KUALA LUMPUR 10 Sept. – Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mengulang kenyataannya sebelum ini bahawa beliau tidak pernah mempersoalkan peranan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) termasuk langkah pematuhan sijil halal.
Naib Pengerusi DAP itu berkata, sebagai seorang wakil rakyat, beliau berhak untuk menyuarakan kebimbangan dan masalah rakyat berbilang kaum.
Katanya , beliau mempunyai tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah rakyat dan meminta kerajaan mengkaji semula cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
“Saya tidak mempersoalkan mengenai sijil halal, peranan Jakim dan agama Islam,” katanya kepada pemberita sejurus selesai diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), kira-kira dua jam, hari ini.
Teresa berkata, beliau tetap akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan itu namun mengharapkan semua pihak bertenang dan keadaan reda selepas banyak pihak menyatakan pandangan masing-masing.
Dalam pada itu Pengerusi DAP Lim Guan Eng pada sidang media sama menegaskan parti telah membuat pendirian bahawa Teresa tidak bersalah.
“Beliau hanya menjalankan tugas sebagai seorang Ahli Parlimen untuk mengeluarkan pandangan dan kebimbangan yang dilahirkan oleh pelbagai pihak termasuk pengundi-pengundinya,” katanya.
Katanya, DAP menyerahkan kepada polis untuk menjalan siasatan dan semua pihak diharap menangani perkara ini dengan tenang dan profesional.
Sementara itu peguam Syahredzan Johan yang juga Ahli Parlimen DAP Bangi berkata, siasatan itu adalah susulan laporan polis berkait kenyataan Teresa berhubung isu pensijilan halal.
“Sebanyak 20 soalan ditanya kepada Teresa, beliau dirakam keterangan selama sejam setengah,” katanya.
Nnn
