnnn
